Rabu, 12 Jun 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Polis gempur penunjuk perasaan G8

Posted: 12 Jun 2013 02:14 PM PDT

57 penyokong ditahan di tempat perhimpunan antikapitalis

LONDON: Polis pencegah rusuhan semalam mengepung dua bangunan di ibu kota England dan bertempur dengan penunjuk perasaan anti kapitalis, menjelang Sidang Puncak G8 minggu depan di Ireland Utara.

Polis Metropolitan London berkata, hampir 1,200 pegawai dikerah dan 57 penunjuk perasaan ditangkap.
Hak mengadakan bantahan aman tidak bererti ia boleh diteruskan menjadi keganasan atau tindak tanduk mengancam. Polis mempunyai kuasa menangani perbuatan itu" Jurucakap Kementerian Dalam negeri

Lebih 100 polis pencegah rusuhan mengepung bekas balai polis di daerah Soho yang menjadi tempat perhimpunan anti-kapitalis dan selepas suasana tegang, mereka masuk ke dalam untuk mengiringi beberapa orang keluar dari bangunan itu.

Rakaman televisyen menunjukkan seorang penunjuk perasaan dijatuhkan pegawai di atas bumbung, manakala kumpulan anggota polis lain mengawal keadaan.
Sepanduk berbunyi "Apa kata kita hancurkan G8?" tergantung di tingkap.

Ada waran geledah
Polis Metropolitan London berkata, pihaknya mempunyai waran geledah berkaitan perisikan menyatakan individu di alamat itu memiliki senjata dan berniat menyebabkan kerosakan berunsurkan jenayah dan terbabit dalam keganasan.

Pegawai membuang sebahagian besar kayu dan tiang besi dari bangunan itu.
Di timur London, polis berkata mereka menyerbu bangunan kedua berikutan laporan berlaku kerosakan. Tiga ditahan.

Serbuan dibuat ketika kira-kira 150 penunjuk perasaan berarak di tengah London, memukul dram dalam Karnival Menentang Kapitalisme yang dianjurkan kumpulan Hentikan G8.

Berlaku beberapa pergelutan antara penunjuk perasaan dan berpuluh polis pencegah rusuhan di tempat kejadian.

Penunjuk perasaan menggantung sepanduk besar berbunyi 'Jadikan kekayaan melampau satu sejarah' pada tugu terkenal Eros di Piccadilly Circus.

Sekumpulan lagi penunjuk perasaan, yang menutup muka dengan tudung hitam, berarak sambil membawa papan tanda berbunyi: "Tiada sempadan, tiada penjara, tiada kapitalisme."

Ketegangan berlaku ketika polis menghalang penunjuk perasaan daripada memasuki pusat beli-belah terkenal, Fortnum and Mason.

Jurucakap Kementerian Dalam negeri, berkata bantahan aman adalah sebahagian penting masyarakat demokratik, jika ia dilakukan mengikut undang-undang.

Bantahan cetus keganasan

"Hak mengadakan bantahan aman tidak bererti ia boleh diteruskan menjadi keganasan atau tindak tanduk mengancam. Polis mempunyai kuasa menangani perbuatan itu."

Pemimpin kuasa ekonomi terkaya dunia termasuk Presiden Barack Obama dan Vladimir Putin dijangka bertemu di pusat peranginan golf mewah, Lough Erne, di Ireland Utara pada 17 hingga 18 Jun.

Operasi keselamatan besar-besaran dilancarkan di Ireland Utara menjelang persidangan itu, dengan lebih 3,500 pegawai didatangkan dari tanah besar Britain.

Zon larangan terbang akan dikenakan di beberapa bahagian ketika persidangan dan pesawat pemantau kawalan jauh akan digunakan untuk mengawal tempat utama. - AFP

Penunjuk perasaan Turki berundur

Posted: 12 Jun 2013 02:14 PM PDT

Istanbul: Penunjuk perasaan Turki berundur daripada bantahan di sebuah dataran di Istanbul semalam selepas semalaman bertempur dengan polis pencegah rusuhan berikutan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menekankan untuk berhadapan dengan demonstrasi besar-besaran itu.

Dataran Taskim, yang menjadi tumpuan rusuhan di seluruh negara berada di bawah kawalan ketat polis hingga awal pagi dengan trak membersihkan kanister gas pemedih mata dan serpihan halangan penunjuk perasaan.

Dengan dipantau pasukan bersenjata, kereta dan bas kembali ke dataran itu buat pertama kali sejak lebih 10 hari.

Perusuh berhimpun

Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di Gezi Park di mana api rusuhan tercetus untuk mencabar pemerintahan sejak Erdogan sejak berdekad lamanya.

Perdana menteri itu mengadakan rundingan dengan pemimpin penunjuk perasaan semalam, tetapi kebanyakan penunjuk perasaan berkata operasi yang di Dataran Taksim yang tidak menyaksikan kehadiran polis sejak 1 Jun lalu menyebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap sebarang dialog.

"Kami tidak menerimanya," kata Anessa, 29, jurugambar yang mengadu mengenai pemilihan kerajaan terhadap kumpulan yang diundang ke mesyuarat berkenaan.
Berjalan di sekitar Gezi Park dalam hujan beliau berkata keganasan hanya akan membuat penunjuk perasaan lebih berani.

Kami tak akan berhenti

"Kami tidak takut. Kami amat marah dan kami tidak akan berhenti."

Ibu negara Ankara juga menyaksikan pertempuran terbaru sepanjang tengah malam dengan polis rusuhan yang menggunakan gas pemedih mata, penyembur lada hitam dan meriam air terhadap beribu-ribu penunjuk perasaan berhampiran kedutaan Amerika Syarikat.

Ada di antara mereka melontarkan batu sebagai membalas.

Erdogan, yang dikatakan semakin keras, mengambil langkah tegas terhadap penunjuk perasaan kebanyakan golongan muda dan kelas pertengahan. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan