Rabu, 25 April 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


1 bilion bakal mati kebuluran

Posted: 25 Apr 2012 02:52 PM PDT

Dunia

CHICAGO: Lebih satu bilion penduduk dunia kebuluran jika India dan Pakistan saling melancarkan senjata nuklear kerana cuaca akan mengalami perubahan besar sekalipun perang atom yang meletus secara terhad, menurut kajian yang disiarkan kelmarin.

Selain awan radiasi yang boleh mencemarkan tanah ladang jauh daripada pusat letupan, kajian mendapati jelaga yang dibebaskan ke atmosfera menyejukkan suhu global dan mengurangkan penurunan hujan di seluruh dunia. sekali gus memusnahkan tanaman.

Kajian itu mendedahkan data untuk menyokong amaran kesan buruk secara global dan tidak disengajakan penggunaan senjata nuklear, kata penulis kajian, Dr Ira Helfand, dari pertubuhan Doktor Antarabangsa bagi Menghalang Perang Nuklear. "Bukan sekadar senjata Amerika Syarikat dan Russia mengancam dunia. Malah, senjata lebih kecil memberi ancaman kepada tamadun kita. Ia pasti menamatkan kehidupan moden," kata Helfand.

Kajian berkenaan dijangka disiarkan jurnal Climate Change, dibentangkan di Persidangan Pemenang Nobel Keamanan di Chicago.

Ia menjangka pengeluaran jagung di Amerika akan menurun purata 10 peratus bagi satu dekad dan pengeluaran kacang soya juga menurun 10 peratus dengan pengurangan paling teruk berlaku lima tahun selepas perang nuklear.

Ia menjadikan pengeluaran beras di China menurun purata 21 peratus empat tahun pertama dan 10 peratus bagi enam tahun berikutnya selepas perang nuklear berakhir.
Pengeluaran tanaman negara lain juga menurun, kata Helfand. Kekurangan pengeluaran tanaman akan lebih buruk berbanding jangkaan kerana model konservatif tidak mengira peningkatan cahaya ultra ungu dan penyejukan global hingga membunuh tanaman.

"Kesan terhadap pemakanan dan hidup manusia amat mendalam," katanya.

Peningkatan harga makanan dan kekurangan produk pertanian akan hampir pasti berlaku hingga mencetuskan panik dan tindakan menyembunyikan barangan pada skala antarabangsa manakala akses kepada makanan mengecil.

Ketika 925 juta penduduk di seluruh dunia sudah pun berdepan masalah kekurangan zat makanan berdasarkan rekod terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kematian akibat kebuluran tidak dapat dielakkan.

Keadaan itu memburukkan masalah sosial dan membawa kepada konflik bersenjata dalam dan di antara negara. Masalah kebuluran selalunya disebabkan wabak penyakit berjangkit seperti taun dan cirit-birit berdarah, yang akan meningkatkan kadar kematian. – AFP

Amerika berdepan kes lembu gila ke-4

Posted: 25 Apr 2012 02:51 PM PDT

Dunia

CALIFORNIA: Amerika Syarikat berusaha mengawal jangkitan berikutan penemuan penyakit lembu gila di California ketika pengeksport daging terkemuka menegaskan bahawa wabak itu tidak akan memberi ancaman kepada pengguna.

Jabatan Pertanian Amerika kelmarin melaporkan kes keempat 'bovine spongiform encephalopathy' (BSE) tetapi menekankan bahawa wabak berkenaan terkawal dan

tiada daging tercemar memasuki rantaian makanan. Lembu tenusu yang dijangkiti dari tengah California tidak memberi risiko kepada bekalan makanan atau kesihatan manusia, kata pegawai terbabit. BSE tidak boleh dijangkiti melalui pengambilan susu.
"Jabatan Pertanian Amerika (USDA) kekal yakin dengan kesihatan ternakan kebangsaan dan keselamatan produk lembu dan tenusu. Ketika siasatan epidemiologi dijalankan, USDA akan terus memberi keputusan setiap masa secara telus."

Sampel haiwan dijangkiti dihantar ke sebuah makmal di Ames, Iowa dan terbukti ada BSE. Keputusan itu dikongsi dengan makmal di Britain dan Kanada. Pengakuan jangkitan meskipun kecil memberi kesan besar kepada pasaran.

Kes BSE sebelum ini di Amerika, Kanada, Israel, Eropah dan Jepun menyebabkan perdagangan makanan global bernilai berbilion dolar, terjejas.
Sekatan dan kawalan ketat diperkenalkan dan dalam beberapa kes dan semua ternakan disembelih, menjejaskan kehidupan petani.

Pengeluar lembu Amerika cuba untuk menghalang keadaan panik.

"Mesej paling penting adalah lembu Amerika adalah selamat," kata Philip Seng dari Persekutuan Daging Lembu Eksport Amerika. Eksport lembu bernilai lebih AS$353 juta (RM1.6 bilion) ke Amerika setiap bulan dengan Mexico, Kanada, Korea Selatan dan Jepun adalah pasaran eksport
utama.

Dua peruncit utama Korea Selatan menangguhkan jualan daging lembu Amerika dan menanti tindakan kerajaan Amerika.

Korea Selatan akan mengambil langkah 'sepatutnya' selepas pemeriksaan maklumat, kata kementerian pertanian sambil menambah bahawa kes terbaru tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan lembu yang diimport oleh Korea Selatan.

"Jika perlu kita akan perkukuh kuarantin dan pemeriksaan atau larangan import," kata pegawai.

Korea Selatan melarang lembu Amerika lewat 2003 berikutan satu kes terdahulu membabitkan penyakit lembu gila, tetapi hanya bersetuju meneruskan import pada 2008. – AFP

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Tiada ulasan:

Catat Ulasan