Berita Harian: Dunia |
Israel ancam penjara aktivis flotila Gaza Posted: 26 Jun 2011 01:18 PM PDT Dunia Amerika turut beri amaran kepada peserta 20 negara hentikan misiWASHINGTON: Amerika Syarikat dan Israel memberi amaran kepada aktivis antarabangsa rancangan mereka memecah sekatan Gaza akhir bulan ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berbahaya. Satu laporan mendedahkan, rejim Zionis sudah menyiapkan penjara untuk aktivis terbabit selain memberi kata dua kepada media wartawan yang menyertai flotila kedua ke Gaza tidak akan dibenarkan masuk ke negara Yahudi itu selama bertahun-tahun. "Kumpulan yang cuba memecahkan sekatan laut ke atas Gaza adalah tidak bertanggungjawab dan melakukan provokasi yang boleh memberi risiko keselamatan kepada pesertanya," kata kenyataan jurucakap Jabatan Negara Amerika, Victoria Nuland."Kami ingin menekankan, penghantaran atau cubaan bersubahat untuk menghantar bahan sokongan atau sumber lain untuk pertubuhan pengganas asing seperti Hamas, boleh dianggap melanggar undang-undang sivil dan jenayah yang boleh dihukum denda dan penjara," kata Nuland. Akhbar Israel, Haaretz pula mendedahkan tentera Israel mengadakan latihan besar-besaran membabitkan komando khas dan anggota penembak tepat sebagai persediaan memintas flotila berkenaan. Kenyataan beliau disifatkan ugutan ke atas aktivis oleh kerajaan Amerika, satu tindakan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah membabitkan penghantaran bantuan kepada penduduk ditakluki di wilayah terbabit. Nuland pula berkata, Amerika prihatin mengenai keadaan di Gaza, tetapi mendakwa keadaan semakin baik sejak tahun lalu, apabila lebih banyak jenis barangan dibenar dibawa masuk ke wilayah itu. Beliau berkata, rampasan senjata selain serangan roket dan mortar dari Gaza ke atas orang awam Israel baru-baru ini menunjukkan perlunya pemeriksaan ka atas kargo menuju Gaza. Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton percaya ada cara lebih baik untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk Gaza. "Kami percaya ada pendekatan lebih baik iaitu menyokong usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan penduduk Gaza memperoleh bahan dan bantuan kemanusiaan dengan cara selamat," katanya. Rabu lalu, Israel memberi amaran kepada PBB flotila bantuan baru yang dilapor akan bertolak dari pelabuhan di Eropah beberapa hari lagi akan menghadapi akibat buruk jika meneruskan misi. Tel Aviv sudah menegaskan bahawa ia akan menghalang flotila baru itu daripada tiba di Gaza. Tahun lalu, sembilan aktivis Turki terbunuh dalam serbuan ke atas konvoi sama. Tentera Israel dikritik hebat berikutan serangan pada Mei 2010 yang turut menyebabkan hubungannya dengan Turki terjejas teruk. – Agensi Komen Anda Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komenFull Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Seorang lagi amah nyaris dipancung Posted: 26 Jun 2011 01:17 PM PDT Dunia Indonesia bayar RM1.59j selamatkan DarsemRIYADH: Kerajaan Indonesia membayar 2 juta riyal (RM1.59 juta) sebagai wang darah untuk menyelamatkan nyawa pembantu rumahnya daripada dihukum bunuh di Riyadh kerana membunuh majikannya yang berketurunan Yaman pada 2009. Media tempatan melaporkan, Kementerian Luar Indonesia menghantar wang itu ke kedutaannya di Riyadh bagi membolehkan pembebasan Darsem Dawud. "Pampasan itu diserahkan oleh dua pegawai Kedutaan Indonesia kepada satu panel kerajaan di Riyadh yang mengendalikan kes," kata pegawai rasmi Bahagian Perlindungan Warganegara kedutaan, Hendrar Pramutyo."Wang darah itu membuktikan komitmen kerajaan Indonesia untuk melindungi pekerja negaranya di luar negara tanpa mengira kos," katanya lagi. Beliau memaklumkan mahkamah Riyadh bersedia membebaskan Darsem yang kini ditahan di penjara Malaz. Darsem berasal dari bandar Subang, Jawa Barat. Beliau didapati bersalah oleh mahkamah Riyadh pada Mei 2009. Hukuman mahkamah terhadapnya adalah pancung.
Januari lalu, keluarga majikannya bersetuju mengampunkan Darsem jika mereka dibayar pampasan sebelum Julai tahun ini. Terdahulu, Menteri Luar Indonesia Marty Natalegawa meminta wakil Dewan Rakyat Indonesia meluluskan penghantaran wang darah untuk menyelesaikan kes itu di bawah belanjawan perlindungan rakyat Kementerian Luar. "Berikutan isu sensitif ini, kami bimbang akan terlepas tarikh akhir jika terus berbincang dan masalah baru pula akan dihadapi," katanya kepada penggubal undang-undang di Jakarta. Jumaat lalu, aktivis Indonesia mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Arab Saudi di Jakarta yang membantah hukuman pancung. Siri tunjuk perasaan sering dilakukan di Indonesia selepas seorang amah, Ruyati Sapudi dihukum pancung kerana membunuh majikannya, dua minggu lalu. Sejak itu, Indonesia melarang penghantaran baru pekerja ke Arab Saudi yang berkuat kuasa 1 Ogos depan. Ketika ini ada 28 pembantu rumah Indonesia yang masih menanti pelaksanaan hukuman pancung di Arab Saudi, sementara 1,000 lagi masih merengkuk di penjara di seluruh negara itu atas pelbagai kesalahan jenayah. – Agensi Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan