Kosmo Online - Dunia |
- Israel bedil kandang lembu
- Whitney Houston ditemui mati di hotel
- Parti diteruskan walaupun Houston mati
Posted: Israel bedil kandang lembu
GENTING GAZA - Satu serangan tentera udara Israel semalam membedil kandang lembu milik seorang penduduk Palestin di sini. Beberapa ekor haiwan itu cedera dan terbunuh akibat serangan berkenaan. Dalam serangan itu, seorang penduduk Palestin dilaporkan terbunuh. Tentera Israel menyatakan serangan tersebut dilancarkan bagi membalas dendam terhadap satu serangan roket yang dilakukan para pejuang Palestin. Pertubuhan Pusat Palestin Untuk Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di bandar Gaza menyatakan, penduduk yang maut itu ialah seorang petani, Wyad Abdul Hadi Rajab yang berusia 71 tahun. Menurut pertubuhan itu, dia merupakan pemilik kandang lembu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari sempadan Israel. Kandang lembu itu diserang dengan peluru berpandu. Menurut pertubuhan tersebut, semasa serangan, petani itu berada di dalam biliknya yang musnah. Seorang anak lelakinya mengalami luka. Beberapa ekor haiwan ternakan lain turut terbunuh manakala beberapa peralatan lain juga musnah. Pada Sabtu lalu, satu serangan roket yang dilancarkan para pejuang Palestin mengenai bandar Ashkelon, selatan Israel menyebabkan seorang wanita negara itu cedera ringan. - Agensi | ||
Whitney Houston ditemui mati di hotel Posted: Whitney Houston ditemui mati di hotel
LOS ANGELES - Legenda pop wanita Amerika Syarikat (AS), Whitney Houston mati di dalam biliknya di tingkat empat Hotel Beverly Hilton di sini kelmarin. Seorang pegawai polis, Leftenan Mark Rosen berkata, Houston yang genap berumur 48 tahun kelmarin diumumkan meninggalkan dunia pada pukul 3.55 petang waktu tempatan. "Tidak ada sebarang petunjuk jelas sebarang kejadian jenayah," kata Rosen merujuk sama ada penyanyi itu mati kerana perbuatan jenayah. Seorang kakitangan yang bekerja untuk Houston menyatakan punca kematian penyanyi tersebut tidak diketahui. Menurut Rosen, polis menerima panggilan kecemasan dari hotel itu tentang keadaan Houston yang kelihatan tidak bernyawa pada pukul 3.43 petang. Seorang anggota rombongannya membuat panggilan kecemasan 911 bagi memberitahu keadaan Houston. Anggota-anggota paramedik yang ditempatkan di hotel itu sebagai persediaan memberikan perkhidmatan perubatan semasa satu parti Anugerah Grammy berlangsung telah gagal untuk menyedarkan semula Houston, kata Rosen. Penyanyi itu meninggal dunia di hotel tempat mentornya, Clive Davis menganjurkan parti sebelum majlis Grammy yang dihadiri sejumlah selebriti industri termasuk penyanyi terkenal. Houston meninggal dunia beberapa jam sebelum dia dijadualkan menghadiri parti itu. Para tetamu yang merupakan selebriti terkenal pada parti itu terkejut dengan berita kematian Houston. Sejumlah peminat berkumpul di luar hotel tersebut untuk menyalakan lilin bagi memperingatinya manakala helikopter berlegar-legar di atas hotel tersebut. Menurut Guinness World Records, Houston merupakan penyanyi yang memenangi 415 anugerah sepanjang hidupnya. Dia merupakan penyanyi, pelakon, penerbit dan bekas model. Menurut seorang saksi, Houston kelihatan berpeluh dan bau arak dan rokok serta kelihatan tidak kemas sebelum dia meninggal dunia. Tiga hari lalu, dia membuat persembahan pada parti sebelum Anugerah Grammy dengan penyanyi Kelly Price. Houston yang dibesarkan di New Jersey menghadapi masalah ketagihan dadah. Albumnya dijual lebih 170 juta unit di seluruh dunia. Dia berkahwin pada 1992 dengan bekas penyanyi blues, Bobby Brown sebelum mereka bercerai pada 2007. Mereka mempunyai seorang anak perempuan, Bobbi Kristina. Brown pernah ditahan di Atlanta pada 1993 kerana perlakuan tidak senonoh dan bergaduh pada 1995. Dia juga ditangkap kerana memandu dalam keadaan mabuk dan melakukan serangan pada lewat 2003. Sementara itu, mayat Houston dibawa keluar menerusi pintu belakang hotel berkenaan bagi mengelak jurugambar merakamkan gambar. Seorang pegawai koroner, Kapten Brian Elias menyatakan, mayah Houston telah dihantar untuk dibedah siasat. Menurut Elias, dia tidak boleh mendedahkan maklumat siapa yang terlebih dahulu menemui mayat Houston sebelum anggota paramedik dipanggil untuk memberikan bantuan kepadanya. Pada Khamis lalu, akhbar Los Angeles Times melaporkan, Hoston berkelakuan ganjil semasa dia menghadiri latihan satu parti Anugerah Grammy. Dia kelihatan tidak kemas, pakaiannya tidak sesuai, rambutnya basah walaupun penyanyi tersebut memberi senyuman kepada orang ramai. Menurut laporan itu, tangan penyanyi berkenaan tergapai-gapai semasa dia bercakap. - Agensi Lagi berita, gambar di muka 40 & 47. | ||
Parti diteruskan walaupun Houston mati Posted: Parti diteruskan walaupun Houston matiPITBULL (kanan) dan Ne-Yo membuat persembahan pada parti yang dihoskan Clive Davis di Hotel Beverly Hilton, Beverly Hills, California kelmarin. LOS ANGELES - Parti sebelum Anugerah Grammy berlangsung yang dihoskan mentor penyanyi Whitney Houston, Clive Davis kelmarin diteruskan walaupun selebriti itu meninggal dunia kelmarin. Namun, pada parti itu, majlis memperingati Houston diadakan dengan ucapan takziah dan menghargai sumbangan penyanyi berkenaan dalam industri muzik. Parti itu dihadiri selebriti antaranya, Tonny Bennett, Dr. Dre, Mary J, Blige, Jennifer Hudson, Pitbull, Wiz Khalifa, Alicia Keys, Toni Braxton, Ne-Yo, Kim Kardashian, Adam Lambert, Britney Spears, Ray Davies dan Kelly Rowland serta bilionair, Richard Branson. Bagaimanapun, Davis yang membaca sekeping nota pada parti itu menyatakan hatinya hancur luluh ekoran kehilangan seseorang yang memberi makna dalam kehidupannya. "Dia (Houston) meminati muzik dan dia suka pada malam ini yang meraikan muzik. "Whitney merupakan seorang wanita yang cantik dan dia mempunyai bakat yang tidak dapat dibandingkan," katanya. Davis meminta tetamu senyap seketika gambar Houston semasaterpapar di skrin. Kemudian dia berkata: "Kini, tuan- tuan dan puan- puan, mari kita mulakan muzik (berparti)." Menurut penyanyi Tony Bennett dalam parti itu, sebelum ini penyanyi pop, Michael Jackson, Amy Winehouse telah meninggal dunia sebelum Houston. Sementara itu, beberapa selebriti memberikan ucapan takziah di laman Twitter ekoran kematian Houston. Antara yang memberi ucapan takziah itu ialah Mariah Carey yang menyatakan persembahan pentas Houston amat mengagumkan. Penyanyi Rihanna menyatakan dalam Twitter: "Tiada kata-kata! Hanya menangis." "Kami selalu menyayangi Whitney," kata penyanyi Katy Perry di Twitter. Ikon penyanyi remaja dunia, Justin Bieber berkata di Twitter: "Saya baru dengar berita di Twitter. Salah seorang suara terhebat sudah tiada." - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan