Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Pangkalan NATO diserangKABUL 27 Feb. - Sembilan maut, sementara enam yang lain cedera apabila satu letupan kereta berlaku di lapangan terbang Jalalabad yang menempatkan sebuah pangkalan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sini, pagi ini. Menurut jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF), mereka yang maut ialah enam orang awam, seorang tentera Afghan dan dua pengawal keselamatan tempatan. Militan Taliban turut mengaku bertanggungjawab mendalangi kejadian tersebut, menyatakan ia adalah satu serangan membalas dendam ekoran tindakan tentera Amerika Syarikat (AS) membakar al-Quran di pangkalan tentera Bagram minggu lalu. "Tentera asing telah menghina agama kami dan serangan ini dilancarkan bagi membalas dendam," kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid. Beberapa kenderaan lain turut rosak dalam letupan tersebut yang berlaku pada pukul 7 pagi waktu tempatan hari ini. Pengeboman terbaru itu menjadikan angka korban akibat protes ganas tersebut meningkat kepada 40 orang setakat ini sejak ia minggu lalu. NATO dan Britain kelmarin mengundurkan kakitangan mereka dari institusi-institusi kerajaan Afghanistan berikutan pembunuhan dua penasihat tentera AS di bangunan Kementerian Dalam Negeri. Dalam keganasan di seluruh negara ini kelmarin, sebuah pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diserbu beribu-ribu penunjuk perasaan di wilayah Kunduz, timur laut Afghanistan, tetapi polis mematahkan serangan itu dengan melepaskan tembakan ke arah orang ramai. Lima orang dilaporkan maut dalam insiden tersebut. - AFP |
Kevin Rudd gagal tumbangkan Julia Gillard dalam parti Buruh Posted: Kevin Rudd gagal tumbangkan Julia Gillard dalam parti BuruhJulia Gillard CANBERRA 27 Feb. - Perdana Menteri Australia, Julia Gillard yang dicabar oleh bekas Menteri Luarnya, Kevin Rudd dalam pertarungan untuk mengetuai Parti Buruh, hari ini menewaskan pencabarnya itu dalam pengundian rahsia parti pemerintah tersebut. Perdana Menteri wanita pertama Australia itu mengekalkan jawatan selepas menumpaskan Rudd dengan memenangi 71 undi berbanding 31 undi kepada lawannya pada pengundian yang disertai oleh 102 daripada 103 ahli Parlimen Parti Buruh. "Pengundian sudah diadakan dan Julia Gillard memenanginya dengan memperoleh 71 undi berbanding 31 undi kepada lawannya, dan dengan itu saya mengumumkan Gillard dipilih semula secara rasmi sebagai ketua Parti Buruh di Parlimen," kata pegawai pengundian, Chris Hayes yang menggambarkan keadaan dalam parti itu sebagai sangat tegang. Kemenangan Gillard itu adalah antara yang terbesar dalam sejarah pemilihan pemimpin Parti Buruh. Gillard meminta pengundian diadakan bagi menghentikan konfrontasi dengan Rudd, yang disingkirkannya sebagai ketua Parti Buruh dan Perdana Menteri dalam satu 'rampasan kuasa' pada 2010, dan untuk menamatkan pergolakan serius dalam parti pemerintah itu. Rudd menjadi Perdana Menteri berikutan kemenangan besar Parti Buruh pada pilihan raya 2007 yang menamatkan kerajaan konservatif selama lebih sedekad, tetapi beberapa kesilapan dasar menyebabkan beliau kehilangan kepercayaan tokoh-tokoh parti dan beliau disingkirkan oleh Gillard yang dilihat sebagai lebih pragmatik. Pemerhati berkata, Rudd tidak pernah memaafkan Gillard kerana menyingkirkannya dan beliau secara mengejut meletakkan jawatan sebagai Menteri Luar pada minggu lalu. Rudd kemudian mengumumkan beliau akan mencabar Gillard untuk jawatan tertinggi parti, kerana yakin beliau sahaja yang mampu menyelamatkan Parti Buruh daripada kekalahan teruk pilihan raya 2013. Gillard kini sudah pasti merombak Kabinet selepas beberapa menterinya termasuk Menteri Sumber, Martin Ferguson dan Menteri Imigresen, Chris Bowen menyuarakan sokongan terhadap Rudd. Beliau juga perlu mengumumkan pengganti bagi Rudd sebagai Menteri Luar dan Menteri Pertahanan, Stephen Smith yang memegang portfolio tersebut sebelum Rudd, dilihat sebagai calon pilihan. - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan