Selasa, 30 April 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Pelagak ngeri maut ketika beraksi

Posted: 29 Apr 2013 02:14 PM PDT

Kolkata: Seorang pemegang rekod dunia Guinness kerana melakukan lagak ngeri menggantung dirinya dengan rambut untuk jarak paling jauh, terbunuh ketika beraksi, kata pihak berkuasa semalam.

Anggota polis India, Sailendra Nath Roy, sedang cuba menyeberangi Sungai Teesta di Bengal Barat menggunakan wayar setinggi 180 meter kelmarin.


Selepas mengikat rambutnya ke wayar berkenaan, Roy, 49, berjaya bergerak sehingga pertengahan jarak tetapi dia tersangkut tidak lama kemudian.

Insiden itu menyebabkan dia gagal bergerak.


Orang ramai yang menyaksikan aksi itu pada awalnya bersorak memberi semangat kepada Roy tetapi kemudian menjerit ketakutan apabila dia kelihatan terdesak untuk terus bergerak.


Jurucakap polis berkata, Roy menggelupur untuk terus bergantung di wayar berkenaan dan sampai ke hujung tali.

"Selepas 20 minit, dia kaku dan akhirnya diselamatkan polis," katanya.


Tiada sebarang doktor atau ambulans disediakan di situ.

Selepas dimasukkan ke hospital di Siliguri, 450 kilometer dari tempat kejadian, Roy disahkan mati dan doktor percaya dia mengalami serangan jantung. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/30

Budak 9 tahun dibenar pandu Ferrari sempena hari jadi

Posted: 29 Apr 2013 10:09 AM PDT

New Delhi: Dakwaan difailkan ke atas seorang lelaki yang membenarkan anak lelakinya - berusia sembilan tahun - memandu kereta Ferrari, kata polis semalam.

Mohammed Nisham didakwa membahayakan nyawa dengan membiarkan anaknya itu memandu.


Jurucakap polis berkata, kejadian itu dirakam isteri Nisham ketika mereka meraikan ulang tahun kelahiran kesembilan budak terbabit.

Ketika budak itu memandu, seorang lagi anak Nisham berusia tujuh tahun duduk di tempat penumpang.


Klip video itu mendapat perhatian meluas di YouTube dan mencetuskan kemarahan di seluruh India, memaksa polis bertindak mengheret Nisham ke mahkamah. Jurucakap polis berkata, Nisham terbabit dalam perniagaan tembakau dan hartanah serta memiliki 18 buah kereta bernilai lebih RM12 juta. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/30

Tiada ulasan:

Catat Ulasan