Berita Harian: Dunia |
Posted: 26 Sep 2011 02:45 PM PDT Dunia Tulang milik 1,200 tahanan ditemui di luar tembok penjara Abu SalimTRIPOLI: Pihak berkuasa Libya mengumumkan kelmarin bahawa mereka menemui sebuah kubur besar dipercayai mengandungi mayat kira-kira 1,200 tahanan di luar tembok penjara Abu Salim di sini, tempat pemimpin yang disingkirkan Muammar Gaddafi dipercayai mengurung dan menyiksa penentangnya. Jurucakap tentera, Khalid al-Sherif dalam satu sidang media berkata, tulang yang terikat dengan tali dan serpihan tengkorak berselerak di kawasan padang pasir itu adalah bukti ngeri membabitkan satu pembunuhan beramai-ramai pada 1996 ke atas lebih 1,200 tahanan rejim Gaddafi. Penggalian masih belum dimulakan, namun beberapa serpihan tulang dan kepingan pakaian sudah ditemui di bahagian permukaan tanah, katanya. Al-Sherif berkata tulang terbabit mungkin menjadi sebahagian bukti paling mengejutkan mengenai kekejaman pemerintahan Gaddafi selama hampir 42 tahun dan membenarkan saudara mara mangsa mengetahui kebenaran mengenai nasib mereka selepas bertahun dihalang rejim.Ia juga menjadi simbol menggambarkan betapa pentingnya revolusi Libya yang tercetus pertengahan Februari lalu di bandar Benghazi bagi menuntut pembebasan seorang peguam terkenal mewakili keluarga tahanan yang dibunuh. Kami menemui kebenaran yang dinanti rakyat Libya selama beberapa tahun dan ia adalah mayat dan tulang mangsa pembunuhan beramai-ramai tahanan di penjara Abu Salim, katanya. Tentera dan saudara mara mangsa mengayak pasir ketika mengunjungi tapak penemuan itu. Sehelai seluar dan serpihan lain yang ditemui ditunjukkan kepada anggota media yang dibawa ke tapak. Satu tulang dililit tali di sekelilingnya, kemungkinan salah seorang tahanan turut ditemui.
Al-Sherif dan anggota sebuah jawatankuasa ditugaskan mencari kubur besar itu, berkata mereka yakin padang itu mengandungi mayat mangsa pembunuhan beramai-ramai tahanan berdasarkan maklumat daripada saksi termasuk bekas pengawal keselamatan yang ditahan dalam pertempuran menentang pemimpin kuku besi itu. Gaddafi berada dalam persembunyian sejak tentera revolusi menggempur Turkii akhir Ogos lalu, walaupun penyokongnya terus berperang di beberapa bahagian negara itu. Beliau, seorang anak lelakinya dan ketua perisikan berdepan dakwaan jenayah kemanusiaan berikutan tindakan berdarah rejim menghapuskan bantahan antikerajaan tahun ini. Pembunuhan beramai-ramai Jun 1996 berlaku selepas tahanan merusuh dan membantah layanan ke atas mereka. Pengawal memberi reaksi balas dengan melepaskan tembakan ke arah mereka. Al-Sherif berkata pihak berkuasa percaya mayat itu disimpan di dalam penjara sebelum dikebumikan pada 2000. Isu pembunuhan menjadi tumpuan utama penentang Gaddafi. Kebanyakannya adalah tahanan politik, termasuk ulama dan pelajar berani bersuara menentangnya. AP
|
Amerika mahu pulih hubungan sukar dengan negara Islam Posted: 26 Sep 2011 02:44 PM PDT Dunia KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat mahu memulihkan hubungan sukar dan perasaan tidak percaya dunia Islam terhadap pentadbiran Presiden Barack Obama terutama selepas serangan 11 September 2001.Pensyarah pelawat Institut Brookings Jeffrey Bader, mengakui Amerika berdepan kesukaran dalam hubungannya dengan dunia Islam terutama sejak sedekad lalu yang menjurus kepada perang di Iraq serta reaksi balas terhadap serangan 9/11 sekali gus mencetuskan reaksi masyarakat Islam di seluruh dunia. Ada kira-kira satu bilion penduduk Islam di seluruh dunia atau kira-kira 20 peratus daripada jumlah penduduk dunia beragama Islam. Amerika menghadapi kesukaran dalam hubungannya dengan dunia Islam terutama sejak dekad lalu berkaitan serangan 11 September yang menjurus kepada perasaan tidak percaya dunia Islam terhadap pentadbiran Presiden Obama.Kedua-dua pihak perlu berusaha memperbaiki hubungan tidak percaya ini dan presiden sepatutnya lebih memahami kerana beliau menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Indonesia, yang juga sebuah negara Islam. Sama seperti ucapan Obama di Kaherah tidak lama dulu, Amerika memerlukan pendekatan baru terhadap dunia Islam, dan hubungan baik tidak akan wujud jika kita tidak memahami Islam dengan lebih baik, katanya ketika ditanya kepentingan kepada Amerika memahami Islam selepas perbincangan meja bulat berhubung Dasar Amerika Terhadap Asia Timur dan Malaysia di bawah Pentadbiran Presiden Obama, semalam. Bader berkata, di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, perspektif Amerika di Malaysia semakin pulih dan sebagai negara majoriti Islam, Malaysia dianggap model yang memiliki sistem keusahawanan bebas, demokrasi dan perlindungan hak asasi manusia. Amerika menyokong pembentukan sebuah negara Palestin namun atas dasar penyelesaian antara dua negara. Saya faham di PBB pada masa ini, mencetuskan emosi dan simpati di kalangan rakyat Malaysia, namun seperti yang saya katakan, Amerika akan menyokong apa saja resolusi yang dicapai secara damai dengan Israel, katanya. Komen Anda Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komen |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan