Selasa, 14 Mei 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tunduk! pesawat nak mendarat

Posted: 13 May 2013 09:23 AM PDT

Philipsburg (St Maarten): Berjemur di bawah cahaya matahari bukan satu-satunya alasan pelancong bertumpu ke Pantai Maho di St Maarten - sebuah wilayah autonomi di bawah kerajaan Belanda.

Bagi kebanyakan orang, Pantai Maho adalah tempat cukup unik untuk melihat kapal terbang dari jarak dekat tanpa perlu membahayakan diri. Seperti yang dapat disaksikan pada gambar ini, Pantai Maho terletak di hujung landasan kecil Lapangan Terbang Antarabangsa Puteri Juliana.


Ketenangan yang sepatutnya dialami di kawasan pantai sering terganggu oleh deruan enjin pesawat Boeing 747 yang membawa ramai pelancong dari seluruh dunia ke pulau seluas 34 kilometer persegi itu.

Pada masa tertentu, sesetengah pengunjung dapat dilihat cuba menyentuh badan kapal terbang bersedia untuk mendarat di permulaan landasan berhampiran, manakala sebahagian yang lain jelas tidak terganggu dengan bunyi bingit pesawat berkenaan. Walaupun gambaran yang dipaparkan seolah-olah bencana boleh berlaku pada bila-bila masa, rekod keselamatan pihak berkuasa menunjukkan sebaliknya. Untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini, pentadbir St Maarten meletakkan papan tanda di kawasan itu untuk mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati.


Menurut papan tanda itu, sesiapa yang berani berdiri di hujung landasan lapangan terbang mungkin boleh terhumban jatuh akibat ledakan enjin pesawat.


Selain boleh menyebabkan kecederaan, ia juga mungkin boleh meragut nyawa. Seorang jurugambar Amerika Syarikat, Paul Souders, dapat merakamkan beberapa imej pengunjung pantai yang menikmati keunikan St Maarten itu.

Foto

PELANCONG mengambil gambar ketika kapal terbang penumpang bersedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Puteri Juliana.

Foto

PAPAN amaran mengingatkan bahaya yang mungkin dialami pelancong akibat ledakan enjin pesawat.

Menurut Souders, Pantai Maho memang unik berbanding kawasan percutian lain. - Mirror

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Kapal terbang tanpa pilot buat penerbangan sulung

Posted: 13 May 2013 09:15 AM PDT

London: Sebuah pesawat udara tanpa juruterbang melakukan penerbangan sulung di ruang udara Britain semalam, sekali gus membuka jalan kepada permulaan operasi kapal terbang penumpang tanpa juruterbang.

Kapal terbang eksekutif BAE Jetstream itu terbang sejauh kira-kira 483 kilometer dari Warton, Lancashire ke Inverness di Scotland.


Pesawat itu dikendalikan sepenuhnya melalui komputer oleh seorang juruterbang di darat.

Jurucakap BAE berkata, ada dua juruterbang menaiki pesawat berkenaan untuk mengendalikan pesawat itu ketika berlepas dan mendarat.


"Bagaimanapun, selain daripada berlepas dan mendarat, pesawat berkenaan - yang terbang pada ketinggian 20,000 kaki - dikendalikan pakar di Warton serta dipantau pengawal trafik udara," katanya. Pengarah BAR, Lambert Dopping-Hepenstal berkata, projek bernilai £62 juta (RM 285 juta) itu adalah detik baru dalam sejarah penerbangan.


"Pesawat tanpa juruterbang bakal menjadi sebahagian daripada kehidupan harian tidak lama lagi," katanya. Lebih banyak penerbangan percubaan dijangka dilakukan dalam tempoh lima tahun akan datang. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan