Kosmo Online - Dunia |
- Enam maut pesawat terhempas di Ireland
- Spekulasi Raja Abdullah mangkat
- Lindsay Lohan dituduh mencuri di mahkamah
Enam maut pesawat terhempas di Ireland Posted: Enam maut pesawat terhempas di IrelandBEBERAPA anggota jabatan bomba memeriksa pesawat yang terhempas di Lapangan Terbang Cork, selatan Ireland semalam. DUBLIN - Sebuah pesawat penumpang terhempas dan terbakar semasa mendarat di Lapangan Terbang Cork, di selatan Ireland semalam dengan menyebabkan enam orang terbunuh manakala enam yang lain cedera, kata beberapa pegawai. Nahas berlaku ketika pesawat berenjin kipas itu yang membawa 12 orang, cuba mendarat untuk kali ketiga dalam cuaca berkabus selepas ia bertolak dari Lapangan Terbang Belfast, di Ireland Utara. "Saya boleh mengesahkan bahawa terdapat enam kemalangan jiwa dan enam lagi mangsa dirawat di hospital," kata jurucakap daerah Cork, Tom O'Sullivan. Gambar-gambar yang dirakamkan beberapa saksi menunjukkan pesawat milik syarikat penerbangan Manx2 itu berada dalam keadaan terbalik dengan bahagian hadapannya hampir musnah sama sekali selepas kemalangan dahsyat tersebut. Pihak Berkuasa Penerbangan Ireland pula memberitahu, pesawat jenis The Fairchild Metroliner SW4 berkenaan membawa 10 penumpang dan dua krew apabila ia terhempas dalam keadaan jarak penglihatan yang terhad. "Terdapat api dan serpihan berselerakan di atas landasan," kata kenyataan pihak berkuasa tersebut. - AFP | ||
Spekulasi Raja Abdullah mangkat Posted: Spekulasi Raja Abdullah mangkatGAMBAR fail menunjukkan Raja Abdullah di sebuah hospital di New York pada 22 Disember lalu. DUBAI - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul-Aziz masih belum mangkat, kata seorang penasihat kepada seorang ahli keluarga diraja itu semalam. Penjelasan itu sekali gus menafikan khabar angin mengenai kemangkatannya yang menyebabkan harga minyak naik di pasaran dunia. "Khabar angin itu (mengenai kemangkatan Raja Abdullah) adalah tidak benar," jelas sumber dari Arab Saudi. Abdullah yang berusia 87 tahun berehat di Maghribi sejak Januari lalu selepas tinggal selama dua bulan di Amerika Syarikat (AS) untuk menjalani dua pembedahan berikutan masalah ketulan darah beku yang mengganggu kesihatannya. Sementara itu, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Saud al-Faisal pula yang berada di ibu negara Maghribi, Rabat terpaksa menangguhkan lawatannya ke Algeria ekoran terdapat tugas di negara berkenaan, jelas seorang pegawai Kementerian Luar Arab Saudi tanpa mengulas lanjut. Dalam perkembangan berkaitan, Putera Saud turut menjelaskan bahawa kesihatan Raja Abdullah berada dalam keadaan yang amat baik. "Saya ingin memberi jaminan sekali lagi mengenai keadaan kesihatan Raja Abdullah. Baginda berada dalam keadaan yang sihat. Doktor-doktor sedang melakukan rawatan terapi," kata Putera Saud. Pejabat White House mengakui Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama telah bercakap dengan Raja Abdullah mengenai situasi politik di Mesir pada Rabu lalu. Selain tuan rumah tempat beribadat paling suci bagi penganut Islam dan tempat lahir pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, Arab Saudi dilihat penting untuk menentang militan Islam. Arab Saudi sentiasa membuktikan kepada sekutu-sekutunya bahawa tidak akan wujud kekosongan kuasa walaupun masalah kesihatan menjejaskan pemerintahan baginda. Sejak kemangkatan pengasas Arab Saudi, Raja Abdul-Aziz pada tahun 1953, negara tersebut hanya diperintah oleh anak-anaknya. Putera Mahkota, Sultan Abdul-Aziz yang merupakan seorang lagi anak Raja Abdul-Aziz sentiasa mendapatkan rawatan sejak dua tahun lalu. Baginda kembali mentadbir negara sewaktu ketiadaan Raja Abdullah. Ekoran Raja Abdullah dan Sultan kini sudah berusia dalam lingkungan 80-an, timbul spekulasi bahawa Menteri Dalam Negeri, Putera Nayef, 76, bakal mengambil alih kuasa pada masa depan. Khabar angin mengenai kematian baginda mula tersebar dalam laman Islam Times. Laman web Bisness Insider di Internet kemudian melaporkan berita mengenai kemangkatan Raja Abdullah yang disiarkan Islam Times. Dalam laporan itu, Raja Abdullah dilaporkan diserang penyakit jantung selepas berdebat dengan Obama menegnai situasi di Mesir. Menurut laporan itu, beberapa doktor gagal menyelamatkan baginda. Laman itu menyatakan, berita kematian baginda tidak didedahkan ekoran keadaan tegang yang berlaku di Mesir dan Tunisia apabila rakyat bangkit menentang pemerintahan yang dianggap tidak membawa kemakmuran ekonomi. - Agensi | ||
Lindsay Lohan dituduh mencuri di mahkamah Posted: Lindsay Lohan dituduh mencuri di mahkamah
LOS ANGELES - Selebriti terkenal, Lindsay Lohan kelmarin mengaku tidak bersalah di sebuah mahkamah atas tuduhan mencuri seutas rantai leher berharga AS$2,500 (RM7,611) milik sebuah butik aksesori di California. Lohan tampil di mahkamah tersebut dengan memakai gaun pendek berwarna putih dan bercermin mata hitam. Selebriti berusia 24 tahun itu bakal berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika didapati bersalah. Dia didakwa membawa keluar rantai leher itu dari butik Kamofie & Company di Venice, California, pada Januari lalu tanpa membuat sebarang bayaran. Namun, Lohan sudah memulangkan rantai leher tersebut kepada polis. Insiden itu berlaku tiga minggu selepas Lohan menamatkan rawatan di sebuah pusat pemulihan akibat mengalami masalah ketagihan dadah dan alkohol. Peguam selebriti itu, Chapman Holley memberitahu Lohan mengaku tidak bersalah dalam pendengaran kes tersebut. Lohan yang kelihatan cukup tenang semasa memakai gaun berwarna putih mirip pelakon Sharon Stone dalam filem Basic Instinct dibebaskan dengan ikat jamin AS$20,000 (RM60,930). "Kamu kini berada dalam satu situasi yang berbeza kini kerana satu dakwaan telah difailkan. Setiap orang perlu patuh pada undang-undang," kata Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles, Keith Schwartz. Lohan memulakan kerjaya dalam bidang seni seawal usia 11 tahun apabila dia berlakon dalam filem keluaran Disney, The Parent Trap sebelum muncul dengan Freaky Friday dan Herbie Fully Loaded. Beberapa rakan memberitahu bahawa pelakon filem Mean Girls itu pada mulanya menganggap bahawa rantai leher itu sebagai satu pinjaman daripada butik tersebut. Dia akan sekali lagi dihadapkan ke mahkamah pada 23 Februari depan. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan