Isnin, 23 April 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Anggota pemisah selatan Thai ditembak mati

Posted: 22 Apr 2012 09:13 AM PDT

BANGKOK: Seorang anggota Runda Kumpulan Kecil (RKK), kumpulan pemisah di selatan Thai, terbunuh sementara seorang polis cedera dalam kejadian berbalas tembak di daerah Ruso, Narathiwat, awal semalam.

Militan yang terbunuh itu dikenal pasti sebagai Tuwaedunan Nima, anggota RKK yang mempunyai waran tangkap bertarikh 30 Jun 2009, atas tuduhan cuba membunuh, mengelak daripada ditangkap serta melanggar peraturan darurat.


Kejadian semalam berlaku kira-kira jam 5.30 pagi selepas Timbalan Ketua Polis Thai, Mejar Jeneral Suchart Thirasawat dan Timbalan Ketua Rejimen ke 46 Renjer, Lt Kolonel Thanit Saengchan, mengetuai operasi polis dan tentera untuk mengepung sebuah rumah di Tambon Ruso selepas menerima maklumat mengenai kehadiran Tuwaedunan.

Apabila diarah menyerah diri, suspek memanjat bumbung rumah berkenaan untuk bersembunyi dan melepaskan tembakan.


Dia turut melontar bom tangan menyebabkan seorang polis cedera sebelum polis menembaknya mati. - BT




Harry bercinta dalam rahsia

Posted: 22 Apr 2012 09:02 AM PDT

LONDON: Putera Harry kini dilaporkan berpacaran dengan ahli kumpulan The Saturdays, Mollie King, tetapi mereka bimbang ia mungkin gagal akibat liputan media.

Untuk mengelakkan keadaan itu, pasangan terbabit kini hanya berjumpa secara rahsia di tempat tertutup.


Kelmarin, Harry, 27, dan Mollie, 24, dilaporkan bertemu di sebuah rumah sahabat mereka di London.

Sumber berkata, Harry belajar daripada pengalaman abangnya, Putera William dan Kate apabila mereka mula keluar bersama dan hubungan cinta itu dihidu media.


"Harry tahu liputan melampau terhadap hubungan cinta abangnya menyebabkan William dan Kate terpisah pada satu ketika.


"Harry tak mahu keadaan itu menimpanya," katanya.

Sumber itu berkata, mereka mahu bertemu sekerap mungkin tetapi ia hanya boleh dilakukan di tempat tertutup untuk masa ini.


Katanya, dalam keadaan semasa, hanya ada beberapa rumah rakan paling dipercayai dapat menjadi lokasi pertemuan Harry - Mollie.

Di sebalik usaha melindungi hubungan cinta itu, pasangan terbabit keluar bersama tiga kali baru-baru ini.


Sebelum ini, khabar angin mendakwa, pasangan itu bertemu hasil rancangan sepupu Harry, Zara Phillips.


Difahamkan, Zara mengenali rakan Mollie dalam The Saturdays, Una Healey dan mereka yakin peluang untuk kedua-duanya saling menyukai agak terbuka. Sumber berkata, Harry dan Mollie gembira bersama tetapi penyanyi itu tidak akan bercakap mengenai hubungan berkenaan kepada sesiapa.


"Jika Mollie membuka mulut, hubungan mereka akan berakhir," katanya.


Pada masa sama, kata sumber itu, Mollie memang gemarkan publisiti dan dia tidak keberatan memberikan sedikit bayangan supaya orang ramai tertanya-tanya.


Pasangan itu dikatakan bertemu kali pertama apabila mereka menghadiri pertandingan polo di Surrey pada Julai 2010.


Bagaimanapun, ketika itu Mollie mempunyai teman lelaki. - DM




Tiada ulasan:

Catat Ulasan