Berita Harian: Dunia |
Posted: 12 Mar 2012 01:41 PM PDT Dunia ANAR GUL menceritakan serangan askar Amerika yang membunuh cucu lelakinya di Panjwai, Kandahar, kelmarin. Mereka ketawa serta mabuk ketika masuk ke kediaman mangsa dan melepaskan tembakan. Berita terbaru ini bercanggah dengan laporan awal mengatakan hanya seorang askar terbabit dan dia sudah ditahan. "Kami tuntut dan menjangka kerajaan Amerika akan menghukum pesalah dan menghadapkan mereka ke muka pengadilan terbuka di Afghanistan. "Penduduk Afghanistan semakin hilang sabar dengan sikap tentera asing yang tidak memahami tata susila tempatan," menurut kenyataan Parlimen.Mengulas apa yang menimpanya, seorang lelaki Afghanistan berkata, anaknya mati terkena tembakan dan menuduh askar Amerika membakar mangsa. Saksi memberitahu sekumpulan askar Amerika tiba di perkampungan mereka di daerah Panjwayi pada 2 pagi waktu tempatan, masuk ke beberapa kediaman dan melepaskan tembakan. Presiden Afghanistan, Hamid Karzai, menyifatkannya pembunuhan kejam dan menuntut Washington memberi penjelasan..
"Mereka (askar Amerika) mencurah kimia ke atas mayat dan membakarnya. Kesemua 11 sanak saudara termasuk anak dan cucu saya maut," katanya. Jiran di kawasan itu berkata, mereka terbangun kerana mendengar bunyi tembakan askar Amerika yang mabuk serta ketawa. "Mereka semua mabuk dan melepaskan tembakan membabi buta. Mayat penuh dengan kesan tembakan," kata Agha Lala yang mengunjungi salah satu rumah yang terbabit. – Agensi/AP |
Netanyahu cakap tak serupa bikin Posted: 12 Mar 2012 01:34 PM PDT Dunia BANDARAYA GAZA: Jet tentera udara Israel terus membedil Gaza tengah malam kelmarin menyebabkan lima orang lagi warga Palestin terbunuh, menjadikan angka kematian serangan rejim Zionis itu meningkat kepada 23 ketika pertumpahan darah masuk hari keempat.Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berikrar untuk terus mensasarkan pejuang Palestin yang selagi perlu, dan sejak tengah malam, tentera udara rejim Zionis itu melancarkan sekurang-kurangnya lapan serangan udara, meragut tiga nyawa dan mencederakan 41 lagi, kata sumber perubatan Palestin. Dua daripada mangsa terbunuh sejurus selepas subuh dalam serangan berasingan di sekitar bandar raya Khan Yunis, yang juga menyebabkan dua cedera. Tidak lama selepas itu, remaja lelaki berusia 15 tahun terbunuh dan enam lagi pelajar cedera dalam satu lagi serangan udara berhampiran pekan Beit Lahiya. Kematian terbaru itu menjadikan angka korban meningkat kepada 23 dalam keganasan yang bermula dengan pembunuhan seorang pejuang kanan Palestin oleh Israel, tengah hari Jumaat lalu.Jurucakap perkhidmatan kecemasan Gaza, Adham Abu Selmiya, berkata 73 cedera sejak pertumpahan bermula Jumaat lalu, dan Israel melancarkan 36 serangan udara ke atas wilayah itu. Beliau menamakan mangsa terbaru sebagai Nayef Qarmut yang dalam perjalanan ke sekolah ketika terkorban dalam serangan pesawat kawalan jauh di Beit Lahiya. "Serangan pesawat kawalan jauh mensasarkan sekumpulan pelajar yang berjalan di kawasan lapang dalam perjalanan ke sekolah," katanya sambil menambah enam lagi cedera, dua daripada dalam keadaan kritikal.
Tentera Israel tidak memberi sebarang kenyataan mengenai serangan itu, tetapi terdahulu mengesahkan ia melancarkan enam serangan yang menyasarkan kemudahan menyimpan senjata. Turut disasarkan empat kawasan melancarkan roket di utara Semenanjung Gaza, selain kawasan melancarkan roket di selatan wilayah itu. Jurucakap tentera Israel berkata, pejuang Gaza membedil lebih 20 roket ke Israel sejak tengah malam, manakala dua lagi berjaya dipintas. Serangan roket itu menambah jumlah bedilan kepada hampir 180, katanya, dan 130 daripadanya menggegarkan selatan Israel dan 46 lagi berjaya dipintas oleh sistem antipeluru berpandu 'Iron Dome'. Lewat kelmarin, Netanyahu memberi amaran operasi akan berterusan selagi perlu. "Saya sudah beri amaran bahawa kami akan menyerang sesiapa yang merancang menyerang kami," katanya ketika melawat selatan Israel. – AFP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan