Kosmo Online - Dunia |
- Hujan padam kebakaran hutan di Riau
- Korea Selatan lancar perkhidmatan LTE-A paling laju
- Dadah bernilai RM246.6 juta musnah dibakar
Hujan padam kebakaran hutan di Riau Posted: Hujan padam kebakaran hutan di Riau
DUMAI - Kebakaran hutan di Indonesia yang menyebabkan jerebu di Singapura dan Malaysia berkurangan selepas hujan lebat semalam, sekali gus meningkatkan harapan krisis pencemaran udara di Asia Tenggara itu akan berakhir. Jerebu kali ini adalah yang terburuk pernah melanda Singapura dan Malaysia. Asap tebal akibat pembakaran hutan dan tanah pertanian di Pulau Sumatera menyebabkan jerebu mencatat paras tertinggi di Singapura pada minggu lalu. Perubahan arah angin pula membersihkan udara di pulau itu tetapi jirannya, Malaysia masih dilanda masalah tersebut. Kelmarin, mengerahkan beribu-ribu petugas bagi memadamkan kebakaran yang berpusat di wilayah Riau, Sumatera. Mereka disokong beberapa helikopter yang menjatuhkan bom air di samping sebuah pesawat turut digunakan untuk mendorong hujan turun menerusi proses pembenihan awan. Beberapa pegawai berkata, usaha tersebut mula membuahkan hasil apabila hujan lebat turun kelmarin dan awal semalam di beberapa kawasan di Riau. Pegawai Agensi Bencana Kebangsaan, Agus Wibowo memberitahu agensi berita AFP bahawa setakat pagi semalam, bilangan titik panas kebakaran berkurangan kepada 54 berbanding 265 pada hari sebelumnya. "Hujan banyak membantu usaha kami. Dengan cuaca memihak kepada kami, kami akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk memadamkan kebakaran," katanya. Jerebu merupakan masalah tahunan di rantau Asia Tenggara berikutan tindakan pemilik ladang dan kebun menggunakan kaedah pembakaran sebagai cara murah untuk membersihkan tanah pertanian mereka. Pada tahun 1997 hingga 1998 jerebu teruk menyebabkan rantau Asia Tenggara kerugian sekitar AS$9 bilion (RM28.8 bilion) akibat perjalanan udara dan aktiviti perniagaan terganggu. - AFP | |
Korea Selatan lancar perkhidmatan LTE-A paling laju Posted: Korea Selatan lancar perkhidmatan LTE-A paling lajuSEORANG model memegang telefon pintar Samsung Galaxy S4 yang menggunakan data rangkaian mudah alih LTE-Advanced di Seoul, Korea Selatan semalam.- AFP SEOUL - Syarikat pembekal perkhidmatan telefon bimbit utama di Korea Selatan, SK Telecom semalam memperkenalkan rangkaian mudah alih generasi baharu, LTE-Advanced (LTE-A) yang pertama di dunia. Rangkaian terbaharu itu menawarkan kelajuan dua kali ganda berbanding rangkaian LTE sebelum ini. Ia juga sepuluh kali lebih pantas berbanding perkhidmatan telekomunikasi Generasi Ketiga (3G). Perkhidmatan LTE-Advanced yang boleh didapati di Seoul dan 40 bandar lain tidak lama lagi itu akan membolehkan para pengguna untuk memuat turun sebuah filem hanya sekitar 40 saat. Ia dilancarkan bersama versi LTE-A baharu telefon pintar Samsung Galaxy S4. SK Telecom menyatakan sebanyak enam model telefon pintar yang bersesuaian dijangka ditawarkan pada separuh masa kedua tahun ini. "LTE-A akan menawarkan perkhidmatan tambah nilai mudah alih baharu yang boleh membawa perubahan inovatif kepada kehidupan pelanggan kami," kata Presiden Network Business Operations di SK Telecom, Park In-Sik. SK Telecom merancang menggunakan rangkaian baharu itu untuk melancarkan perkhidmatan panggilan video secara berkumpulan sehingga empat orang pengguna. Ia didakwa akan mempunyai kualiti video 12 kali lebih baik. Selain kualiti audio dua kali ganda lebih jelas daripada perkhidmatan sedia ada. Korea Selatan kini mempunyai sekitar 20 juta pengguna perkhidmatan 4G. - AFP | |
Dadah bernilai RM246.6 juta musnah dibakar Posted: Dadah bernilai RM246.6 juta musnah dibakarBEBERAPA anggota polis wanita mengawal dadah yang akan dimusnahkan sempena Hari Memerangi Penyalahgunaan dan Penyeludupan Dadah di luar Yangon, Myanmar semalam.- AFP YANGON - Pemerintah Myanmar memusnahkan pelbagai jenis dadah sempena sambutan Hari Memerangi Penyalahgunaan dan Penyeludupan Dadah Antarabangsa di pinggir bandar raya ini semalam. Sambutan tersebut dikelola Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Semua dadah yang dimusnahkan itu termasuk pil methamphetamine dirampas di seluruh Myanmar. Rampasan dadah tersebut dianggarkan bernilai AS$77 juta (RM246.6 juta). Barang terlarang itu dibakar di sebuah bangsal dalam majlis tersebut yang turut dihadiri oleh beberapa diplomat asing. Myanmar terkenal sebagai hab untuk pengeluaran, transit dan aktiviti penyalahgunaan dadah. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan