Kosmo Online - Dunia |
Posted: Lelaki Uzbek cuba bunuh ObamaWASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lelaki Uzbekistan yang tinggal di AS mengaku salah di mahkamah persekutuan negeri Alabama kelmarin kerana cuba membunuh Presiden Barack Obama. Jabatan Kehakiman AS dalam satu kenyataan memberitahu, Ulugbek Kodirov (gambar), ditangkap dalam satu operasi rahsia semasa dia cuba mendapatkan bahan letupan dan senjata. Pendakwaraya AS yang mengendalikan kes berkenaan, Joyce White Vance mengucapkan terima kasih kepada komuniti Islam di Birmingham, AS, kerana membantu pihak berkuasa mematahkan ancaman Kodirov. Kodirov, 22, mengaku salah berhubung tuduhan memberikan bantuan material bagi aktiviti pengganas, mengancam membunuh Presiden AS dan memiliki senjata api oleh pendatang asing. Dia mengaku pernah berhubung dengan "seorang individu yang dia percaya ialah anggota Pergerakan Islam Uzbekistan (IMU)," dan diarah oleh individu terbabit untuk membunuh Presiden Obama. Jabatan Negara AS menganggap IMU sebagai pertubuhan pengganas. Kodirov juga mengaku berbincang tentang komplot tersebut dengan seorang individu lain. Individu kedua tersebut yang identitinya tidak didedahkan Jabatan Kehakiman, memperkenalkan Kodirov kepada seorang ejen perisik AS yang menyamar, bagi membeli senjata api. Mereka bertemu di sebuah motel di Leeds, negeri Alabama pada Julai 2011. Kodirov membeli sepucuk mesingan M15-A1 dan empat bom tangan sebelum ditangkap. Dia memasuki AS dari Uzbekistan dengan menggunakan visa pelajar pada Jun 2009. Pasportnya dibatalkan pada 2010 selepas dia gagal mendaftar di sebuah pusat pengajian tinggi AS. Pemuda itu tinggal secara haram di sebuah motel di Alabama semasa ditangkap. Kodirov boleh dipenjara sehingga 30 tahun jika didapati bersalah atas semua tuduhan. - AFP |
Pengebom Bali dedah cara buat bom 700 kg Posted: Pengebom Bali dedah cara buat bom 700 kgGAMBAR fail 29 November 2011 menunjukkan suspek pengganas, Umar Patek diiring dua anggota polis Indonesia di sebuah mahkamah di Jakarta. JAKARTA, Indonesia - Seorang militan Indonesia yang didakwa berhubung serangan pengganas di Bali pada 2002 memberitahu penyiasat, dia memencilkan diri selama beberapa minggu di sebuah rumah sewa untuk membina bom seberat setengah tan dengan menggunakan barangan dalam rumah termasuk senduk nasi, alat timbang dan sejumlah beg plastik. Satu transkrip soal siasat Umar Patek yang diperoleh agensi berita The Associated Press (AP) menceritakan secara terperinci tentang komplot pengeboman di Bali beberapa hari sebelum Patek, yang pernah menjadi suspek pembuat bom paling dikehendaki di Asia Tenggara, dibicarakan di sini kerana peranannya dalam serangan ke atas sebuah kelab malam yang membunuh 202 orang pada 2002. "Di sebuah bilik rumah sewa berkenaan, saya mula mencampurkan bahan-bahan yang telah disediakan," kata Patek. "Selama tiga minggu, saya menjadikan campuran tersebut kepada serbuk hitam dengan bantuan Sawad (konconya). Saya menggunakan alat timbang yang biasa digunakan di kedai runcit, senduk nasi dan sejumlah beg plastik bekas untuk mengisi bahan letupan," tambahnya. Patek yang dikenali sebagai lelaki peledak kerana kepakarannya menggunakan bahan letupan berkata, dia dan beberapa konco lain mengisi bom seberat 700 kilogram itu ke dalam empat kabinet dan meletakkannya di dalam sebuah van Mitsubishi L300 bersama sebuah bom rompi TNT. Van berkenaan diletupkan di luar dua kelab malam popular di Pantai Kuta, Bali pada 12 Oktober, 2002. Kebanyakan mangsa yang maut dalam serangan tersebut adalah pelancong asing. Patek, 45, akan dibicara esok selepas sembilan tahun menjadi buruan pihak berkuasa. Dia melarikan diri ke Filipina sebelum ditangkap di bandar Abbotabbad, Pakistan pada Januari 2011. Pasukan komando Amerika Syarikat (AS), Navy Seals menembak mati ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama Bin Laden di bandar sama beberapa bulan kemudian. - Agensi |
Posted: Tupai ungu cetus sensasiSEEKOR tupai berwarna ungu yang diperangkap Percy Emert dan isterinya Connie di taman milik mereka di negeri Pennsylvania. WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Seekor tupai ungu yang dijerat sepasang suami isteri di AS mencetuskan sensasi di internet berhubung persoalan bagaimana haiwan tersebut mendapat warna pelik itu. "Kami pun tidak tahu. Namun, ia benar-benar berwarna ungu. Ada orang mendakwa kami mencelup warna tersebut tetapi secara jujur, kami menemui tupai ini dan ia ungu," kata Percy Emert yang menemui mamalia berkenaan bersama isterinya, Connie. Kata mereka, tupai itu memasuki perangkap pada Ahad lalu. Menurut laman web accuweather.com, pasangan berkenaan memasang perangkap di taman milik mereka di negeri Pennsylvania bagi melindungi burung peliharaan daripada haiwan pemangsa. Mengulas tentang fenomena tersebut, seorang ahli meteorologi AS, Dan Kottlowski berkata: "Tupai jantan itu mungkin telah terjatuh ke dalam cat ungu." Namun, pendapat tersebut disangkal oleh seorang komentator lain yang memberikan penjelasan lebih saintifik. "Warna ungu itu merupakan sebatian bromida yang dilihat pada spesies moluska dan jarang didapati pada haiwan darat. "Tupai tersebut memiliki terlalu banyak bromida dalam sistem badan, berkemungkinan besar kerana ia meminum air daripada sumber air dicemari bromida. Ini bermakna alam sekitar kita sudah tercemar dan ramai orang akan mendapat barah pundi kencing kelak," katanya. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan