Khamis, 8 Mac 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Presiden Israel lawat pejabat Facebook

Posted:

Presiden Israel lawat pejabat Facebook

Presiden Israel lawat pejabat Facebook

SHIMON PERES (kiri) berbual dengan Mark Zuckerberg di ibu pejabat Facebook di Menlo Park, California Utara kelmarin.


SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Presiden Israel, Shimon Peres melawat ibu pejabat Facebook di Menlo Park, California Utara kelmarin.

Perez turut memuji laman jaringan sosial berkenaan sebagai mekanisme alternatif untuk orang ramai selepas beberapa usaha damai Asia Barat sebelum ini menemui kegagalan.

Pemimpin berusia 88 tahun itu bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg dan melancarkan halaman peribadinya di laman web berkenaan.

Ia bertujuan untuk mewujudkan dialog dengan penduduk Arab di negara-negara yang tidak memiliki hubungan diplomatik dengan Israel.

Dalam temu bual bersama Ketua Pegawai Operasi Facebook, Sheryl Sandberg yang disiarkan secara langsung di laman web firma berkenaan, Peres berulang kali memuji Facebook sebagai alat ke arah perubahan positif dengan membolehkan penduduk di negara-negara berbeza saling berkomunikasi.

"Soal keamanan bukan lagi urusan pemerintah tetapi ia kini urusan rakyat," kata Peres.

Menjawab soalan Sandberg mengenai program nuklear Iran, Peres berkata, beliau tidak bermusuh dengan rakyat Iran.

Namun, pada masa yang sama Peres mengecam pentadbiran Iran kerana merancang membina senjata nuklear.

Presiden AS, Barack Obama menjadi ketua negara pertama yang melawat ibu pejabat Facebook apabila beliau mengadakan pertemuan dengan Zuckerberg pada tahun lalu. - AP

Inong Malinda dihukum penjara lapan tahun

Posted:

Inong Malinda dihukum penjara lapan tahun

Inong Malinda dihukum penjara lapan tahun

JAKARTA - Sebuah mahkamah Indonesia semalam mendapati bekas pengurus perhubungan Citibank, Inong Malinda Dee, 49, bersalah melakukan pengubahan wang haram.

Dia memindahkan wang para pelanggannya ke dalam akaun miliknya untuk membeli beberapa buah kereta.

Sebuah mahkamah daerah di Jakarta Selatan menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun dan denda 10 bilion rupiah (RM3.3 juta) terhadap Inong.

Pada perbicaraan wanita itu, pendakwa raya berkata, Inong mengarahkan 117 pemindahan dana dengan setiap satu berjumlah dua bilion rupiah (RM674,786) daripada akaun klien-kliennya kepada akaunnya atau akaun beberapa kenalannya antara tahun 2007 dan 2011.

Wang tersebut digunakan untuk membeli kereta Ferrari, Porsche, Mercedes dan Hummer selain beberapa buah rumah dan apartmen mewah.

Mahkamah sama semalam memerintahkan dua buah kereta Ferrari, sebuah Hummer dan sebuah trak pikap Toyota selain wang tunai berjumlah 1.6 bilion rupiah (RM676,056) dikembalikan kepada Citibank.

"Perbuatan defendan bercanggah dengan program pemerintah untuk membasmi pengubahan wang haram yang menjadi keutamaan penguatkuasaan undang-undang," kata Hakim Kusno semasa membaca keputusan kes di mahkamah berkenaan.

Inong yang memakai skaf dan kasut tinggi merah jambu, menitiskan air mata semasa dia dibawa keluar dari mahkamah berkenaan untuk menjalani hukumannya.

Citibank yang merupakan bank ketiga terbesar di Amerika Syarikat mengarahkan satu siasatan dalaman dilakukan selepas seorang pelanggannya mengesan dan melaporkan pemindahan wang dilakukan tanpa kebenarannya.

Inong ditangkap pada Mac tahun lalu. - Reuters

Bekas isteri Sultan Brunei dakwa ditipu

Posted:

Bekas isteri Sultan Brunei dakwa ditipu

Bekas isteri Sultan Brunei dakwa ditipu

LONDON - Mariam Aziz yang merupakan bekas isteri Sultan Hassanal Bolkiah yang memerintah Brunei mendakwa seorang bekas pengawal peribadinya mencuri dan menjual barangan kemas bernilai £12 juta (RM57.2 juta), lapor akhbar MailOnline semalam.

Mariam, 55, turut mendakwa pengawal peribadinya itu, Fatimah Kumin Lim telah menggantikan berlian yang dicuri dengan replika tidak berharga.

Menurutnya, Fatimah, 34, mencuri seutas gelang berlian bernilai £3.5 juta (RM16.6 juta) dan dua bentuk cincin berlian bernilai £8.7 juta (RM41.5 juta) pada 2008 dan 2009.

Wanita berkenaan didakwa mencuri barang kemas tersebut bagi membayar hutang judinya.

Peguam Mariam, Max Mallin memberitahu Mahkamah Tinggi Britain bahawa Fatimah mengaku mengambil semua berlian itu ketika ia disimpan di kediaman majikannya yang berharga £1.7 juta (RM8.1 juta) di Kesington.

Mallin berkata, Fatimah membuat pengakuan itu apabila dia disoal siasat polis di Brunei.

Namun, Mallin berkata, Fatimah kini mendakwa pengakuan tersebut diperoleh secara paksaan.

Jelasnya, dia telah diarahkan oleh Mariam supaya menjual berlian-berlian itu bagi membayar hutang judi Mariam.

Fatimah berkata, bekas keluarga diraja itu menggunakan namanya untuk berjudi.

Mahkamah tinggi berkenaan turut diberitahu bahawa anak angkat Mariam, Afifa Abdullah, 26, diperdaya supaya meminjamkan sebentuk cincin berlian biru dan sebentuk cincin berlian kuning yang kemudian tidak pernah dipulangkan.

Menurutnya, Fatimah meminta untuk meminjam kedua-dua cincin itu dua kali iaitu pada November dan Disember 2009.

Fatimah yang tidak menghadiri perbicaraan tersebut, turut didakwa mengambil seutas gelang tangan berlian daripada majikannya pada 2008 dan menjual barang kemas itu.

Mariam menuntut ganti rugi nilai keseluruhan gelang tangan tersebut dan membuat satu lagi tuntutan mahkamah supaya cincin berlian biru dan kuning itu dipulangkan kepadanya.

Kedua-dua cincin tersebut kini berada dalam tangan seorang peniaga yang dipercayai membeli barang kemas berkenaan di Geneva, Switzerland.

Mariam bercerai dengan Sultan Hassanal Bolkiah pada tahun 2003.

- Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan