Berita Harian: Dunia |
Ular, buaya ancam mangsa banjir di Australia Posted: 04 Jan 2011 01:50 PM PST Dunia ROCKHAMPTON: Penduduk di bandar paling teruk dilancar banjir di Australia diberi amaran tidak cuba meredah air kerana selain ada kemungkinan dihanyutkan arus, mereka juga berdepan risiko digigit ular dan diserang buaya.Sebahagian besar kawasan bandar Rockhampton tenggelam, semalam dengan 75,000 penduduk bersiap menghadapi banjir baru sehingga hari ini. Berikutan amaran itu, penduduk menggunakan bot untuk pergi ke tempat perlindungan manakala anggota polis memeriksa sama ada rumah mangsa berpenghuni atau tidak. Sekurang-kurangnya dua orang lemas selepas kereta mereka dihanyutkan. Datuk Bandar, Brad Carter memberi amaran penduduk melihat banyak ular dan haiwan lain cuba mencari tempat lebih kering.Beliau juga berkata, ada beberapa buaya dilihat dari masa ke masa merentasi Sungai Fitzroy. "Kami tidak fikir ia memberi risiko keselamatan awam jika penduduk tidak menyelam tetapi jika mereka berbuat demikian, keselamatan tidak dapat dijamin," kata Carter kepada akhbar The Australian. Pekerja kebajikan haiwan, Wendy Hilcher, berkata rasa takut terhadap ular dan buaya menjejaskan operasi menyelamat haiwan yang ditinggalkan penduduk ketika mereka pergi mencari tempat lebih selamat. Tiada yang maut kerana air naik di Rockhampton, tetapi air sungai melimpah dan banjir menjadi punca 10 kematian di Queensland sejak November lalu. Perdana Menteri, Julia Gillard, berkata kerugian ditaksirkan beratus juta dolar. Hujan semakin kurang dan paras air menurun di beberapa bandar di Queensland. Di seluruh bandar itu, 1,000 orang tinggal di pusat perpindahan. Air hanya dijangka surut selepas sebulan. – Agensi Komen Anda Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komen |
Tehran pelawa lawat loji nuklear Posted: 04 Jan 2011 01:47 PM PST Dunia Ali Salehi VIENNA: Kecuali Amerika Syarikat, Iran mempelawa Russia, China, Kesatuan Eropah (EU) serta sekutu Tehran di kalangan negara Arab dan negara membangun untuk melawat tapak nuklearnya dalam usaha mendapatkan sokongan menjelang rundingan baru dengan enam kuasa besar dunia. Wakil kanan Iran, Ali Asghar Soltanieh, dalam suratnya mencadangkan tarikh lawatan itu pada 15 dan 16 Januari ini dan membayangkan mesyuarat dengan pegawai atasan termasuk Menteri Luar, Ali Salehi bakal diadakan. Tiada alasan diberi mengapa tawaran itu dibuat pada masa ini tetapi ia disuarakan seminggu sebelum Iran dan enam kuasa dunia membuat susulan terhadap rundingan baru-baru ini yang tidak mencapai persefahaman kecuali setuju berunding lagi.Rundingan baru di antara Tehran dan anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat, Russia, China, Britain, Perancis dan Jerman dijadualkan berlangsung di Istanbul, Turki, akhir bulan ini. Ia adalah untuk mengetahui sama ada program nuklear Iran benar-benar seperti yang didakwa Amerika dan sekutunya sebagai senjata perang. Diplomat yang hadir dalam perjumpaan Disember lalu di Geneva menuduh Tehran tidak memberi sebarang komitmen terhadap kemahuan Majlis Keselamatan PBB supaya membekukan pengkayaan uraniumnya, proses yang boleh menghasilkan senjata atom. Tawaran itu datang lebih tiga tahun selepas enam diplomat dari negara membangun memberi pentauliahan kepada lawatan IAEA ke tapak uranium yang menukarkan uranium mentah kepada gas di Isfahan. Diplomat memberitahu wartawan, mereka tidak dapat memberi penilaian terhadap nuklear Iran berdasarkan apa dilihat. Bagaimanapun, tawaran baru ini lebih besar terutama bagi negara atau kumpulan yang dipelawa dan tapak yang bakal dilawati. Bertarikh 27 Disember lalu, surat tawaran empat perenggan tanpa sebarang perincian menawarkan 'lawatan ke tapak nuklear Iran' atas tajaan Tehran. Seorang diplomat berkata, surat itu dihantar kepada Russia, China, Mesir, negara anggota Pertubuhan Negara Berkecuali (NAM) di IAEA, Cuba, anggota Liga Arab dalam IAEA dan Hungary, yang kini presiden EU. Amerika, bagaimanapun, tidak dipelawa. China dan Russia bertindak untuk mengurangkan sekatan yang dicadangkan Amerika dan sekutunya dalam Majlis Keselamatan, manakala Britain dan Perancis, bersedia untuk berkompromi. – AP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan