Jumaat, 25 Mei 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Pengedar dadah bodoh dijel tiga setengah tahun

Posted: 24 May 2012 10:31 AM PDT

LONDON: Seorang pengedar dadah 'bodoh' ditangkap oleh polis selepas gambarnya ditemui dalam telefon bimbit, menunjukkan dia memakai mahkota diperbuat daripada not 20 (RM100) dan satu beg kokain tergantung pada mulutnya.

Ayub Hagos dari Abbey Wood, London, ditangkap selepas polis menyelongkar rumah pangsanya di Southsea, Hampshire Oktober lalu dan menemui sejumlah dadah dan wang tunai.


Lelaki berusia 19 tahun itu menafikan dadah itu miliknya sehingga polis memeriksa telefon bimbitnya dan menemui gambar wang tunai, pistol, pisau dan serbuk putih.

Dia mengaku terhadap dua tuduhan memiliki dadah gred A dengan niat untuk mengedar.


Ayub semalam dijatuhi hukuman penjara tiga setengah tahun oleh Mahkamah Portsmouth.


Polis yang menyerbu rumah pangsa berkenaan menemui 23 bungkusan kokain yang bernilai 920 (RM4,600), 11 bungkusan heroin bernilai 440 (RM2,200), dan wang tunai berjumlah 500 (RM2,500).

Ayub didakwa meninggalkan kediamannya di London untuk menjual dadah itu di kawasan pantai selatan.


Ketika perbicaraan, peguamnya, Alexander Thompson memberitahu mahkamah, lelaki itu mempunyai sikap lurus bendul.

"Dia merakam gambar itu untuk menunjukkan keberaniannya dengan tujuan menjadikan dirinya lebih penting di hadapan rakannya." kata Thompson. - DM


Warga emas dikebumi hidup-hidup

Posted: 24 May 2012 10:29 AM PDT

BEIJING: Satu pasangan muda ditahan semalam selepas disyaki menanam seorang wanita hidup-hidup setelah melanggarnya dengan kereta.

Kes itu yang mencetuskan kemarahan orang ramai, berlaku di wilayah Zhejiang, timur China, membabitkan seorang wanita berusia 68 tahun.


Pasangan berkenaan disyaki melanggar wanita itu ketika memandu pulang selepas minum di sebuah bar karaoke pada 30 April lalu dan mereka menanam mangsa bagi mengelak tindakan undang-undang, lapor akhbar China Daily.

"Wanita itu dipercayai belum mati ketika ditanam," kata anggota polis Zhejiang, Zhou, kepada Chinda Daily.


Menurutnya, pakar perubatan mengesan partikel yang sama dengan tanah sekitar kawasan itu dalam paru-paru mangsa.


Seorang anggota polis tempatan yang dihubungi menerusi telefon mengesahkan pasangan itu, masing-masing berusia 25 tahun, ditahan dan disyaki menanam wanita terbabit.

Tidak dapat dipastikan sama ada mereka tahu wanita itu masih hidup ketika menanamnya.


Mayat mangsa ditemui tertanam di kawasan pembinaan pedalaman pada 1 Mei, tidak jauh dari kereta yang didakwa dipandu pasangan muda itu.

Kes itu mencetuskan semula perdebatan mengenai kemerosotan moral di kalangan penduduk China selepas kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang tidak dipeduli oleh orang ramai ketika dia terbaring di jalan raya selepas dilanggar sebuah kenderaan.


"Kita perlu meneliti punca tingkah laku itu dengan mengkaji sistem pelajaran dan sosial negara," kata seorang pengguna dalam laman blog popular, Sina weibo.


Kes itu juga dibandingkan dengan Yao Jiaxin, pelajar muzik berusia 21 tahun yang membunuh seorang ibu muda selepas melanggarnya dengan kereta di Xian, utara China, pada 2010.


Mangsa hanya cedera ringan tetapi Yao menikamnya lapan kali sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.


Pemuda itu kemudian ditangkap dan dihukum mati selepas dilapor mengaku membunuh mangsa kerana bimbang sukar menghadapi masalah dengan wanita itu jika mangsa hidup. - AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan