Ahad, 21 April 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Gempa gegar Sichuan

Posted: 20 Apr 2013 06:17 AM PDT

Beijing: Satu gempa bumi sekuat 6.6 magnitud melanda wilayah Sichuan, barat daya China semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 113 orang dan kira-kira 3,000 lagi cedera.

Gempa terjadi pada jam 8.02 minit di daerah Lushan, dekat bandar Ya'an, manakala pusat gegaran terletak 12 kilometer di dalam tanah.


Berdasarkan kenyataan pengguna perkhidmatan blog mikro Sina Weibo, gegaran itu turut dirasai penduduk di wilayah berhampiran dan di ibu negeri Chengdu.

Ribuan orang terpaksa bergegas meninggalkan bangunan ke tempat lapang untuk menyelamatkan diri.


Agensi berita Xinhua melaporkan, 113 orang disahkan mati dan daripada kira-kira 3,000 yang cedera, lebih 150 orang parah sementara sekurang-kurangnya 10,000 rumah musnah.


Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang berkata, semua usaha perlu ditumpukan untuk menyelamatkan mangsa serta mengelak lebih ramai terkorban.

Kira-kira 2,000 tentera digerakkan ke kawasan bencana untuk membantu usaha menyelamat.


Stesen televisyen kerajaan pula berkata, hanya kenderaan kecemasan dibenarkan masuk ke Ya'an walaupun lapangan terbang Chengdu kini dibuka semula. Kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah di Lushan. Xinhua melaporkan, penyelamat menarik keluar 27 mangsa yang masih hidup dari runtuhan bangunan.

Seorang penduduk Chengdu berkata, dia berada di tingkat 13 sebuah bangunan apabila gempa berlaku.


"Bangunan itu bergoyang kira-kira 20 saat dan saya nampak banyak jubin jatuh dari bangunan sebelah," katanya.


Bandar raya Ya'an didiami 1.5 juta orang dan dianggap satu daripada tempat lahirnya budaya teh China serta pusat perlindungan panda. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Perogol ditahan di rumah bapa mentua

Posted: 20 Apr 2013 06:06 AM PDT

Patna: Polis India berkata, mereka menahan suspek kes rogol membabitkan seorang budak perempuan berusia lima tahun yang kini tenat di hospital.

Suspek, Manoj Kumar, 25, ditahan di Bihar, timur India selepas dia berlindung di rumah bapa mentuanya di sebuah kampung kira-kira 70 kilometer dari ibu negeri, Patna.


Jurucakap polis berkata, Kumar didakwa mengunci mangsa terbabit dalam sebuah bilik dan merogolnya berkali-kali dalam tempoh 48 jam. "Mangsa diculik dari kawasan petempatan golongan kelas pertengahan rendah di New Delhi pada Isnin lalu," katanya. Ketua Pengarah Polis, Ravindar Kumar berkata, perbuatan Kumar tidak dapat diterima sama sekali.

Kumar ditahan sekumpulan polis dari New Delhi yang bekerjasama dengan polis Bihar. Polis berkata, suspek tiba di Kampung Chiknouta kelmarin selepas melarikan diri dari New Delhi menaiki kereta api.


Kumar akan dihantar ke New Delhi untuk dibicarakan. Mangsa ditemui pengguna jalan raya yang terdengar dia menangis.


Budak terbabit dimasukkan ke hospital pada Rabu dan doktor menganggap keadaannya "kritikal." Doktor berkata, budak perempuan itu cedera parah dan mengalami kecederaan dalaman serta jangkitan serius. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Tiada ulasan:

Catat Ulasan