Berita Harian: Dunia |
Posted: 20 May 2013 01:01 PM PDT Serangan maut ke atas puak Sunnah, Syiah meningkat Baghdad: Serangan maut militan ke atas masjid golongan Sunnah dan Syiah menggunakan senjata daripada bom hingga peluru mortar semakin meningkat di Iraq. Saya tidak lagi pergi solat selepas penutupan masjid berhampiran rumah kerana serangan. Semua itu berlaku di depan mata saya. Bagaimana saya hendak pergi ke masjid lagi? Malah, isteri dan anak saya melarang saya ke masjid" Ihsan Ahmed, Penduduk "Ada peningkatan dalam kekerapan serangan menyasarkan masjid Sunnah dan Syiah. Ia menjadi perang masjid," kata penganalisis politik, Ihsan alShammari. Rakyat Iraq hidup berdepan dengan keganasan hampir setiap hari sejak pencerobohan diketuai Amerika Syarikat pada 2003 yang menumbangkan bekas Presiden Saddam Hussein. Militan masih serang pasukan keselamatan Militan masih menyerang pasukan keselamatan dan penduduk awam hampir setiap hari dan kini mereka turut melancarkan serangan ke atas masjid. Sebutir bom meletup ketika jemaah meninggalkan masjid dan yang kedua meletup selepas orang ramai berkumpul di tempat letupan pertama, membunuh 41 orang. Serangan berlaku selepas pengebom bunuh diri meletupkan bahan letupan yang dipasang pada tali pinggang Khamis lalu di pintu masuk ke al Zahraa husseiniyah, lokasi anggota keluarga menerima ucapan takziah bagi mangsa keganasan sehari sebelum itu. Pengeboman itu meragut 12 nyawa dan berlaku banyak lagi serangan seumpama itu. Timbalan Ketua Wakaf Syiah yang menguruskan kawasan keagamaan golongan itu di Iraq, Sheikh Sami al Massudi, berkata lebih 45 masjid dan husseiniyah (rumah ibadat Syiah) milik wakaf menjadi sasaran tahun ini. Pegawai wakaf Sunnah pula berkata, lebih 10 masjid diserang bulan lalu saja. "Kami diancam sehingga kami tidak pergi kerja Isnin lalu selepas menerima ancaman," kata pegawai. Tidak dapat dipastikan kumpulan mana mendalangi keganasan itu. "Saya tidak lagi pergi solat selepas penutupan masjid berhampiran rumah kerana serangan," kata pemuda Sunnah, Ihsan Ahmed, 25. Bom membunuh bilal yang melaungkan azan di masjid berkenaan dua minggu lalu, kata Ahmed. "Semua itu berlaku di depan mata saya. Bagaimana saya hendak pergi ke masjid lagi? Malah isteri dan anak saya melarang saya ke masjid," katanya. Anggota golongan Syiah, Ali, 29, berkata sebahagian penduduk takut untuk pergi ke husseiniyah untuk bersolat. Penduduk enggan ke Husseiniyah "Penduduk enggan ke Husseiniyah, tetapi ia tidak menghalang saya ke sana," katanya. Ahad lalu, Perdana Menteri Nuri al Maliki menggesa perpaduan golongan Syiah dan Sunnah bersolat pada hari Jumaat di masjid utama di Baghdad. "Mereka yang menyasarkan masjid adalah musuh Sunnah dan Syiah, dan merancang menyalakan permusuhan mazhab," katanya dalam satu kenyataan. Ketegangan semakin buruk antara kerajaan al Maliki, seorang penganut fahaman Syiah dan Sunnah yang menuduh pihak berkuasa meminggirkan dan menyasarkan komuniti mereka menerusi penahanan salah dan tuduhan terbabit dalam keganasan. - AGENSI |
Pandangan Hashimoto undang kemarahan Posted: 20 May 2013 12:54 PM PDT Isu hamba seks ketika Perang Dunia Kedua Tokyo: Majoriti penduduk Jepun tidak bersetuju dengan pandangan seorang ahli politik negara itu, Toru Hashimoto yang menyifatkan hamba seks ketika Perang Dunia Kedua adalah keperluan kepada tentera, kata satu ujian pendapat yang dikeluarkan semalam.
Dalam kajian pendapat hujung minggu membabitkan 1,550 isi rumah dikendalikan akhbar Mainichi Shimbun, 71 peratus berkata komen Hashimoto itu tidak sesuai, manakala 21 peratus berkata ia adalah komen yang 'bersesuaian'. Dalam satu kajian berasingan hujung minggu membabitkan 3,600 isi rumah oleh akhbar Asahi Shimbun, 75 peratus pengundi berkata komen terbabit disifatkan sebagai 'bermasalah' manakala 20 peratus mengatakan ia mempunyai sedikit atau tiada sebarang masalah bagi mereka. Amerika Syarikat Khamis lalu mengecam pendapat Hashimoto dan menganggapnya boleh mencetuskan kemarahan. Sebagai maklum balas, beliau mendakwa tentera Amerika Syarikat pula mendera wanita Jepun ketika pendudukan mereka selama tujuh tahun selepas Jepun menyerah kalah pada 1945. China, Korea Selatan dan Filipina turut menyuarakan rasa tidak senang mereka terhadap komen Hashimoto, episod terkini dalam kontroversi selama beberapa dekad mengenai sejarah di Asia Timur ini. – Agensi |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan