Sabtu, 11 Februari 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Hamas tak akan iktiraf Israel

Posted: 11 Feb 2012 02:55 PM PST

Dunia

TEHRAN: Hamas tidak akan sama sekali mengiktiraf Israel, tegas Perdana Menteri pergerakan itu di Gaza, Ismail Haniya, semalam dalam ucapan di Iran yang dilihat menyukarkan usaha Palestin membentuk kerajaan perpaduan berikutan bantahan wilayah Yahudi itu.

"Mereka mahu kami mengiktiraf pencerobohan Israel dan menghentikan tentangan tetapi sebagai wakil penduduk Palestin dan dengan nama kebebasan, saya mengumumkan dari Dataran Azadi di Tehran yang kami tidak akan mengiktiraf Israel.

"Tentangan akan diteruskan sehingga semua tanah Palestin termasuk Baitulmaqdis dibebaskan dan semua pelarian kembali," katanya. Penegasan Haniya mengenai pendirian Hamas itu dibuat dalam satu majlis memperingati revolusi Islam di Iran pada tahun 1979.

Pemimpin Gaza itu bercakap kepada anggaran 30,000 hadirin dari atas pentas bersama-sama Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

"Rakyat Iran adalah rakan dalam kejayaan ini. Insya-Allah, kami akan bertemu anda bersama-sama rakyat Palestin lain dalam negara bebas Palestin, di ibu negara, Baitulmaqdis," katanya.

Israel menolak usaha Hamas untuk bekerjasama dengan Fatah, parti lebih sekular pimpinan Presiden Mahmud Abbas yang mentadbir Tebing Barat, untuk membentuk kerajaan perpaduan. Ia menganggap Hamas sebagai pertubuhan pengganas dan Iran sebagai penyokong dan pembekal senjata.
Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, memberitahu wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Khamis lalu perjanjian Hamas dan Fatah yang ditandatangani minggu ini untuk berganding bahu dalam kerajaan baru tidak menyumbang kepada lanjutan rundingan damai atau kebajikan penduduk Palestin.

Blok yang bertanggungjawab dalam proses damai Asia Barat itu iaitu Kesatuan Eropah, Russia, PBB dan Amerika Syarikat sudah lama mendesak supaya kerajaan Palestin termasuk Hamas memenuhi syarat tertentu untuk menyertai rundingan iaitu menghentikan keganasan dan mengiktiraf Israel dan perjanjian masa lalu dengan wilayah Yahudi itu. – AFP

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


‘Senduk, periuk nasi bom Bali’

Posted: 11 Feb 2012 02:53 PM PST

Dunia

JAKARTA: Suspek pengganas Indonesia dikenali sebagai Demolition Man kerana kepakarannya mengendalikan bahan letupan memberitahu penyiasat dia menggunakan bahan asas di rumah termasuk senduk nasi dan penimbang dapur untuk menghasilkan bom besar yang memusnahkan kelab malam di Bali.

Selepas lebih sebulan menjalankan kerja dengan berhati-hati, Umar Patek meletakkan bom seberat 700 kilogram itu di dalam empat kabinet yang dipasang di dalam van yang memusnahkan dua kelab malam pada 12 Oktober 2002, membunuh 202 orang, menurut dokumen yang memperincikan soal siasat ke atasnya. Kebanyakan mangsa adalah pelancong asing.

Patek dibicarakan esok (Isnin) kerana dakwaan pembabitannya dalam pengeboman di Bali dan tindakan ganas lain berikutan sembilan tahun melarikan diri daripada buruan pihak berkuasa yang membawanya dari Indonesia ke Filipina dan Pakistan. Warga Indonesia berusia 45 tahun itu akhirnya ditangkap pada Januari 2011 di bandar sama di Pakistan yang menyaksikan pembunuhan Osama bin Laden oleh tentera Amerika Syarikat beberapa bulan kemudian.

Patek, suspek pembuat bom paling terkenal Asia Tenggara, bersembunyi dalam bilik di bilik di atas sebuah rumah di Abbottabad, ketika tentera Pakistan yang bertindak atas maklumat Agensi Perisikan Pusat menyerbu. Ganjaran AS$1 juta (RM3 juta) diberikan untuk kepalanya.

Selepas pertempuran yang menyebabkan Patek cedera, dia ditangkap dan diekstradisi ke Indonesia.

Penangkapannya dilihat sebagai kayu pengukur kejayaan yang dicapai pasukan keselamatan Asia, dengan bantuan Amerika, menentang pertubuhan Jemaah Islamiyah, yang dikaitkan dengan al-Qaeda, yang didakwa mendalangi pengeboman di Bali dan beberapa serangan lain di Indonesia. Semua pemimpin lain pertubuhan itu dihukum bunuh, dibunuh oleh pasukan keselamatan atau menanti hukuman mati.
Patek didakwa dengan pembunuhan terancang, menyembunyikan maklumat mengenai keganasan, memiliki bahan letupan secara haram dan konspirasi melakukan keganasan dan kini berdepan kemungkinan dijatuhkan hukuman mati. Pendakwaan juga menuduh Patek menyediakan bahan letupan yang digunakan dalam serangan menjelang Krismas ke atas gereja pada tahun 2000 yang meragut 19 nyawa. – AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan