Utusan Online - Luar Negara |
Majlis Keselamatan PBB bincang Posted: Majlis Keselamatan PBB bincangNEW YORK 29 Sept. - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengambil langkah rasmi yang pertama bagi menimbangkan permohonan Palestin untuk menjadi negara anggota badan dunia itu. Duta Lebanon ke PBB, Nawaf Salam yang memegang giliran sebagai Presiden Majlis Keselamatan bagi bulan ini berkata, beliau mengemukakan permohonan Palestin itu kepada jawatankuasa mengenai kemasukan anggota baru, langkah yang dikehendaki mengikut peraturan prosedur majlis. Jawatankuasa tersebut, terdiri daripada kesemua 15 negara anggota Majlis Keselamatan, akan bersidang esok untuk menimbangkan permohonan Palestin itu. Utusan Palestin ke PBB, Riyad Mansour mengucapkan terima kasih kepada Majlis Keselamatan kerana segera mencapai kesepakatan untuk menimbangkan permohonan Palestin. "Kami berharap proses ini tidak mengambil masa terlalu lama sebelum kami melihat tindakan positif," katanya. Proses pertimbangan itu boleh memakan masa berminggu-minggu sebelum dibawa ke peringkat pengundian akhir dalam Majlis Keselamatan, di mana Amerika Syarikat (AS) sudah berikrar akan memveto usul keanggotaan Palestin sekiranya ia menerima sembilan undi sokongan yang diperlukan daripada anggota majlis. Mansour tidak menyentuh mengenai tentangan AS, sebaliknya melahirkan rasa optimis tentang permohonan Palestin. "Anda dapat melihat, proses ini berjalan selangkah demi selangkah dan kami berharap Majlis Keselamatan akan menunaikan tanggungjawabnya dan meluluskan permohonan kami," katanya. - Agensi |
Indonesia hantar amah hanya ke empat negara Posted: Indonesia hantar amah hanya ke empat negaraJAKARTA 29 Sept. - Indonesia hanya akan meluluskan penghantaran tenaga kerja wanitanya sebagai amah ke empat negara iaitu Arab Saudi, Malaysia, Hong Kong dan Taiwan. Ketua Pengarah Penempatan Buruh, Reyna Usman berkata, kerajaan telah menjalankan penilaian secara intensif berhubung destinasi penghantaran amah. "Berdasarkan keputusan penilaian, Indonesia menyenaraikan empat negara sahaja yang layak menjadi destinasi penghantaran amah negara ini. "Rancangan untuk mengehadkan jumlah destinasi penghantaran dibuat selepas kementerian mengkaji aspek kebajikan dan keselamatan pekerja," kata Reyna yang dipetik agensi berita ANTARA, semalam. Indonesia tidak akan meluluskan penghantaran ke negara-negara yang tidak menepati kriteria ditetapkan. Berbanding negara lain, Hong Kong dan Taiwan mempunyai polisi serta undang-undang yang boleh melindungi pekerja asing. "Jumlah kes penderaan dan layanan tidak adil terhadap pekerja asing di kedua-dua negara tersebut telah menurun. "Malaysia merupakan negara yang paling banyak mendapatkan khidmat amah warga Indonesia kerana mempunyai hubungan budaya dan bahasa yang serupa," kata Reyna. Sementara itu, Indonesia turut merancang untuk meningkatkan kualiti tenaga pekerja wanitanya yang mahu bekerja sebagai amah. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan