Jumaat, 24 Februari 2012

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Republikan selar Obama

Posted:

Republikan selar Obama

Republikan selar Obama

WASHINGTON 24 Feb. - Pemimpin-pemimpin Parti Republikan menyelar permohonan maaf Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berhubung tindakan tenteranya membakar al-Quran di sebuah pangkalan AS di Afghanistan.

Insiden itu mencetuskan protes ganas di Afghanistan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 10 penunjuk perasaan terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi cedera sejak protes anti Amerika Syarikat (AS) berlangsung di seluruh Afghanistan empat hari lalu.

Semalam, dua tentera Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) yang diketuai NATO ditembak mati oleh tentera Afghanistan.

"Bagaimana Obama boleh meminta maaf pada hari dua tentera AS dibunuh, sementara empat yang lain cedera? Permohonan maaf sepatutnya dibuat Presiden Hamid Karzai (atas kematian anggota ISAF).

"Sikap double standard yang diperlihatkan AS serta sekutu-sekutunya yang enggan meletakkan tanggungjawab ke atas pemimpin yang bertolak ansur dengan keganasan serta penindasan di sempadan mereka, perlu dihentikan," kata calon Presiden AS, Newt Gingrich dalam satu kenyataan yang dipetik laman web berita News Core.

Bekas Gabenor Alaska, Sarah Palin turut menyuarakan rasa tidak puas hatinya dalam Twitter.

"Obama meminta maaf atas perbuatan membakar al-Quran yang tidak disengajakan dan kini tentera Afghanistan yang dilatih AS perlu meminta maaf di atas kejadian semalam," tulisnya.

Duta AS ke Kabul, Ryan Crocker semalam menyerahkan sepucuk surat permohonan maaf Obama kepada Karzai.

"Saya memberi jaminan yang kami akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengelak kejadian serupa daripada berulang serta mengenal pasti pihak bertanggungjawab," kata Obama dalam surat tersebut.

Seorang tentera Afghanistan semalam melepaskan tembakan di sebuah pangkalan tentera AS di wilayah Nangarhar, membunuh dua tentera AS selepas Taliban menggesa rakyat Afghanistan supaya menuntut bela atas insiden pembakaran Al-Quran itu dengan menjadikan pangkalan tentera asing sebagai sasaran. - AGENSI

Jemaah Anshorut Tauhid (JAT) dilabel pengganas

Posted:

Jemaah Anshorut Tauhid (JAT) dilabel pengganas

Jemaah Anshorut Tauhid (JAT) dilabel pengganas

WASHINGTON 24 Feb. - Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan Jemaah Anshorut Tauhid (JAT) yang berpangkalan di Indonesia sebagai sebuah pertubuhan pengganas asing dan meletakkan tiga pemimpinnya dalam senarai individu pengganas AS.

Menurut kenyataan jabatan tersebut, kumpulan itu bertanggungjawab merancang pelbagai serangan terhadap orang awam, polis dan anggota ketenteraan di Indonesia.

Selain itu, kumpulan tersebut juga disyaki terlibat dengan beberapa jenayah termasuk rompakan bank bagi mengumpul dana untuk membiayai pergerakan mereka serta terlibat dengan serangan bom di sebuah gereja di Jawa Tengah dan sebuah masjid di Jawa Barat tahun lalu.

Pemimpin JAT yang disenaraikan adalah; pemangku pergerakan, Emir Mochammad Achwan, 65; jurucakap, Son Hadi Muhadjir, 40, dan pegawai rekrut serta pengumpul dana, Abdul Rosyid Ridho Bashir, 38.

Dalam senarai tersebut juga, jabatan itu menyatakan menjadi kesalahan bagi sesiapa yang memberi wang atau sokongan material kepada JAT dan akan membekukan semua aset kumpulan itu yang terdapat di AS.

"Peraturan ini penting dalam usaha menentang keganasan dan menghalang sebarang sokongan terhadap aktiviti pengganas, serta menekan kumpulan tersebut daripada terlibat dengan keganasan," ujar kenyataan jabatan itu.

Pengasas dan pemimpin JAT, Abu Bakar Bashir (gambar) kini dipenjara selepas sabitan terhadapnya dikenakan tahun lalu berhubung dakwaan menganjurkan kem latihan militan di barat wilayah Aceh.

Sementara itu, di Jakarta, polis Indonesia hari ini berkata, pihaknya tidak akan mengharamkan kumpulan tersebut walaupun AS melabelnya sebagai pertubuhan pengganas.

"AS mempunyai hak untuk berbuat demikian, namun kumpulan tersebut dibenarkan meneruskan kegiatan mereka di sini selagi ia tidak melanggar undang-undang dan kami akan terus memantau aktiviti mereka," kata jurucakap polis kebangsaan, Saud Usman Nasution.

Dalam pada itu, jurucakap JAT yang namanya tersenarai sebagai individu pengganas, Son Hadi pula menganggap tindakan itu sebagai jenaka. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan