Rabu, 7 September 2011

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Buaya tembaga gergasi ditangkap

Posted: 06 Sep 2011 09:19 AM PDT

MANILA: Seekor buaya tembaga berukuran 6.4 meter panjang, dipercayai yang paling besar ditemui, ditangkap di bahagian selatan Filipina setelah beberapa kejadian serangan buaya berlaku.

Seorang pemburu, Rollie Sumiller berkata, reptilia jantan seberat 1,075 kilogram itu dipercayai membaham seorang petani yang hilang Julai lalu di bandar Bunawan dan juga menyerang dan membaham kepala kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dua tahun lalu.

Pemburu itu menyiasat isi perut haiwan itu dengan memaksanya muntah selepas ia ditangkap Sabtu lalu, tetapi, tiada cebisan tubuh manusia ataupun kerbau yang dilaporkan hilang oleh penduduk di situ ditemui.

"Penduduk merasa lega, tapi kami tak pasti ia telah memakan manusia kerana mereka pernah melihat beberapa ekor buaya lain di kawasan itu," kata Sumiller.


Kerajaan tempatan di bandar miskin yang menempatkan 30,000 orang penduduk itu, membuat keputusan untuk tidak membunuh buaya tetapi akan membuka sebuah taman semula jadi untuk mempamerkan buaya itu kepada orang ramai.


Ketua Bahagian Hidupan Liar, Kementerian Alam Sekitar Filipina, Josefina de Leon berkata, mungkin buaya itu adalah yang terbesar pernah ditangkap di dunia.

"Berdasarkan rekod yang ada, buaya yang terbesar ditangkap sebelum ini ialah sepanjang 5.48 meter," katanya. - AFP

Kerah jet ambil sandal

Posted: 06 Sep 2011 09:17 AM PDT

NEW DELHI: Seorang ahli politik berpengaruh yang digelar 'Ratu Kasta Terendah' didakwa pernah mengerahkan jet untuk mengambil sandal berjenama yang diminatinya.

Mesej sulit kedutaan diplomatik Amerika Syarikat yang didedahkan oleh WikiLeaks dalam laman webnya semalam, menyifatkan Mayawati sebagai 'wanita ego kelas pertama' yang bercita-cita untuk menjadi perdana menteri.


Mayawati, 55 (gambar), membina kariernya dengan memperjuangkan golongan kasta terendah, Dalits, antara puak yang paling miskin dan tersisih di India.

Namun, dia dikritik kerana rasuah dan mengadakan perayaan secara besar-besaran serta membina taman lengkap dengan tugu pemimpin kaum Dalit, termasuk dirinya.


"Apabila dia memerlukan sandal, sebuah jet kosong dihantar ke Mumbai untuk mengambil sandal berjenama pilihannya," menurut kabel bertarikh 23 Oktober 2008 itu.


"Dia membina jalan raya khas dari kediamannya ke pejabatnya yang dibersihkan serta-merta selepas konvoi- nya yang terdiri daripada pelbagai kenderaan tiba di destinasi mereka." Mayawati juga didakwa mempunyai pekerja perasa makanan bagi melindungi dirinya daripada diracun.

Menurut mesej yang sama, seorang menteri pernah diarah melakukan tekan tubi sebagai denda kerana kesalahan kecil sementara mereka yang mahu bertanding mewakili partinya perlu membayar beribu-ribu dolar.


Mayawati, dalam kenyataan balasnya, mengecam kabel berkenaan dan menyifatkan orang disebalik pendedahan itu sebagai gila.

Mayawati yang jarang bercakap kepada wartawan, mengadakan sidang akhbar di Luck- now sebaik pendedahan mesej itu tersebar dan mengecam pengasas WikiLeaks, Julian Assange kerana mendedahkan mesej sulit itu. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan