Jumaat, 29 Jun 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Turki hantar askar di sempadan Syria

Posted:

Turki hantar askar di sempadan Syria

SEBUAH trak tentera Turki mengangkut pelancar peluru berpandu di wilayah Hatay dekat sempadan Syria semalam.


ANKARA - Pemerintah Turki menghantar sejumlah askar dan pelancar roket antipesawat di sempadan negara itu dengan Syria, menurut beberapa laporan semalam.

Penghantaran itu dibuat seminggu selepas tentera Syria menembak jatuh sebuah pesawat tentera Turki pada Jumaat lalu.

Menurut akhbar Milliyet, kira-kira 30 buah kenderaan tentera mengangkut pelancar roket antipesawat meninggalkan sebuah pangkalan di wilayah Hatay, tenggara Turki.

Imej yang disiarkan stesen televisyen TRT menunjukkan puluhan kenderaan tentera membawa sejumlah askar ke sempadan negara tersebut.

Stesen televisyen tersebut turut menyiarkan imej beberapa buah kereta kebal yang dihantar ke sempadan Syria.

Ia turut melaporkan bahawa konvoi tentera yang membawa senjata berat dan peluru berpandu bergerak ke daerah Yayladag di wilayah Hatay awal semalam.

Kelmarin, satu konvoi tentera yang membawa beberapa pelancar peluru berpandu bergerak ke daerah Kilis di wilayah Gaziantep.

Agensi berita Anatolia melaporkan lewat kelmarin, pergerakan kenderaan tentera turut berlaku di wilayah Sanliurfa.

Tindakan Syria menembak jatuh pasawat tersebut telah mencetuskan kemarahan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Seorang menteri Syria, Omran al-Zoebi kelmarin menyatakan tenteranya mungkin tersilap menyangka pesawat Turki itu ialah jet milik Israel.

Menteri Penerangan Syria itu memberitahu rangkaian berita A Haber menerusi telefon bahawa negaranya tidak mahu berkrisis dengan Turki.

Turki sebelum ini berulang kali mendesak Presiden Syria, Bashar Al-Assad meletakkan jawatan ekoran penentangan rakyat terhadap pemerintahannya sejak Mac tahun lalu.

Ekoran pertempuran antara tentera Syria dengan para pemberontak, seramai 33,000 penduduk negara itu melarikan diri ke Turki untuk mendapatkan perlindungan. - Agensi

Letupan bom di luar mahkamah Damsyik

Posted:

Letupan bom di luar mahkamah Damsyik

BEBERAPA anggota bomba memadamkan kebakaran di lokasi letupan bom di luar bangunan Istana Kehakiman di Damsyik semalam.


DAMSYIK - Dua letupan bom menggegarkan kawasan di tempat letak kereta di luar bangunan Istana Kehakiman yang menempatkan mahkamah tertinggi Syria di sini semalam.

Seramai tiga orang cedera manakala sekurang-kurangnya 20 buah kereta rosak teruk akibat letupan tersebut.

Sejumlah anggota bomba sibuk memadamkan kebakaran manakala beberapa buah ambulans tiba di tempat kejadian.

Sebuah stesen televisyen Syria menganggap kejadian tersebut sebagai serangan pengganas.

Kawasan tempat letak kereta itu digunakan oleh para peguam dan hakim.

Satu sumber polis memberitahu agensi berita AFP, dua bom meletup dalam dua buah kereta milik hakim.

Menurutnya, bom ketiga berjaya dimatikan.

Sementara itu, seramai 69 orang terbunuh termasuk 38 orang awam semalam di Syria ekoran pertempuran antara tentera dengan para pemberontak.

Menurut kumpulan Pemantauan Untuk Hak Asasi Syria, seramai 16 orang terbunuh di Douma, utara Damsyik apabila askar-askar mengepung dan bertempur dengan para pemberontak.

Menurut kumpulan itu, askar-askar yang dibantu helikopter menyerang beberapa buah kawasan di Deir Ezzor, timur Damsyik.

Lebih 15,804 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad bermula sejak 16 bulan lalu.

Kelmarin, sekumpulan pemberontak menyerang sebuah stesen televisyen di sini.

- Agensi

Kereta kabel tidak berbumbung

Posted:

Kereta kabel tidak berbumbung

SEJUMLAH orang menaiki kereta kabel yang tidak berbumbung di kawasan pergunungan Stanserhorn dekat Lucerne semalam.


LUCERNE, Switzerland - Sejumlah orang menaiki kereta kabel yang tidak berbumbung di kawasan pergunungan Stanserhorn dekat sini semalam.

Para penumpang juga boleh melihat pemandangan Tasik Lucerne dari tingkat atas kereta kebal tersebut.- Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan