Rabu, 22 Mei 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bekas ahli gusti playboy dadah

Posted: 21 May 2013 09:09 AM PDT

London: Seorang penggusti kandang yang bersara dari sukan itu untuk mengetuai kumpulan penyeludup kokain selepas hilang sebelah kaki dalam kemalangan jalan raya, diarah membayar £700,000 (RM3.5 juta) - atau berdepan dengan tempoh tahanan yang lebih lama di penjara.

Vincent Graham, 33, bapa kepada 10 anak menjalani kehidupan yang sangat mewah dan memiliki beberapa kereta sport selepas mengetuai sindiket penyeludupan dadah ke Britain dari Afrika Selatan.


Playboy itu yang lebih dikenali dengan gelaran 'Big Vin' bergambar separuh bogel di beberapa laman web dan berpacaran dengan beberapa wanita yang tertarik dengan gaya hidup mewahnya.

Bagaimanapun, kegiatan dadahnya terbongkar selepas ditangkap dan disoal siasat berhubung dakwaan rancangan menculik di Belanda.


Polis di negara itu membebaskannya tanpa sebarang tuduhan tetapi memaklumkan kepada rakan mereka di Britain mengenai hartanah yang dimiliki Graham kerana mengesyaki ia digunakan untuk perniagaan dadah kelas A.


Polis menemui 25 kilogram benzocaine, bahan yang digunakan untuk melarutkan kokain di sebuah rumah di Liverpool. Ia dipercayai mampu untuk menghasilkan kokain bernilai lebih £1 juta (RM5 juta).

Foto

DADAH yang ditemui polis di rumah sewa Graham. Gambar kecil, Graham.

Foto

ANTARA barang mewah yang dirampas daripada Graham, termasuk dua jam bernilai lebih RM275,000.

Graham menyewa rumah mewah lima bilik di Brockhall Village, Lancashire dengan bayaran £1,500 (RM7,500) sebulan serta memiliki sembilan kereta, termasuk sebuah Lamborghini Gallardo berharga lebih £40,000 (RM200,000), sebuah Nissan Skyline,dan sebuah Audi Q7.


Polis turut menemui wang tunai berjumlah £5,000 (RM25,000) apabila menyerbu beberapa premis yang dimiliki atau disewanya.

Motosikal, jet ski, motor empat roda, barangan elektrik, barang kemas dan hasil seni bernilai lebih £150,000 (RM450,000) ditemui dalam garajnya.


Pemeriksaan akaun banknya menunjukkan deposit berjumlah lebih £35,000 (RM175,000). Mereka juga merampas jam tangan berjenama Jacobs berharga kira-kira £50,000 (RM250,000) dan rantai leher berlian bernilai £32,000 (RM160,000) daripadanya.


Pada Julai 2011, Graham yang disifatkan oleh polis sebagai 'orang penting' dalam bekalan dadah di Barat Laut England mengaku terbabit mengedar kokain dan dipenjara tujuh tahun.


Semalam, dia dihadapkan ke mahkamah Preston dan diberi amaran berdepan dengan hukuman penjara tambahan selama empat tahun setengah jika tidak membayar balik £700,000 (RM3.5 juta). - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Wanita 'bom jangka' ada 8 ketumbuhan di otak, tulang belakang

Posted: 21 May 2013 08:35 AM PDT

Worcester: Seorang ibu menyifatkan dirinya sebagai 'bom jangka' selepas disahkan menghidap penyakit ganjil yang menyebabkannya terpaksa hidup dengan lapan ketumbuhan.

Derrie Tustin, 25, dijangkiti lima ketumbuhan bukan barah di otak dan tiga di tulang belakang.


Doktor memberi amaran lebih banyak ketumbuhan akan muncul bila-bila masa.

Derrie dari Worcester didiagnos dengan penyakit neurofibromatosis jenis dua (NF2), yang menyebabkan ketumbuhan pada sistem saraf.


NF2 menyebabkan ketumbuhan pada sistem saraf pendengaran dan keseimbangan badan, menyebabkan kehilangan pendengaran, tinitus dan masalah keseimbangan badan.


Ketumbuhan boleh juga berlaku dalam otak atau tulang belakang dan saraf ke lengan dan kaki.

Ia boleh menyebabkan lemah pada kaki dan tangan serta pening.


"Penyakit saya menjadikan saya seperti 'bom jangka. Ketumbuhan boleh muncul bila-bila masa sepanjang hidup saya. "Saya tidak boleh mengelaknya. Doktor memantau ketumbuhan itu tetapi ia seperti bermain 'Russian roulette' kerana anda tidak tahu apa yang akan berlaku," katanya ketika ditemui, semalam.

NF2 disebabkan oleh mutasi genetik dan dalam sebahagian kes, mutasi itu diwariskan kepada anak daripada ibu bapa.


Dalam kes lain seperti yang dialami Derrie, mutasi itu berkembang sendiri pada seorang kanak-kanak yang keluarganya tidak menghidap penyakit itu.


Tidak ada ubat untuk NF2. Rawatan yang dijalankan ialah mengawalnya ketika ia berlaku, sebagai contoh, pembedahan untuk membuang ketumbuhan. Bagaimanapun, ia boleh menyebabkan pesakit pekak atau lemah.


Semangat Derrie hancur selepas mengetahui penyakit itu mungkin diwarisi oleh anak lelakinya, Kai yang kini berusia empat tahun. Bagaimanapun, dia perlu menunggu sehingga kanak-kanak itu berusia 18 tahun sebelum doktor dapat mengesahkannya.


"Kai menghadapi 50 peratus peluang mewarisi penyakit berkenaan. Tiada ibu bapa yang sanggup berdepan dengan keadaan itu," katanya ketika ditemui. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Tiada ulasan:

Catat Ulasan