Sabtu, 27 Ogos 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Gaddafi lari ke Algeria?

Posted:

Gaddafi lari ke Algeria?

Gaddafi lari ke Algeria?


Seorang pemberontak Libya bergambar sambil tangannya menunjukkan isyarat 'V' (kemenangan) di kerusi berbentuk ikan duyung diperbuat daripada emas milik anak perempuan Muammar Gaddafi, Aisha di rumahnya di Tripoli, kelmarin. - AFP


TRIPOLI 27 Ogos - Satu konvoi enam buah kereta Mercedes yang mungkin membawa pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dilihat menyeberangi Libya ke Algeria semalam, lapor agensi berita Mesir MENA yang memetik sumber pemberontak.

Laporan itu bagaimanapun masih belum disahkan Algeria atau Libya.

Menurut agensi berita MENA yang memetik sumber pemberontak, enam kereta Mercedes diiringi kereta perisai dan anggota tentera dilihat memasuki bandar Ghadames di Algeria semalam.

Sumber memberitahu, pemberontak tidak dapat mengejar konvoi tersebut kerana kekurangan senjata dan kelengkapan tempur.

"Kami rasa konvoi itu mungkin membawa pegawai tertinggi Libya iaitu Gaddafi serta anak-anaknya," lapor sumber terbabit.

Gaddafi terpaksa berundur dari kubu kuatnya, Bab al-Aziziya di Tripoli selepas ia ditawan pemberontak awal minggu ini.

Sehingga kini, lokasi sebenar pemimpin Libya itu bersama anak- anaknya masih menjadi tanda tanya dengan kumpulan pemberontak dilapor meneruskan pemburuannya dibantu kelengkapan serta perkhidmatan risikan Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Dalam perkembangan berkaitan, pemberontak Libya semalam menawan Ras Jdir di sempadan Tunisia selepas ia dipercayai merupakan satu daripada jalan alternatif kepada Gaddafi untuk melarikan diri, namun kini ia telah disekat.

Sementara itu, Kesatuan Afrika (AU) semalam menggesa pembentukan sebuah kerajaan menyeluruh di Libya dengan mengatakan ia tidak boleh mengiktiraf kumpulan pemberontak sebagai wakil sah negara tersebut ketika pertempuran terus berlaku.

Penolakan tersebut menunjukkan betapa kuatnya pengaruh Gaddafi kepada kesatuan tersebut memandangkan beliau merupakan antara pembiaya utama dan pernah memberi sejumlah besar wang kepada beberapa pemimpin Afrika. - AFP/Reuters

18 maut letupan bom kereta di bangunan PBB di Nigeria

Posted:

18 maut letupan bom kereta di bangunan PBB di Nigeria

18 maut letupan bom kereta di bangunan PBB di Nigeria


Polis dan kakitangan penyelamat melihat kesan letupan kuat di bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Abuja, Nigeria, kelmarin. - AFP


ABUJA 27 Ogos - Sekurang-kurangnya 18 maut dalam satu letupan bom kereta di bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu negara Nigeria, Abuja, semalam.

Serangan tersebut dilihat sebagai sesuatu yang jarang berlaku ke atas institusi antarabangsa di negara yang mempunyai konflik dalaman.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mengutuk serangan tersebut dan menyatakan angka korban berkemungkinan akan meningkat.

"Serangan ini merupakan satu tindakan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan," katanya.

Sehubungan itu, Presiden Nigeria, Goodluck Jonathan mengeluarkan arahan kawalan keselamatan di sekitar ibu negara.

Menurut sumber pasukan keselamatan dan saksi, kereta yang dipasang bom itu merempuh bangunan PBB lalu meletup.

Cebisan mayat mangsa bertaburan di atas tanah ketika pasukan kecemasan, tentera dan polis melakukan pemeriksaan di bangunan tersebut.

"Mangsa telah dibawa ke hospital berbeza bagi mendapatkan rawatan dan setakat ini jumlah kematian dilaporkan seramai 18 orang," kata Komisioner Polis Abuja, Mike Zuokumor.

Kerajaan Norway dalam pada itu berkata, seorang daripada mangsa yang maut, Ingrid Midtgaard, 30, merupakan rakyatnya yang berkhidmat sebagai peguam untuk PBB.

"Kami tidak dapat memberikan sebarang maklumat terkini berhubung insiden tersebut memandangkan para petugas sedang berusaha menyelamatkan mangsa," kata jurucakap Palang Merah. - REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan