Rabu, 24 Ogos 2011

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tentera Libya lancar Scud ke Misrata

Posted: 23 Aug 2011 08:03 AM PDT

BRUSSELS: Tentera yang masih setia kepada Muammar Gaddafi melancarkan peluru berpandu Scud ke arah Misrata ketika pertempuran sengit berlangsung di Tripoli kelmarin.

Pada awalnya, Nato berkata, tiga Scud dilancarkan tetapi pertubuhan itu mengesahkan hanya satu dilepaskan ke arah kubu kuat pemberontak itu.


Ketua jurucakap Nato, Oana Lungescu, berkata Scud itu dilancarkan dari kawasan Sirte.

"Peluru berpandu itu mendarat di laut atau pantai Misrata dan kami tidak mengetahui sebarang kerosakan atau kematian akibat Scud itu," katanya.


Pada 15 Ogos lalu, Amerika Syarikat dan Nato mendakwa, tentera Gaddafi menggunakan peluru berpandu Scud untuk kali pertama sejak Libya diserang pertubuhan itu pada 19 Mac lalu.


Oana berkata, penggunaan peluru berpandu Scud menjadi ancaman kepada orang awam.

"Ia senjata ganas dan tindakan tentera Libya itu tidak bertanggungjawab," katanya.


Libya dianggarkan memiliki 240 peluru berpandu dalam simpanan.

Menurut majalah mingguan ketenteraan, Jane's Defence Weekly, Scud B yang dimiliki Libya mampu mencapai sasaran kira-kira 300 kilometer. Sementara itu, pertempuran terus berlangsung di Tripoli.


Kata Oana, pertempuran masih terjadi di ibu negara Libya itu dan keadaan masih tidak menentu.


"Tentera Gaddafi mengalami kekalahan teruk tetapi mereka masih dianggap mampu memberi ancaman ketika ini," katanya. - AFP

Bab al-Azizya kena gempur

Posted: 23 Aug 2011 07:59 AM PDT

TRIPOLI: Pemberontak semalam melancarkan serangan besar-besaran ke atas Bab al-Azizya yang menjadi kubu Muammar Gaddafi ketika anak lelaki pemimpin Libya itu muncul menafikan berita penahanannya.

Sebelum itu, pejuang pemberontak memberikan amaran awal untuk meningkatkan serangan dengan sokongan kereta kebal milik tentera yang mereka rampas.


Bunyi tembak-menembak kedengaran memuncak di tengah bandar raya Tripoli sejak pemberontak memasuki ibu negara Libya itu Ahad lalu.

Asap tebal pula kelihatan menjulang dari kompleks berkenaan.


Ketika bunyi tembakan senjata berat dan ringan memenuhi suasana, jet Nato pula melancarkan serangan lebih hebat berbanding beberapa hari lalu.


Bunyi peluru dan bom digugurkan dapat didengar sejauh dua kilometer.

Kumpulan pemberontak pula mundar-mandir di tengah kota menaiki lori dan kereta sejak mereka berjaya memasuki Tripoli dan menguasai stesen televisyen negara.


Walaupun begitu, di sebalik tanggapan bahawa Gaddafi kini hanya menunggu masa untuk tumbang, persoalan sejauh mana tentangan diberikan tentera yang setia kepadanya masih menjadi tanda tanya.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menggesa peralihan kuasa di Libya dilakukan secara menyeluruh sambil menuntut Gaddafi menyerah kalah.


"Perjuangan pemberontak masih belum berakhir," katanya.


Menteri Pertahanan Perancis, Gerard Longuet, berkata situasi konflik di Libya belum berakhir, malah ia masih jauh untuk dicapai.


Imej pemberontak tercalar teruk semalam selepas dakwaan mereka menahan Saif al-Islam dinafikan dengan kemunculan anak Gaddafi itu di khalayak ramai di luar Bab al-Azizya.


Kata Saif al-Islam, 39, Tripoli masih dalam kawalan kerajaan.


"Semua pihak tidak perlu bimbang kerana keadaan Tripoli terkawal.


"Saya berada di sini untuk menafikan pembohongan disebar pemberontak," katanya.


Saif al-Islam juga mendakwa pemberontak mengalami kekalahan teruk apabila mereka melancarkan cubaan pertama menyerbu Bab al-Azizya.


Pemberontak juga menerima tamparan hebat apabila seorang lagi anak Gaddafi, Mohammed, meloloskan diri daripada tahanan rumah. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan