Isnin, 13 Februari 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Pengebom Bali ceria dengar pertuduhan

Posted: 13 Feb 2012 11:44 AM PST

Dunia

UMAR Patek bersalam dengan pendakwa sebelum keluar dari mahkamah selepas mendengar pertuduhan, semalam.

UMAR Patek bersalam dengan pendakwa sebelum keluar dari mahkamah selepas mendengar pertuduhan, semalam.

Umar Patek hadapi hukuman mati bersalam dengan hakim, pendakwa

JAKARTA: Suspek militan utama yang ditangkap di Pakistan, Umar Patek, memakai kopiah, berseluar dan baju putih tersenyum lebar kepada wartawan sebelum mula dibicarakan di sini semalam atas pelbagai dakwaan termasuk pembunuhan terancang dalam serangan bom di Bali pada 2002.

Dia tiba di mahkamah dalam kenderaan polis, diiringi komando polis bersenjata sebelum memasuki kandang tahanan.

Defendan bersubahat dengan pihak lain untuk melakukan jenayah dengan membawa masuk, memperoleh, menyediakan atau memiliki senjata api, peluru atau bahan letupan serta bahan bahaya lain untuk melancarkan keganasan. - Lexsy Mamont, Hakim

Umar Patek, 45, berdepan lima tuduhan lain termasuk membuat bom dan memiliki senjata api secara haram, dan pendakwa berkata mereka akan meminta dia dijatuhkan hukuman mati.

"Perbicaraan Umar Patek diisytiharkan bermula," kata Hakim Lexsy Mamont sebelum pendakwa, Widodo Supriady membaca pertuduhan.

"Defendan bersubahat dengan pihak lain untuk melakukan jenayah dengan membawa masuk, memperoleh, menyediakan atau memiliki senjata api, peluru atau bahan letupan serta bahan bahaya lain untuk melancarkan keganasan," kata Supriady kepada mahkamah.

Pendakwaan setebal 30 muka surat turut menyebut pembabitan Patek dalam aktiviti berkaitan keganasan di Aceh dan peranannya dalam pengeboman Bali.
Perancang serangan bom di Bali lain yang sudah dibicara dan dihukum mati termasuk Imam Samudra, Amrozi Nurhasyim dan Ali Ghufron.

Umar Patek turut memberitahu penyiasat, dia dan militan lain yang terbabit dalam serangan di Bali bertemu seminggu selepas itu untuk meraikan kejayaan itu dan membincangkan sama ada mereka boleh lakukannya dengan lebih baik.

Kamar mahkamah dipenuhi kira-kira 100 orang, separuh daripadanya wartawan Australia. Patek, yang duduk di kerusi berdepan dengan panel lima hakim diapit peguamnya di kiri dan pendakwa di kanan.

Selepas sesi ditunda hingga Isnin minggu depan, Umar Patek bersalam dengan hakim dan pendakwa sambil tersenyum sebelum dibawa keluar.

Maklumat hingga tertangkapnya Umar Patek sebagai suspek pengganas paling dikehendaki di Indonesia mencapai AS$1 juta (RM3 juta).

Dia diekstradisi ke Indonesia selepas ditangkap pada Januari 2011 di bandar Abbottabad, Pakistan, lokasi sama komando Amerika membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, Mei lalu.

Perbicaraan Umar Patek di mahkamah daerah Jakarta Barat dibuka di tengah kawalan ketat, dengan polis berkata mereka menempatkan unit pakar antikeganasan di seluruh bandar raya itu.

Menteri Pertahanan Indonesia, Purnomo Yusgiantoro, sebelum ini berkata ada maklumat Umar Patek cuba bertemu dengan Osama di Abbottabad sebelum penangkapannya, tetapi perkara itu tidak dapat disahkan. – AFP

Aceh gusar pergaduhan politik, senjata haram diedar

Posted: 13 Feb 2012 11:42 AM PST

Dunia

BANDA ACEH: Wilayah Aceh berdepan risiko dilanda keganasan apabila parti politik elit bertelingkah sesama sendiri dalam usaha menjadi pemerintah di kawasan yang kaya dengan sumber semula jadi itu, menerusi pilihan raya akan datang.

Minggu lalu, pusat kempen pasukan pilihan raya antara parti ditembak bertubi-tubi, menonjolkan perbalahan yang dikhuatiri mencetuskan lebih banyak keganasan membabitkan penggunaan senjata antara penyokong bekas komander kumpulan pemisah Gerakan Aceh Merdeka (GAM).

Gabenor Aceh, Irwandi Yusut, bekas ketua unit perisikan GAM yang bertanding untuk penggal kedua dalam pilihan raya 9 April ini, berkata kebimbangan semakin memuncak berhubung pengedaran senjata api haram. Irwandi baru-baru ini mengarahkan beberapa bekas perisik GAM bekerjasama dengan polis dan tentera untuk mencari sumber senjata api tidak berlesen itu.

"Kami merampas ratusan senjata api. Beberapa pejuang GAM menyerahkan senjata mereka secara suka rela. Namun, dalam sesetengah kes, kami membayar penduduk supaya menyerahkan senjata.

"Masih banyak senjata diedarkan di Aceh," katanya sambil menafikan dakwaan senjata yang diserahkan itu diagihkan kepada pengikutnya dalam usaha mempertahankan diri daripada pembangkang.

Aceh masih bergelut untuk pulih dari segi ekonomi dan sosial berikutan konflik selama tiga dekad yang meragut lebih 17,000 nyawa.
Pada Ogos 2005, GAM bersetuju menggugurkan tuntutan mendapatkan kemerdekaan dan menandatangani perjanjian damai dengan Kerajaan Indonesia, tidak sampai setahun selepas tsunami melanda pada 26 Disember 2004 membunuh 220,000 penduduk wilayah itu.

Bagaimanapun, pejuang GAM cuma menyerahkan 830 unit senjata kepada tentera dengan lebih 5,000 masih disimpan.

Senjata itu dipercayai digunakan untuk melakukan keganasan di wilayah berkenaan menjelang pilihan raya.

"Kami tidak bertanggungjawab di atas serangan bersenjata baru-baru ini. Kami selalu dituduh apabila ada kejadian berkaitan keganasan. Bekas pejuang tidak lagi menyimpan senjata. Kami serahkan semuanya kepada pihak berkuasa," kata calon pilihan raya, Zaini Abdullah, juga bekas menteri GAM yang sebelum ini tinggal dalam buangan di Sweden. – Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan