Kosmo Online - Dunia |
- Saintis sahkan glasier cair di Himalaya
- Raja Thai bertitah selama lima minit
- Majalah dakwa gambar aktres Pakistan tulen
Saintis sahkan glasier cair di Himalaya Posted: Saintis sahkan glasier cair di Himalaya
KATHMANDU, Nepal - Berjuta-juta orang terancam akibat glasier cair di banjaran Himalaya, menurut beberapa saintis yang melakukan kajian menyeluruh mengenai perubahan iklim di rantau berkenaan. Penemuan yang disiar dalam tiga laporan Pusat Antarabangsa bagi Integrasi Pembangunan Pergunungan (ICIMOD) itu menunjukkan glasier Nepal mengecil sebanyak 21 peratus manakala glasier Bhutan menyusut 22 peratus sejak lebih 30 tahun lalu. Siri laporan berkenaan yang dibentangkan di mesyuarat iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Durban, Afrika Selatan, kelmarin merupakan pengesahan rasmi pertama mengenai tahap kecairan glasier di Banjaran Himalaya. Ia menyusul selepas pengumuman beberapa saintis pada 2007 bahawa glasier di rantau berkenaan akan hilang menjelang 2035. Satu kajian selama tiga tahun yang dibiayai kerajaan Sweden diketuai ICIMOD menunjukkan 10 glasier di rantau itu sedang mengecil dengan penyusutan besar berlaku antara tahun 2002 dan 2005. Satu kajian lagi mendapati terdapat pengurangan besar dalam jumlah kawasan dilitupi salji di rantau berkenaan dalam tempoh sedekad lalu. "Laporan-laporan ini menyediakan asas baharu selain maklumat lokasi spesifik untuk memahami perubahan iklim yang berlaku di kawasan ekosistem antara paling rapuh di dunia (banjaran Himalaya)," kata pengerusi panel antarabangsa mengenai perubahan iklim (IPCC), Rajendra Pachauri. - AFP Full content generated by Get Full RSS. | ||
Raja Thai bertitah selama lima minit Posted: Raja Thai bertitah selama lima minitRAJA BHUMIBOL ADULYADEJ (tengah) bertitah di Istana Besar, Bangkok semalam. BANGKOK - Pemerintah Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej meminta rakyatnya bersatu padu sebagai respons ke atas banjir paling buruk dalam tempoh setengah abad negara ini. Raja Bhumibol bertitah semalam bagi meraikan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-84 tahun. Baginda bertitah di Istana Besar selama lima minit selepas dibawa dari sebuah hospital berdekatan. Raja Bhumibol dirawat di hospital itu lebih dua tahun. Sejumlah penduduk berbaris di tepi jalan dengan mengibarkan bendera dan menyorak panjang umur buat raja mereka. Kehidupan kira-kira satu perlima daripada 64 juta penduduk Thailand terjejas ekoran banjir yang bermula lewat Julai lalu. Lebih 600 orang telah mati. Raja Bhumibol memberitahu kepada para pegawai bahawa kestabilan bergantung kepada kegembiraan rakyat. Menurut baginda, adalah menjadi tanggungjawab untuk bekerjasama dan menyelesaikan masalah dengan mengikut kemampuan yang terbaik mereka. "Perkara paling penting adalah anda tidak sepatutnya berpisah atau bergaduh sesama sendiri," titah baginda. Negara Thailand telah menjadi sebuah negara yang berada dalam ketidaktentuan politik sejak tentera merampas kuasa pada 2006 bagi menggulingkan Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra sekali gus menyebabkan perbalahan kuasa di antara para penyokong dan penentangnya. Perbalahan itu kadang-kadang menyebabkan keganasan dengan pada tahun lalu, 90 orang kehilangan nyawa dan beberapa buah bangunan dibakar. - Agensi Full content generated by Get Full RSS. | ||
Majalah dakwa gambar aktres Pakistan tulen Posted: Majalah dakwa gambar aktres Pakistan tulen
NEW DELHI, India - Pihak pengurusan majalah FHM versi India mempertahankan muka depan isu terbaharunya yang menampilkan aktres Pakistan, Veena Malik berbogel dengan lengannya dicacah tatu ISI iaitu singkatan untuk agensi perisikan Pakistan. Majalah FHM edisi Disember masih belum berada di pasaran tetapi prebiu majalah berkenaan di laman webnya menimbulkan kontroversi terutamanya selepas Veena menafikan dia bergambar bogel. Malah, aktres berkenaan menuduh FHM menggunakan teknik pertindihan gambar untuk mengubah imejnya. Mengulas isu tersebut, pengarang FHM India, Kabeer Sharma memberitahu agensi berita AFP bahawa dia keliru dengan tuduhan aktres itu. "Mungkin tindakan dia bergambar bogel itu telah memakan diri justeru, dia menafikannya. "Kulit majalah ini tulen. Ia menampilkan tubuh sebenar Veera, dia memiliki tubuh yang hebat," kata Sharma. Perbuatan berbogel untuk filem dan majalah masih tidak dapat diterima oleh komuniti India apatah lagi rakyat Pakistan yang majoritinya beragama Islam. Veera yang sudah lama menceburi industri perfileman Pakistan, Lollywood, terkenal di India selepas muncul dalam program televisyen Big Boss yang diadaptasi daripada program realiti popular Big Brother di Eropah. - Agensi Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan