Kosmo Online - Dunia |
- Dua gempa bumi kuat di Indonesia
- Korea Utara tekad lancar roket
- Ribuan remaja 'histeria' kerana One Direction
Dua gempa bumi kuat di Indonesia Posted: Dua gempa bumi kuat di Indonesia
JAKARTA - Sekurang-kurangnya tiga ombak tsunami setinggi sehingga 80 sentimeter (sm) melanda pesisiran pantai Indonesia selepas satu gempa bumi kuat berukuran 8.6 pada skala Richter menggegarkan Pulau Sumatera semalam. "Alat pengukur ombak dan boya kami merekodkan tsunami kecil," Pegawai Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia, Kristiawan. Menurutnya, tsunami paling tinggi berukuran 80sm dicatatkan di Meulaboh, barat Aceh dengan beberapa ombak lebih kecil berlaku di kawasan pesisir pantai dekat rantau berkenaan. Semua tsunami berlaku hampir sejam setengah selepas gempa bumi pertama melanda pada waktu petang, katanya. Selain Indonesia, tsunami kecil setinggi 10sm turut melanda Pulau Andaman di Thailand semalam. Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) menyatakan gempa bumi pertama berpusat 33 kilometer di bawah dasar laut sekitar 434 kilometer dari wilayah Aceh. Bencana tersebut menyebabkan Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami untuk Indonesia, India, Sri Lanka, Australia, Myanmar, Thailand, Maldives dan kepulauan lain di Lautan Hindi, Malaysia, Pakistan, Somalia, Oman, Iran, Bangladesh, Kenya, Afrika Selatan serta Singapura. Satu gempa susulan kemudian berlaku dengan kekuatan 8.2 magnitud yang berpusat dari Banda Aceh. Gempa bumi pertama berlaku pada pukul 3.38 petang waktu tempatan manakala yang kedua berlaku pada pukul 5.43 petang. "Kami sekali lagi mengeluarkan amaran tsunami selepas gempa kedua berlaku," kata seorang lagi pegawai Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia Prih Harjadi dalam wawancara secara langsung bersama saluran televisyen TVOne. Menurutnya, penduduk di sepanjang pantai barat Pulau Sumatera dan Mentawai telah diarahkan supaya berpindah ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. "Gempa susulan berlaku selama empat minit dan ia kuat," kata seorang koresponden agensi berita AFP di Banda, Aceh. "Orang ramai panik dan bergegas keluar dari kediaman mereka dan bangunan," tambahnya. Amaran tsunami kemudian ditarik balik sekitar pukul 7.45 malam waktu Indonesia. "Orang ramai boleh kembali ke kediaman masing-masing," kata Ketua Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia, Woro Harijono kepada saluran televisyen Metro TV. Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menyatakan, Indonesia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan bencana terbaharu itu. - Agensi | |
Korea Utara tekad lancar roket Posted: Korea Utara tekad lancar roketPYONGYANG - Korea Utara semalam mengumumkan ia sedang mengisi bahan api ke dalam sebuah roket yang akan dilancarkan semasa sambutan ulang tahun bersejarah sempena penganugerahan gelaran baharu kepada pemimpin negara berkenaan, Kim Jong-Un. "Proses menyuntik bahan api sedang dilakukan dan akan selesai dalam masa terdekat," kata Pengarah Pusat Kawalan Misi Korea Utara, Paek Chang-Ho kepada sekumpulan wartawan asing. Pyongyang dijadualkan melakukan pelancaran dalam tempoh lima hari bermula hari ini. Menurut kenyataan Pyongyang, pelancaran itu bagi meraikan ulang tahun ke-100 kelahiran pengasas negara Korea Utara, Kim Il-Sung pada 15 April ini. Roket berkenaan direka bagi menghantar sebuah satelit pemerhati di orbit Bumi. Namun, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya menyatakan misi itu sebenarnya merupakan ujian peluru berpandu balistik Korea Utara sekali gus melanggar larangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Alasan yang sama juga digunakan apabila Korea Utara mendakwa ia telah meletakkan sebuah satelit di orbit pada 2009 tetapi beberapa pakar asing menyatakan tiada satelit baharu dikesan sebaliknya ia merupakan misi untuk menguji peluru berpandu jarak jauh. - AFP | |
Ribuan remaja 'histeria' kerana One Direction Posted: Ribuan remaja 'histeria' kerana One DirectionSEJUMLAH besar peminat terutamanya wanita berhimpun untuk menyaksikan anggota-anggota kumpulan One Direction di sebuah stesen televisyen di Sydney semalam. SYDNEY - Beribu-ribu remaja perempuan menyerbu studio sebuah stesen televisyen di sini semalam untuk tidak melepaskan peluang melihat anggota kumpulan pop Britain-Ireland, One Direction. One Direction yang dianggotai oleh lima anak muda berusia antara 18 hingga 21 tahun telah dikerumuni peminat sejak mereka tiba di sini dalam konsert jelajah pertama di Australia. Bakat kumpulan berkenaan dicungkil menerusi program televisyen Britain, The X Factor. Ratusan peminat sanggup bermalam dalam cuaca sejuk di plaza Martin Place di sini untuk memastikan mereka berada di barisan hadapan di luar tingkap kaca bangunan stesen televisyen tersebut untuk melihat kehadiran anggota kumpulan One Direction. Media tempatan melaporkan, beberapa gadis pengsan dan perlu diberikan rawatan kecemasan ekoran amat teruja melihat One Direction ketika kumpulan tersebut tiba di sini baru-baru ini. "Reaksi peminat amat menakjubkan. Kami seperti tidak percaya mendapat sambutan sebegini hebat," kata seorang anggota kumpulan pop tersebut, Liam Payne. One Direction dianggotai oleh lima pemuda Britain dan seorang lelaki Ireland. Album sulung mereka mencatat kejayaan yang belum pernah dicapai oleh kumpulan pop Britain apabila ia mengungguli carta lagu di Amerika Syarikat pada bulan lalu. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan