Kosmo Online - Dunia |
- 30 maut kepungan tentera Syria
- 20,000 penyokong Baju Merah berhimpun di Bangkok
- Wanita Arab Saudi pertama takluki Everest
30 maut kepungan tentera Syria Posted: 30 maut kepungan tentera Syria
DAMSYIK - Tentera Syria yang disokong kereta kebal dan jet pejuang melancarkan serangan ke atas bandar strategik yang kuasai penentang dekat sempadan Lebanon semalam, kata beberapa aktivis Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia. Mereka berkata, sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dalam beberapa serangan meriam dan udara ke atas bandar tersebut, Qusair, dengan ramai penduduk terpaksa berlindung di beberapa bilik bawah tanah. Bandar Qusair telah dikepung selama beberapa minggu oleh tentera Presiden Bashar Al-Assad yang dibantu militan kumpulan Hizbollah dari Lebanon. Kepungan itu merupakan usaha tentera Bashar untuk menawan kembali perkampungan dan bandar di sepanjang sempadan Lebanon yang jatuh ke tangan pihak penentang yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA). Aktivis-aktivis kumpulan pemerhati tersebut memberitahu, lebih 30 orang termasuk 16 pejuang penentang dan seorang wanita terbunuh dalam pertempuran di Qusair pada pagi semalam. Namun, angka kematian dijangka terus meningkat ekoran percubaan tentera Bashar untuk memasuki bandar itu. Seorang pegawai pemerintah di ibu negeri wilayah Homs menyatakan, tentera Syria telah mengepung Qusair dan akan membebaskan bandar itu daripada penguasaan penentang. Menurutnya, tentera Syria membuka satu laluan untuk orang awam melepaskan diri dan pengganas yang mahu menyerah diri. Tentera Syria melabel anggota FSA sebagai pengganas. Dalam satu kejadian berasingan, dua serangan bom berani mati berlaku di bandar Deir Balbaa, pinggir Homs dengan menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala 15 lagi cedera. Empat orang turut maut dalam dua serangan bom berhampiran sebuah kilang di sebuah lebuh raya di Homs dengan 13 yang lain cedera. Serangan ke atas bandar Qusair berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) dan Rusia berusaha memaksa Bashar dan FSA berunding untuk menamatkan perang saudara di Syria. Beberapa percubaan menamatkan konflik tersebut secara aman telah gagal. Pelan bersama AS dan Rusia itu menggesa sebuah kerajaan peralihan ditubuhkan dan gencatan senjata tanpa tarikh tamat diwujudkan. Lebih 70,000 orang terbunuh manakala beberapa juta lagi menjadi pelarian sejak kebangkitan menentang pemerintahan Bashar bermula pada Mac 2011. Pertempuran tersebut turut merebak ke beberapa negara jiran termasuk Turki, Iraq, Lebanon dan Israel. - AP | |
20,000 penyokong Baju Merah berhimpun di Bangkok Posted: 20,000 penyokong Baju Merah berhimpun di BangkokPENYOKONG Baju Merah bertepuk tangan semasa mendengar ucapan pemimpin mereka di pusat bandar raya Bangkok semalam.- REUTERS BANGKOK - Sekitar 20,000 penyokong Baju Merah berhimpun di ibu kota Thailand di sini semalam bagi memperingati ulang tahun ke-3 operasi berdarah terhadap penunjuk perasaan antikerajaan, kata polis. Sekitar 90 orang terbunuh manakala hampir 1,900 cedera dalam beberapa pertempuran jalanan pada Mei 2010 antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan. Semalam beberapa batang jalan raya ditutup selepas kumpulan Baju Merah yang setia kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra berhimpun di kawasan perniagaan di pusat bandar di sini. Pusat beli-belah terbesar di Thailand, Central World turut ditutup sementara ketika perhimpunan besar-besaran itu diadakan. Polis cawangan khas Thailand menganggarkan 20,000 orang telah menyertai tunjuk perasaan itu menjelang petang semalam. "Bantahan itu berlangsung secara aman," kata seorang ketua polis, Mejar Jeneral Chantavit Ramasut. Menurutnya, seramai 750 anggota polis ditempatkan di sekitar lokasi perhimpunan untuk mengawal keselamatan. Thailand dipisahkan dengan perbezaan fahaman politik sejak Thaksin digulingkan oleh pihak tentera dalam satu rampasan kuasa pada 2006. Kumpulan-kumpulan hak asasi menuntut agar mereka yang bertanggungjawab melakukan keganasan dalam operasi tentera pada 2010 dihadapkan ke muka pengadilan. Aktivis-aktivis itu mengecam tindakan kerajaan semasa yang diketuai Perdana Menteri Yingluck Shinawatra untuk memberikan pengampunan kepada mereka yang terlibat. Yingluck merupakan saudara perempuan Thaksin. Beberapa penganalisis memberitahu, pengampunan tersebut akan melegakan pihak tentera dan membuka jalan untuk Thaksin kembali ke Thailand. Bekas Perdana Menteri itu kini hidup dalam buangan di luar negara. "Tiga tahun lalu, dunia melihat askar-askar menembak penunjuk perasaan dan sebahagian kota raya ini dijilat api," kata Pengarah Human Rights Watch Asia, Brad Adams. "Namun, mereka yang terlibat bukan sahaja tidak dibawa ke muka pengadilan tetapi kerajaan Thai dan pihak tentera kini menyokong rang undang-undang untuk melepaskan semua yang terlibat dalam keganasan tersebut," tambahnya. - AFP | |
Wanita Arab Saudi pertama takluki Everest Posted: Wanita Arab Saudi pertama takluki Everest
KATHMANDU - Seorang graduan universiti berusia 25 tahun menjadi wanita Arab Saudi pertama yang menakluki Gunung Everest, kata pihak berkuasa Nepal kelmarin. Raha Moharrak tiba di puncak Everest sekitar pukul 8 pagi kelmarin, kata pegawai Jabatan Pendakian Gunung Nepal, Tilak Pandey. Raha menganggotai kumpulan ekspedisi seramai empat pendaki termasuk seorang warga Qatar dan Palestin yang cuba menakluki gunung tertinggi di dunia itu. Kumpulan tersebut, Arabs with Attitude, menyiarkan mesej di laman Twitternya untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaan Raha. "Wanita Arab Saudi pertama yang mendaki Gunung Everest telah tiba di puncak!! Hebat Raha Moharrak. Kami tabik anda," kata kenyataan tersebut. Raha juga merupakan warga Arab Saudi paling muda yang sampai ke puncak dunia itu. Mereka melakukan pendakian tersebut dalam usaha mengutip dana AS$1 juta (RM3 juta) untuk mengisi tabung pendidikan di Nepal. Secara keseluruhan, seramai 35 warga asing dan 29 rakyat Nepal mendaki Gunung Everest pada minggu lalu. Mei merupakan bulan pendakian paling sibuk kerana disifatkan waktu terbaik untuk mendaki gunung tersebut berbanding bulan-bulan lain. Lebih 3,000 orang telah mendaki Gunung Everest sejak ia dibuka kepada dunia pada 1953 manakala beratus-ratus orang turut hilang nyawa dalam usaha menaklukinya.- dpa |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan