Sabtu, 1 Oktober 2011

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Laman sosial jerat lelaki dua isteri

Posted: 30 Sep 2011 09:37 AM PDT

LONDON: Seorang lelaki yang mengamalkan bigami ditangkap selepas isterinya melihat gambar perkahwinan keduanya di laman Facebook.

Diane Haynes masih berkahwin secara sah dengan pemandu bas, Paul Haynes apabila dia melihat gambar perkahwinan suaminya di rangkaian laman sosial itu. Pendakwa raya, Andrew Scott memberitahu Mahkamah Agung Lincoln ketika pasangan itu berpisah, Haynes menjalin hubungan baru bersama Sandra Jones sebelum mereka berkahwin secara sivil di Hotel George di Stamford, Lincolnshire pada 25 Jun tahun lalu.


Tiga bulan selepas itu, Diane menemui gambar berkenaan ketika melayari Facebook dan kemudian menghubungi polis.

Scott berkata, ketika Haynes mengatur perkahwinan keduanya, dia menipu timbalan pendaftar perkahwinan semasa mengisi borang mengatakan dia masih bujang dan tidak pernah berkahwin.


"Dia diminta mengesahkan sama ada dia pernah berkahwin sebelum ini dan mengatakan tidak.


"Penipuan itu terbongkar hingga September tahun lalu. Diane yang masih berkahwin dengan Haynes menemui beberapa gambar di Facebook menunjukkan perkahwinan defendan bersama Sandra.

"Perceraiannya dengan Diane masih diproses dan defendan adalah suami Diane ketika dia berkahwin dengan Sandra," katanya.


Haynes, 38, dari Stonald Road, Whittlesey, Cambridgeshire mengaku bersalah di bawah Akta 1911 kerana membuat pengakuan palsu mengenai perkahwinan.

Dia dihukum penjara 16 minggu dan 80 jam khidmat komuniti serta didenda 250 pound (RM1,250). - DM

37 pekerja, bekas kakitangan Boeing didakwa bersabit jual, beli dadah

Posted: 30 Sep 2011 09:35 AM PDT

PHILADELPHIA: Pihak berkuasa persekutuan, semalam mendakwa 37 kakitangan dan bekas kakitangan syarikat Boeing kerana menjual atau cuba membeli ubat penahan sakit dan ubat anti-keresahan di loji membuat pesawat tentera di pinggir bandar raya ini.

Berikutan siasatan empat tahun, pendakwa raya Amerika Syarikat, Zane David Memeger berkata, 23 orang didakwa menjual ubat penahan sakit Oxycontin dan ubat larangan lain, sementara 14 lagi didakwa cuba memiliki pelbagai jenis ubat. Semua kecuali seorang yang didakwa adalah bekas kakitangan atau kakitangan syarikat Boeing. Seorang lagi akan turut diberkas. "Siasatan dan dakwaan ini menumpukan bukan saja kepada penjualan, tetapi juga kepada penggunaan kerana peranan kritikal kakitangan ini dalam pembuatan pesawat tentera," kata Memeger dalam sidang akhbar. Boeing mengambil lebih 6,000 pekerja di loji Ridley Park, di mana pesawat V-22 Osprey dan helikopter H-47 Chinook dihasilkan. Osprey dan Chinook adalah pesawat tentera AS yang digunakan di Iraq dan Afghanistan.


Sementara itu, jurucakap Boeing, Damien Mills berkata, syarikat bekerjasama dengan siasatan dan memastikan kakitangan yang disyaki tidak dibenarkan bekerja demi keselamatan dan kualiti pesawat. Menurutnya, kakitangan yang didakwa dalam kes itu sudah digantung kerja.

Mills berkata, pada Mei 2006, beberapa kakitangan menghubungi pihak pengurusan syarikat kerana mengesyaki terdapat aktiviti dadah di loji berkenaan.


Dia berkata, Boeing mula melakukan siasatan dalaman dan pada Ogos 2007 menyerahkan hasil siasatan syarikat kepada penyiasat persekutuan.


FBI dan ejen Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah melancarkan serbuan itu awal pagi semalam di loji berkenaan. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan