Sabtu, 26 Mei 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Operasi selamat gadis gemuk

Posted: 25 May 2012 10:55 AM PDT

LONDON: Sepasukan penyelamat terdiri daripada bomba, jurutera dan anggota separa perubatan memecahkan sebahagian rumah untuk menyelamatkan seorang remaja belasan tahun yang dipercayai paling besar di Britain selepas dia berdepan dengan masalah sukar bernafas.

Ia adalah satu-satunya cara untuk mengeluarkan Georgia Davis, 19, dari rumahnya di Aberdare, Wales Selatan dan dibawa ke hospital.

Menurut beberapa rakannya, Georgia mempunyai berat badan 400 kilogram.

Usaha menakjubkan untuk menyelamatkan gadis itu memakan masa lapan jam dan membabitkan 40 orang.


Operasi dilancarkan apabila Georgia pengsan kerana masalah pernafasan dan sakit dada di bilik yang sudah sekian lama menjadi penjaranya.


Dia hanya boleh dibawa ke hospital selepas skuad penyelamat memusnahkan dinding tingkat atas rumah kembar ibunya dengan tukul besi dan gergaji untuk membuat lubang seluas tiga meter kali tiga meter.

Pasukan itu juga meruntuhkan dinding bilik untuk membolehkan Georgia dipindahkan dari biliknya di belakang rumah itu.

Skuad penyelamat itu turut membina tanjakan yang disokong oleh perancah untuk menyambung bilik Georgia dengan lorong pejalan kaki.

Perancah juga dipasang untuk mengelak bumbung runtuh.

Georgia diangkat ke tanjakan itu dari biliknya dengan mengguna kren sebelum dinaikkan ke atas pengusung khas yang seberat 70 kilogram dan dimasukkan ke dalam ambulans yang sudah diubahsuai.

Remaja berkenaan dibawa ke hospital di Merthyr Tydfil, dengan topeng oksigen terlekap pada mukanya.

Dia dkatakan sakit teruk malam kelmarin sementara ibu, Lesley, sentiasa berada di sisi.

Pasukan perubatan yang dipanggil ke rumah itu menyedari Georgia terlalu gemuk untuk dibawa keluar menerusi pintu. menyebabkan operasi itu dilakukan dengan bantuan bomba dan jurutera. - DM


Budak 5 tahun kunyah apa saja

Posted: 25 May 2012 10:53 AM PDT

LONDON: Zach Tahir tidak pernah berhenti mengunyah di bilik tidurnya kerana dia makan apa saja, dari kelengkapan bilik tidur hingga ke bidai yang menutup tingkap biliknya.

Kanak-kanak autistik berusia lima tahun itu tidak boleh bercakap dan menghidap penyakit ganjil yang menyebabkan dia tidak boleh membezakan makanan dengan objek yang tidak boleh dimakan.

Keperluannya untuk mengunyah bermakna dia cuba makan hampir apa saja, dari kasut sekolah hingga ke plaster dinding.

Ibunya, Rachel, 32, berkata, Zach makan sebahagian besar bidainya hingga dia terpaksa membeli yang baru bagi menutup tingkap kediaman mereka di Salford, di Manchester.


Rachel yang mempunyai anak perempuan berusia dua tahun, Isabella, berkata, Zach menghidap kecelaruan selera makanan yang menyebabkan dia akan makan apa saja.


"Dia biasanya tidur empat jam setiap malam. Masa yang lain digunakan untuk membuat bunyi dan melompat di atas katil serta makan apa saja yang boleh dicapai di dalam biliknya.

Dalam wawancara dengan akhbar Manchester Evening News: Rachel berkata: "Zach juga gemar memanjat tingkap dan memakan bidai. Dia suka jika dapat mengunyah sesuatu sepanjang masa, biasanya kain basah."

Benda lain yang suka dikunyahnya termasuk, kertas, pakaian, plaster, benang, lumpur, lumut, batu dan rambut. - DM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan