Jumaat, 25 Mei 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


PM era Mubarak dibaling kasut

Posted: 24 May 2012 04:33 PM PDT

Dunia

PENUNJUK perasaan mengangkat kasut ketika mengejar Ahmed Shafiq yang tiba untuk mengundi di Kaherah, semalam.

PENUNJUK perasaan mengangkat kasut ketika mengejar Ahmed Shafiq yang tiba untuk mengundi di Kaherah, semalam.

Ahmed Shafiq dikejar pengundi pada hari kedua pilihan raya presiden

KAHERAH: Bekas perdana menteri dan panglima tentera udara era Hosni Mubarak yang menjadi antara 12 calon bertanding jawatan presiden Mesir, Ahmed Shafiq, 70, menjadi sasaran kemarahan pengundi yang membaling batu dan kasut ketika beliau tiba di sebuah pusat mengundi semalam.

Laporan menyatakan, sebaik tiba di pusat membuang undi Fatima Anan di sini, penunjuk perasaan yang memegang kasut dan batu mula melaungkan kata-kata: "Penjenayah sudah sampai, pengecut sudah ada di sini, pergi jahanam dengan undang-undang tentera!". Tidak cukup dengan itu, mereka terus mengejar Shafiq sambil melempar kasut dan batu ke arah tokoh itu yang bergegas masuk ke dalam keretanya sebaik mengundi.

Shafiq sebelum ini secara terbuka mengecam kebangkitan golongan muda di Mesir yang menunjuk perasaan sehingga Mubarak digulingkan, menyebabkan beliau menjadi antara tokoh paling dibenci dalam pilihan raya kali ini.

Shafiq dilihat sebagai orang yang akan menghalang semua bentuk pembaharuan diingini rakyat dan mahu mengembalikan Mesir kepada pemerintahan diktator jika beliau memenangi pilihan raya.

Bagaimanapun, beliau dikatakan menjadi pilihan golongan pengundi yang mahukan kestabilan dan bimbang dengan pengaruh kumpulan Islam di Mesir.
Seorang lagi calon, Amr Moussa pula disambut dengan jeritan beratus-ratus penunjuk perasaan ketika tiba di pusat undi Nasr City, timur Kaherah.

Penunjuk perasaan adalah anggota keluarga mereka yang terbunuh dalam 'Pertempuran Unta' di Medan Tahrir dan 'Konfrontasi Kabinet Mesir' ketika kebangkitan menggulingkan Mubarak.

Pertempuran Unta berlaku apabila pihak berkuasa dikatakan mengarahkan supaya unta dan kuda digunakan untuk mengusir penunjuk perasaan di Medan Tahrir, menyebabkan ramai penunjuk perasaan terbunuh.

Kabinet Mesir kemudian menawarkan untuk meletak jawatan, tetapi tidak diterima tentera, mengakibatkan bantahan semakin memuncak.

Mereka juga membawa gambar dua mangsa yang terbunuh ketika kebangkitan, Alaa Abdel hadi dan Mina Daniel, sambil menegaskan tunjuk perasaan diadakan bagi mengingatkan pengundi, bahawa tanpa pengorbanan golongan muda Mesir, pilihan raya tidak mungkin dapat diadakan.

Sementara itu, penganalisis pilihan raya, media tempatan dan media asing melaporkan, kecuali beberapa pelanggaran kecil peraturan seperti berkempen saat akhir di luar pusat membuang undi, pilihan raya Mesir secara keseluruhannya berjalan lancar.

"Rakyat Mesir sangat teruja dengan pilihan raya ini, kerana ini adalah kali pertama pilihan raya diadakan secara beba sejak lebih tiga dekad," kata wartawan Britain bagi Asia Barat Richard Spencer.

Pergerakan Ikhwanul Muslimin berkata, calonnya Mohamed Mursi kini mendahului calon lain dan ini disahkan pejabat kempen Amr Moussa yang mendakwa beliau berada di kedudukan kedua.

Spencer bagaimanapun berkata, persoalan penting dan membimbangkan ialah sama ada calon yang menang akan diterima oleh kelompok lain. – Agensi


Kes paderi AS cabul kanak-kanak berleluasa

Posted: 24 May 2012 04:31 PM PDT

Dunia

PHILADELPHIA: Seorang paderi kanan Amerika Syarikat menolak tuduhan menyembunyikan kes paderi mencabul kanak-kanak pada minggu ke-9 perbicaraan mengenai salah laku seksual dalam gereja Roman Katolik negara itu dalam tempoh lebih satu dekad lalu.

Antara fakta yang menggemparkan ialah Laporan Persidangan Paderi Katolik Amerika lebih 10,000 tuduhan mengenai pencabulan seks oleh paderi di negara itu antara 1950 hingga 2002.

William Lynn mengaku mengarahkan seorang paderi tinggal di pekarangan gereja bersebelahan sekolah rendah apabila paderi itu dituduh mendera dan mencabul seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun. Lynn, 61, memberi keterangan mempertahankan diri atas tuduhan melindungi paderi yang didakwa melakukan penderaan seksual dengan memindahkan mereka ke gereja lain. Dia berdepan hukuman penjara 28 tahun jika disabit kesalahan.

Sebagai setiausaha paderi di bawah Kardinal Anthony Bevilacqua, Lynnn menyelia paderi di sini selama 12 tahun. Dengan 1.5 juta anggota, Philadelphia Archdiocese (pentadbir paderi) yang keenam terbesar di Amerika.

Lynn memberi keterangan cara dia menguruskan aduan penderaan pada 1990-an ke atas paderi Edward Avery yang dilucutkan jawatan.

Avery, yang dijadual dibicarakan bersama Lynn, mengaku bersalah beberapa hari sebelum perbicaraan bermula dan kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas jenayah seks.
Lynn memberi keterangan pada 1990-an, seorang pemuda mengadu Avery mencabulnya 20 tahun sebelum itu di kediaman paderi pada 1970-an.

"Avery menyentuh dan mencabulnya," kata Lynn yang memberitahu dia bersemuka dengan Avery dan apabila tertuduh menafikan tuduhan, Lynn mencadangkannya dihantar ke hospital Katolik untuk paderi bermasalah.

Selepas beberapa tahun perkembangan menggalakkan di sana, Lynn mencadangkan paderi itu bekerja semula tetapi ditolak Bevilacqua, yang mengarahkan Avery ditempatkan ke sebuah asrama paderi. – Reuters


Tiada ulasan:

Catat Ulasan