Utusan Online - Luar Negara |
Majlis Keselamatan kecam Syria Posted: Majlis Keselamatan kecam Syria
GENEVA 4 Ogos - Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengecam tentera Syria kerana menyerang orang awam dan mencabul hak asasi manusia, reaksi pertama selepas beberapa bulan pemberontakan tercetus di negara itu. Keputusan itu dibuat selepas tentera Syria terus menyerang bandar Hama, 210 kilometer ke utara ibu negara Damsyik sejak hujung minggu lalu, tempat yang mempunyai sejarah penentangan. Serangan tentera dibantu dengan kereta kebal dan pasukan penembak tepat itu berterusan sehingga semalam. Dilaporkan sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh dalam tempoh lima hari lalu. Kenyataan Majlis Keselamatan PBB itu menggesa pihak berkuasa Syria segera menamatkan keganasan dan melancarkan satu proses politik menyeluruh yang membolehkan rakyat Syria menikmati 'asas kebebasan' sepenuhnya, termasuk menyuarakan pendapat dan berhimpun secara aman. Rejim Bashar al-Assad menggunakan tentera sejak pertengahan Mac lalu bagi mematahkan protes rakyat yang menuntut pembaharuan politik, operasi yang didakwa aktivis telah mengorbankan 1,700 orang awam. Pemimpin Syria itu telah berjanji akan melaksanakan pembaharuan, tetapi Majlis Keselamatan kekecewaan kerana 'kurang usaha dilakukan' dan mahu Assad menunaikan janjinya. Anggota Majlis Keselamatan dari Amerika Syarikat dan Eropah telah memberi tekanan supaya satu resolusi dikeluarkan bagi mengecam Syria, tetapi Rusia, China, India, Brazil dan Afrika Selatan menentangnya kerana menyifatkannya tidak menggalakkan rundingan, pembaharuan yang dijanjikan Assad serta menamatkan keganasan. Mereka juga bimbang ia akan digunakan sebagai helah untuk campur tangan bersenjata di negara itu. Sementara itu, Presiden Assad hari ini mengeluarkan satu dekri membenarkan kewujudan pelbagai parti di Syria. Pada 24 Julai lalu, kerajaan memperkenalkan satu draf undang-undang berhubung kewujudan pelbagai parti yang akan menamatkan monopoli kuasa oleh Parti Baath pimpinan Assad sejak beberapa dekad, lapor agensi berita SANA. - AFP Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Palestin teruskan permohonan kepada PBB Posted: Palestin teruskan permohonan kepada PBBRAMALLAH 4 Ogos - Palestin tidak mungkin membatalkan rancangan mereka untuk memohon keanggotaan penuh dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pertukaran dengan rundingan damai baru dengan Israel berdasarkan garis sempadan sebelum 1967. Seorang pegawai Israel semalam mengesahkan, Israel dan Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha untuk menghasilkan kerangka baru rundingan damai yang diharap boleh meyakinkan para pemimpin Palestin supaya menggugurkan usaha mereka untuk memohon keanggotaan penuh di PBB, berbanding status mereka sekarang sebagai pemerhati di badan dunia itu. Bagaimanapun pegawai Palestin dan penganalisis berkata, para pemimpin Palestin sudah banyak melaburkan masa, wang dan tenaga untuk usaha tersebut dan mereka akan dikecam jika mereka membatalkan rancangan yang sudah digembar-gemburkan itu. Mereka menyifatkan kerangka baru rundingan damai itu sebagai usaha untuk memperbaiki imej Israel, membolehkan rejim Zionis menunjukkan kesediaan untuk menyambung semula rundingan sambil cuba menggagalkan kempen Palestin untuk menganggotai PBB. Anggota jawatankuasa eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Ahmed Majdalani menggambarkan kerangka baru bagi rundingan damai itu sebagai 'percubaan Israel untuk mematahkan langkah Palestin bagi membawa perjuangan mereka ke PBB'. Kata Majdalani, pucuk pimpinan Palestin belum menerima secara rasmi sebarang cadangan untuk rundingan baru dan tidak terlibat dengan sebarang perbincangan mengenainya. Palestin menolak untuk menyambung semula rundingan damai dengan Israel selagi rejim Zionis itu terus membina penempatan haram Yahudi di wilayah mereka. Pemimpin Palestin sebaliknya sudah merangka rancangan untuk memohon keanggotaan dalam PBB bagi sebuah negara Palestin berasaskan garis sempadan yang wujud sebelum perang Enam Hari 1967, termasuk Tebing Barat, Genting Gaza dan Baitulmaqdis Timur. Pelan tersebut ditentang keras oleh Israel dan AS yang mengancam untuk menggunakan kuasa veto bagi menggagalkan permohonan itu jika ia dibawa ke Majlis Keselamatan PBB. Seorang lagi pegawai PLO, Abdul Rahum Maluh berkata, tindakan mereka untuk pergi ke PBB adalah langkah politik yang berasingan daripada rundingan. - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan