Jumaat, 21 Jun 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Dolce, Gabbana dipenjara 20 bulan

Posted: 20 Jun 2013 08:37 AM PDT

Milan: Pasangan pereka fesyen terkemuka dari Itali, Domenico Dolce dan Stefano Gabbana, dihukum penjara 20 bulan selepas mahkamah mendapati mereka bersalah mengelak cukai sebanyak £350 juta (RM1.7 bilion).

Pengasas jenama Dolce & Gabbana itu didakwa gagal mengisytiharkan royalti mereka sebanyak £860 juta (hampir RM4.3 bilion).


Berdasarkan keterangan, hakim mendapati Dolce, 55, dan Gabbana, 51, menggunakan sebuah syarikat di Luxembourg bagi mengelak pihak berkuasa Itali mengenakan cukai ke atas mereka.

Bukti menunjukkan kedua-dua pereka fesyen itu menyembunyikan perolehan masing-masing di luar Itali selama beberapa tahun. April lalu, mereka turut didenda bersama seorang akauntan sebanyak £340 juta (RM1.7 bilion) dalam kes berkaitan.


Menurut undang-undang Itali, seseorang yang didapati bersalah atas tuduhan jenayah secara automatik diberi sekurang-kurangnya dua kali rayuan.


Di peringkat akhir perbicaraan, pelaksanaan hukuman penjara kurang dari dua tahun atas kesalahan tidak ganas biasanya digantung.

Foto

DOLCE (kanan) bersama Gabbana.

Foto

JENAMA Dolce & Gabbana mula dipasarkan sejak 28 tahun lalu.

Dolce & Gabbana adalah syarikat fesyen terkemuka yang diasaskan di Milan pada 1985.


Antara selebriti yang sering mengenakan pakaian jenama itu ialah Kylie Minogue dan Kate Moss.

Sabitan itu dibuat beberapa hari sebelum syarikat terbabit membuka kedai baru di New Bond Street di London. Kes itu disiasat sejak 2008 sebagai sebahagian daripada usaha pihak berkuasa Eropah mengesan individu yang culas membayar cukai.


Pada 2011, Dolce dan Gabbana didapati tidak bersalah atas tuduhan pemalsuan cukai apabila seorang hakim lain mendapati bukti dikemukakan pihak pendakwa tidak mencukupi. Selepas keputusan itu dirayu ke mahkamah tertinggi Itali, pendakwa berjaya membuka semula kes berkenaan dengan menggugurkan dakwaan pemalsuan, sebaliknya mengemukakan tuduhan mengelak cukai. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/20

Wanita berang campak perempuan simpanan suami ke dalam gaung

Posted: 20 Jun 2013 08:24 AM PDT

Lima: Gara-gara berang tertipu dengan hubungan sulit, seorang wanita mencampakkan perempuan simpanan suaminya ke dalam gaung sejurus selepas kecurangan itu terbongkar.

Ibu kepada empat anak, Lissette Lupo Mamani dilaporkan mengintip jejak suaminya yang menjalin hubungan terlarang dengan Sandra Bruna Morales, 25.


Rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian menunjukkan bagaimana suami Lissette, Renzo Zanabria Huanca lari lintang-pukang sebaik saja isterinya menyergah mereka di Arequipa, Peru, semalam.

Lissette pula terus membelasah Sandra sebelum mengheret rambut wanita terbabit ke gaung berhampiran. Lissette kemudian menolak Sandra ke situ.


Bagaimanapun Sandra bernasib baik kerana terjatuh hanya setinggi enam meter dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Sandra kemudian dirawat di hospital kerana mengalami kecederaan ringan.


Tidak dapat dipastikan sama ada Lissette akan didakwa atas tindakannya itu. Sementara itu ketika ditemui media, Lissette berkata, dia tidak ingat insiden berkenaan kecuali ketika dia menarik rambut kekasih suaminya. Huanca pula mendakwa, dia bertemu Sandra untuk menamatkan hubungan sulit mereka dan mahu kembali kepada Lissette. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/20

Tiada ulasan:

Catat Ulasan