Selasa, 28 Februari 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Geng curi mesin ATM ditumpas

Posted: 27 Feb 2012 07:28 AM PST

ROME: Polis semalam mendedahkan rakaman gambar sekumpulan perompak Itali yang cuba melarikan sebuah mesin pengeluar wang (ATM) dari sebuah bank.

Kumpulan tujuh perompak itu dirakam oleh pegawai sebagai sebahagian daripada siasatan lebih meluas kegiatan jenayah kumpulan terbabit.


Dengan bersenjatakan besi pencungkil dan tukul, kumpulan berkenaan mematikan sistem penggera di dalam bank berkenaan dan kemudian dengan mudah membuka pintu keselamatan untuk memasukinya.

Di dalam, kamera keselamatan menujukkan bagaimana seorang anggota kumpulan penjenayah itu begitu bersahaja tanpa perasaan bimbang akan dikenali ketika dia memerhatikan rakannya mengangkat mesin pengeluar wang ke atas troli dan menolaknya keluar.


Mereka merancang mengangkat mesin berkenaan yang berisi wang kertas berjumlah lebih 30,000 (RM150,000) ke dalam van yang dicuri yang menanti di luar bank berkenaan di kawasan Boccea di Rome.


Bagaimanapun, nasib kumpulan itu berakhir di situ apabila polis serta-merta mengepung dan menahan mereka tanpa sebarang pergelutan.

Jurucakap polis Rome berkata: "Kumpulan berkenaan diawasi sebagai sebahagian daripada operasi lebih besar dan apabila melihat van curi itu di luar bank terbabit, ia serta-merta menarik perhatian penyiasat berkenaan.


"Beberapa anggota kumpulan itu menggunakan besi pencungkil dan peralatan lain untuk mematikan sistem penggera. Mereka memasuki bank itu dan mengambil mesin pengeluar wang." Menurutnya, enam daripada lelaki yang ditahan itu berasal dari Rome sementara seorang lagi dari Naples. Mereka berusia antara 32 hingga 62 tahun dan kini ditahan di Penjara Regina Coeli di ibu negara Itali itu.

Polis mengesyaki kumpulan itu bertanggungjawab terhadap beberapa kecurian mesin pengeluar wang di Rome dan selatan Itali sebelum ini. - DM



William berang badak sumbu rakan dibunuh

Posted: 27 Feb 2012 07:21 AM PST

LONDON: Putera William semalam dikatakan berang dan kecewa apabila pemburu membunuh seekor badak sumbu kesayangan rakannya.

Max, badak sumbu putih yang hampir pupus, ditembak oleh pemburu haram yang kemudian memenggal sumbunya.


Haiwan berusia enam tahun itu dipelihara sendiri oleh Ian Craig, pemilik taman hidupan liar di Kenya dan bapa bekas teman wanita William, Jecca.

William, 29, menghabiskan masa beberapa minggu membantu projek pemuliharaan pada 2001 dan berkenalan dengan Max pada kunjungannya ke Afrika selepas itu.


Putera itu begitu tertarik dengan usaha Craig membiak badak sumbu hingga dia menjadi penaung kepada badan kebajikan Tusk Trust.


Max yang pernah muncul dalam dokumentari televisyen, Last Chance To See, ditembak 17 kali.

Pengawal sudah membuang hampir semua sumbunya dalam usaha melindunginya daripada pemburu.


Bagaimanapun, Craig berkata, baki sumbu yang sedikit itu tetap menjadi tarikan pemburu.

Sumbu badak boleh dijual dengan harga sehingga RM200,000 sekilogram di Asia, di mana ia didakwa boleh mengubati barah.


Jurucakap William berkata: "Beliau kecewa dengan kejadian itu. Beliau berang dengan kegiatan pemburuan haram itu." - DM



Tiada ulasan:

Catat Ulasan