Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Polis NY intip penduduk IslamNEW YORK 1 Sept. – Beberapa bulan selepas serangan 11 September, 2001, Jabatan Polis New York (NYPD) dengan bimbingan seorang pegawai veteran Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengadakan program perisikan untuk memantau kegiatan penduduk Islam termasuk lokasi mereka membeli-belah, makan dan bersolat. Kewujudan program yang dikenali sebagai Unit Demografi itu dinafikan oleh NYPD tetapi dokumen yang diperoleh oleh Associated Press (AP) menunjukkan unit itu menyimpan senarai 'keturunan etnik yang diberi perhatian' dan menerima laporan harian mengenai kehidupan penduduk Islam. Dokumen itu memberikan gambaran yang jarang diperoleh mengenai program perisikan yang dibentuk dan dikemudikan oleh seorang pegawai CIA. Kerjasama itu dianggap luar biasa kerana CIA diharamkan daripada menjalankan kegiatan perisikan domestik. Anggota polis yang beroperasi secara sulit, dikenali sebagai 'raker', mengunjungi kedai buku, kafe, perniagaan dan kelab yang diusahakan oleh orang Islam. Polis mencari perniagaan yang menarik golongan minoriti tertentu seperti syarikat teksi yang mengambil penduduk etnik Pakistan sebagai pemandu. Mereka diarah supaya memantau perkembangan semasa, meneliti papan kenyataan komuniti di rumah ibadat dan mengenal pasti 'kawasan panas'. Unit Demografi yang terdiri daripada 16 anggota polis yang boleh bertutur sekurang-kurangnya lima bahasa ialah satu-satunya pasukan seumpamanya yang beroperasi di AS. NYPD dengan menggunakan maklumat banci dan pangkalan data kerajaan memetakan kawasan kediaman etnik di New York, New Jersey dan Connecticut. Apabila CIA melancarkan serangan dengan pesawat tanpa juruterbang atau 'drone' di Pakistan, NYPD akan menghantar anggotanya ke kawasan kediaman etnik Pakistan untuk mendengar retorik dan kenyataan yang membidas Amerika, kata pegawai yang terlibat dalam program itu. – Agensi |
Aidilfitri penuh makna di empat negara Arab Posted: Aidilfitri penuh makna di empat negara ArabKAHERAH 1 Sept. - Sambutan Aidilfitri yang diraikan sempena berakhirnya sebulan umat Islam berpuasa sepanjang bulan Ramadan tidak sama seperti tahun-tahun sebelum ini bagi negara Syria, Libya, Mesir dan Tunisia. Pergolakan masih berterusan di Syria, pasukan pemberontak baru mengukuhkan kedudukan di Libya. Mesir dan Tunisia masih melalui kesan dari revolusi yang menggulingkan pemimpin-pemimpin Arab awal tahun ini. Elemen gembira, kecewa dan perubahan bercampur-baur dan menular di negara-negara tersebut. Libya memulakan sambutan Aidilfitri mereka Rabu lalu dengan berpuluh-puluh ribu penduduk menyempurnakan solat Aidilfitri di Dataran Hijau yang dinamakan Dataran Syahid di Tripoli. Walaupun rakyat Libya mempunyai sebab kukuh untuk meraikan perayaan itu yang disifatkan imam di sana sebagai 'revolusi terhebat zaman ini' di dalam khutbahnya, mereka tetap bersedih kerana perjuangan mereka selama enam bulan konflik itu berlaku mengorbankan sehingga 50,000 orang. Tambahan pula, pemburuan terhadap Muammar Gaddafi dan keluarganya masih diteruskan. Pemberontak kini sedang berusaha memantapkan semula tahap keselamatan dan pembekalan bahan asas serta perkhidmatan yang diperlukan di sana. Sementara itu, banyak komuniti Islam di Syria tidak menyambut Aidilfitri tahun ini bagi menghormati keluarga berpuluh-puluh ribu penduduk yang terbunuh dan ditahan pasukan keselamatan. Penduduk Syria dikejutkan dengan tindakan keras yang dilakukan ke atas penunjuk perasaan pro-demokrasi pada hari raya kedua dimana sekurang-kurangnya lapan orang awam terbunuh. Bulan Ramadan kali ini menyaksikan paling ramai yang terkorban iaitu anggaran 470 orang yang terkorban sejak 1 Ogos lalu, dan 2,200 orang terkorban sejak pemberontakan bermula pertengahan Mac lalu. Namun, negara Arab lain seperti Mesir, penduduk benar-benar meraikan Aidilfitri dengan penuh meriah tahun ini kerana berjaya menggulingkan bekas Presiden Hosni Mubarak. Beribu-ribu umat Islam di sana berkumpul di Dataran Tahrir di Kaherah, lokasi utama pemberontakan menuntut revolusi, Selasa lalu bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri. Di Yemen, ribuan penduduk meraikan Aidilfitri di tengah-tengah kebuntuan politik yang berterusan apabila Presiden Ali Abdullah Saleh enggan meletakkan jawatan sebaliknya berjanji mempercepatkan pilihan raya presiden. Sejak pertengahan Februari lalu, berjuta-juta penduduk Yemen mengadakan tunjuk perasaan meminta pemimpin mereka disingkirkan dan beratus-ratus orang yang terkorban oleh tindakan keras kerajaan. - dpa |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan