Sabtu, 27 April 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tayang barang curi di FB

Posted: 26 Apr 2013 10:40 AM PDT

London: Sekumpulan pencuri yang melarikan beberapa kereta mewah dan berprestasi tinggi daripada sebahagian penduduk paling kaya di bandar raya ini ditangkap selepas memuatnaikkan gambar dalam Facebook.

Ia termasuk gambar yang menunjukkan seorang anggotanya memakan sandwic 'wang.' Menurut sumber polis, lapan lelaki itu mencuri sembilan kereta, termasuk BMW, Range Rover, Porsche dan sebuah Mercedes berharga RM500,000 di samping barang kemas, telefon bimbit, komputer riba dalam 15 rompakan berasingan.


"Polis akhirnya berjaya menangkap mereka selepas seorang anggota memuatnaikkan gambarnya duduk di atas bonet sebuah Range Rover curi dalam Facebook", katanya.

Gambar itu membolehkan polis menemui beberapa gambar lain dalam laman sosial itu dan pada telefon kumpulan berkenaan yang menunjukkan mereka berbangga mengenai kekayaan masing-masing. Ia menunjukkan mereka duduk di atas kereta curi, minum arak, memakai jam Rolex dan Cartier serta bergaya bersama-sama longgokan not £20 dan £50.


Satu daripada gambar itu menunjukkan Conor Murphy, 19, menggigit wang berjumlah ratusan paun yang dikepitkan dengan dua roti.


Polis turut menemui rakaman video pada telefon mereka yang menunjukkan anggota kumpulan itu berlumba dengan kereta yang mereka curi. Mesej Blackberry yang digunakan oleh anggota kumpulan itu untuk mengatur rompakan juga ditemui.

Foto

MURPHY menggigit wang berjumlah ratusan paun yang dikepitkan dengan dua roti.

Foto

MURPHY di depan kereta Porche yang dicuri.

Foto

ANGGOTA kumpulan itu hidup mewah dengan kegiatan jenayah mereka.

Tujuh anggota kumpulan itu mengaku bersalah terhadap jenayah itu. Seorang lagi, Rory Mason, 18, menafi terbabit dalam rancangan untuk mencuri kereta. Dia bagaimanapun didapati bersalah.


Mahkamah Isleworth diberitahu mengenai bagaimana kumpulan terbabit memberi tumpuan terhadap kediaman yang memiliki kereta mewah.

Kegiatan itu dijalankan antara April dan September tahun lalu dan kawasan yang menjadi sasaran ialah di Notting Hill, Kensington dan Kensal Green. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/27

Peragut berbasikal sasar telefon bimbit

Posted: 26 Apr 2013 10:22 AM PDT

London: Peningkatan dalam kes kejadian meragut kebanyakannya membabitkan pencuri berbasikal yang menyasarkan telefon bimbit mewah.

Jumlah kejadian itu di jalan raya semakin meningkat, menurut angka rasmi dan tahun lalu, hampir 300 orang menjadi mangsa sehari.


Polis memberi amaran, penjenayah terbabit menyasarkan telefon bimbit, iPad dan barangan elektronik lain untuk dijual di pasar gelap di seberang laut, di mana harganya dua kali ganda berbanding di United Kingdom.

Mereka juga berkata, orang awam mendedahkan diri mereka kepada serangan apabila menaip dan membaca mesej atau melayari Internet sambil berjalan, selalunya dengan fon telinga di telinga masing-masing, menyebabkan mereka tidak menyedari apa yang berlaku di kawasan sekeliling.


Pejabat Statistik Kebangsaan berkata, jumlah kecurian seumpama itu meningkat sebanyak lapan peratus tahun lalu. Polis mencatatkan 107,471 kes sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu, berbanding 99,396 tahun sebelumnya.


Bagaimanapun, jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana ramai mangsa ragut tidak melaporkan kejadian yang menimpa mereka kepada pihak polis. - Dailymail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/27

Tiada ulasan:

Catat Ulasan