Isnin, 27 Februari 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Model veteran miliki RM1b

Posted: 26 Feb 2012 10:47 AM PST

LOS ANGELES: Seorang jelitawan veteran membuat kejutan apabila diumum sebagai supermodel paling kaya mengalahkan ramai model terkemuka lain, termasuk Gisele Bundchen dan Cindy Crawford.

Berusia 48 tahun, Kathy Ireland menjadi perhatian dalam industri fesyen apabila disahkan sebagai model menerima bayaran paling lumayan di dunia.


Dalam senarai terbaru dikeluarkan Forbes, kekayaan Kathy dianggar bernilai RM1 bilion, meninggalkan Gisele di tempat kedua dengan harta RM761 juta.

Tempat ketiga diduduki Cindy (RM306 juta) dan Tyra Banks berada di posisi keempat (hampir RM273 juta).


Supermodel lain yang berada dalam kedudukan 10 teratas senarai CelebrityNetWorth.com ialah Christie Brinkley, Heidi Klum, Kate Moss, Naomi Campbell, Elle Macpherson dan Claudia Schiffer.


Kathy muncul memperagakan pakaian mandi dalam 13 edisi berturut-turut majalah Sports Illustrated sepanjang kerjayanya.

Bagaimanapun, dia mengumpul kekayaan dengan memberi lesen menggunakan namanya untuk lebih 15,000 produk, termasuk tilam dan tingkap.


Produk yang menggunakan jenama Kathy begitu berpengaruh dan menjana jualan luar biasa bernilai RM6.2 bilion setiap tahun.

Dalam temubual sebelum ini, Kathy mendedahkan rahsia kejayaannya.


"Saya agak bagus sebagai model. "Saya tidak akan anggap saya super walaupun saya pernah bekerja dengan beberapa penerbitan yang hebat," katanya.


Menurut Kathy, pada zaman kemuncaknya, ada ramai model yang boleh dianggap supermodel.


"Saya terbabit dan berminat dengan bisnes sebelum membabitkan diri dalam bidang peragaan.


"Saya melihat pemodelan satu cara untuk seseorang boleh menyimpan wang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau memulakan perniagaan," katanya. - TS



Lelaki dari gunung diiktiraf manusia paling kerdil

Posted: 26 Feb 2012 10:43 AM PST

KATHMANDU: Seorang lelaki Nepal berusia 72 tahun diiktiraf sebagai manusia paling kerdil pernah direkodkan di dunia.

Seorang doktor dan pegawai Buku Rekod Guinness, mengambil ukuran Chandra Bahadur Dangi bagi mengesahkan ketinggiannya hanya 54.6 sentimeter.


Pegawai Guinness, Craig Glenday, menyerahkan dua sijil kepada Dangi sebagai perakuan menjadi manusia paling kerdil dan tokoh paling kecil pernah direkodkan dalam sejarah 57 tahun agensi itu.

Ditemui pemberita, Dangi berkata, dia sangat gembira dengan pengiktirafan berkenaan.


"Kini saya mahu mengembara ke seluruh Nepal dan negara luar," katanya.


Dangi mendakwa, dia tidak bercadang berkahwin atau berkeluarga, tetapi sangat teringin bersemuka dengan Perdana Menteri Nepal, Baburam Bhattarai.

Ketika ini, Dangi tinggal di kawasan perkampungan Rhimkholi - terletak di kawasan tanah tinggi terpencil 400 kilometer dari Kathmandu - bersama adik dan keluarganya.


Semua lima adik-beradik Dangi memiliki ketinggian normal.

Dangi tidak pernah bertemu doktor dan keluarganya mendakwa, dia tidak mengalami sebarang penyakit serius atau kecederaan.


Disebabkan ketinggiannya, Dangi tidak pernah bekerja di luar rumah.


Walaupun kerdil, saiz kepala Dangi normal dan dia sering bercukur. - AP



Tiada ulasan:

Catat Ulasan