Kosmo Online - Dunia |
- Polis Turki gempur tunjuk perasaan anti-Erdogan
- China hantar tiga angkasawan ke angkasa lepas
- Pesawat era Perang Dunia Kedua diangkat dari dasar laut
Polis Turki gempur tunjuk perasaan anti-Erdogan Posted: Polis Turki gempur tunjuk perasaan anti-Erdogan
ISTANBUL - Polis pencegah rusuhan Turki melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah beratus-ratus penunjuk perasaan bersenjatakan batu dan mercun selepas mereka cuba menawan Dataran Taksim yang menjadi pusat tunjuk perasaan antipemerintah di sini semalam. Polis pencegah rusuhan dengan dibantu sejumlah kereta perisai memasuki dataran yang menjadi pusat tunjuk perasaan sejak lebih 10 hari lalu itu sejurus selepas subuh. Beberapa jentolak digunakan untuk memusnahkan halangan yang dibina daripada bongkah batu dan besi. Tindakan polis itu mengejutkan penunjuk perasaan yang kebanyakannya masih tidur di Taman Gezi. Ia dilakukan sehari selepas Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdongan bersetuju untuk bertemu pemimpin-pemimpin tunjuk perasaan tersebut. Asap tebal memenuhi Dataran Taksim selepas polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air. Sebahagian penunjuk perasaan yang memakai topi keledar dan topeng gas bertindak balas dengan membaling bom api, mercun dan batu. "Percayakah anda? Mereka (polis) menyerbu Dataran Taksim selepas bersetuju untuk berunding dengan kami. Pemimpin jenis apakah ini?" kata seorang penunjuk perasaan berusia 23 tahun yang dikenali sebagai Yulmiz. Polis juga bertindak membuka kain-kain rentang yang digantung oleh penunjuk perasaan di sebuah bangunan berdekatan Dataran Taksim. Gabenor Istanbul, Huseyin Avni Mutlu berkata, pihaknya tidak merancang untuk menyuraikan tunjuk perasaan itu yang diadakan secara aman. "Tujuan kami cuma untuk membuang sepanduk dan gambar pada patung Kamal Ataturk dan Pusat Kebudayaan Ataturk. "Kami tidak mempunyai tujuan lain," katanya. Erdogan memberi amaran, beliau tidak lagi bertolak ansur dengan para penunjuk perasaan itu yang menentang pemerintahannya. Protes antipemerintah itu bermula sebagai bantahan terhadap projek pembangunan semula Taman Gezi yang terletak berhampiran dataran tersebut. Tunjuk perasaan itu kemudian menjadi anti-Erdogan selepas Perdana Menteri tersebut enggan menarik balik rancangan berkenaan. Pembangunan semula itu akan melibatkan pembinaan berek tentera pada era pemerintahan Ottoman dan pusat kebudayaan. Dalam pada itu, Erdogan menuduh tunjuk perasaan itu didalangi kumpulan samseng, elemen pengganas dan anasir luar yang tidak didedahkan. Pada masa yang sama semalam, beliau menyatakan empat orang termasuk seorang anggota polis maut dalam protes tersebut. Hampir 5,000 orang turut cedera dalam tunjuk perasaan besar-besaran itu. - Agensi | |
China hantar tiga angkasawan ke angkasa lepas Posted: China hantar tiga angkasawan ke angkasa lepasYAPING (kiri), Xiaoguang dan Haisheng (kanan) melambaikan tangan sebelum mereka berlepas ke angkasa lepas.- REUTERS BEIJING - China melancarkan roket Long March 2-F yang membawa kapal angkasa lepas Shenzhou-10 ke angkasa lepas semalam. Tiga angkasawan yang berada di dalam kapal angkasa tersebut berlepas dari pusat pelancaran Jiuquan di padang pasir Gobi, wilayah Gansu. Kapal angkasa itu yang telah berpisah dengan roket tersebut selepas dilancarkan akan berlabuh di stesen angkasa lepas milik China, Tiangong-1. Jurucakap Program Kejuruteraan Manusia ke Angkasa Lepas China, Wu Ping berkata, seorang wanita yang menyertai misi itu, Wang Yaping, 33, akan memberikan kuliah tentang graviti dari angkasa lepas. Dia merupakan wanita kedua China yang berlepas ke angkasa lepas. Pemimpin Parti Komunis dan Presiden China, Xi Jinping menyaksikan pelancaran roket tersebut di pusat angkasa lepas itu. Perdana Menteri, Li Keqiang dan beberapa pemimpin tentera dan awam berjabat tangan dengan para saintis dan juruteknik di pusat angkasa lepas tersebut selepas roket berkenaan berjaya dilancarkan. Keqiang turut bercakap dengan ketiga-tiga angkasa itu. "Anda menyebabkan penduduk China berasa bangga dengan diri mereka," kata Keqiang. Selain Yaping, dua angkasawan lain yang menyertai misi tersebut ialah Nie Haisheng dan Zhang Xiaoguang. Mereka akan berada di angkasa lepas selama 15 hari. China menghantar manusia ke angkasa lepas buat kali pertama pada tahun 2003. Kejayaan itu sekali gus meletakkan China menjadi negara ketiga di dunia yang menghantar angkasawan ke angkasa lepas selepas Rusia dan Amerika Syarikat. China telah melancarkan lima misi ke angkasa lepas yang membawa manusia dengan menggunakan kapal angkasa tersebut. - Agensi | |
Pesawat era Perang Dunia Kedua diangkat dari dasar laut Posted: Pesawat era Perang Dunia Kedua diangkat dari dasar lautPESAWAT itu diletakkan di atas sebuah tongkang.- AP LONDON - Sebuah pesawat pengebom tentera Jerman pada era Perang Dunia Kedua dikeluarkan dari dasar laut dengan menggunakan kren di Selat Inggeris kelmarin. Pesawat Dornier Do-17 itu ditembak jatuh di perairan Kent lebih 70 tahun lalu. Pesawat itu tenggelam pada kedalaman 15 meter di dasar laut. Ia kemudian diletakkan di atas sebuah tongkang. Sepasukan pakar Muzium Tentera Udara Diraja Britain melakukan persiapan selama lima minggu untuk mengeluarkan kapal terbang pengebom tersebut dari dasar laut. - Pesawat itu ditemui oleh sekumpulan penyelam pada tahun 2008. Beberapa pegawai merancang untuk memulihkan semula pesawat tersebut dan dipamerkan di muzium itu.- Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan