Berita Harian: Dunia |
100 terbunuh kilang pakaian runtuh Posted: 24 Apr 2013 02:02 PM PDT Savar: Sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh, manakala lebih 700 cedera apabila sebuah bangunan lapan tingkat yang menempatkan beberapa kilang pakaian runtuh berhampiran ibu negara Bangladesh pagi semalam, kata pegawai. Seorang pekerja di bangunan Rana Plaza, Abdur Rahim berkata, kira-kira 2,000 pekerja berada di bangunan itu apabila tingkat atas bangunan terbabit runtuh dan menimpa tingkat di bawahnya dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan.
Bagaimanapun, Abdur Rahim berkata, pengurus kilang memberi jaminan bangunan itu tiada masalah, yang menyebabkan mereka memasukinya, katanya. Kira-kira sejam selepas kami bekerja, bangunan runtuh tiba-tiba. Ia seperti gempa bumi, katanya yang menambah, ramai lagi mangsa masih terperangkap. Kejadian itu mengingatkan semula tragedi kebakaran di kilang pakaian November lalu yang mengorbankan 112 orang dan membangkitkan desakan mengenai keselamatan dalam industri pakaian negara itu. Sukarelawan cari mangsa
Menteri Kesihatan, A F M Ruhal Haque berkata menjelang tengah hari semalam, 100 dipercayai mati dalam runtuhan bangunan di Savar, pinggir Dhaka. Brig Jeneral Mohammed Siddiqul Alam Shikder, berkata 600 lagi berjaya diselamatkan. Kami menghantar dua orang ke dalam bangunan dan menyelamatkan sekurang-kurangnya 20 orang hidup-hidup. Mereka juga memberitahu kami sekurang-kurangnya 100 hingga 150 orang cedera dan 50 mayat masih terperangkap, kata penyelia salah satu kilang pakaian itu, Mohammad Humayun. Anggota bomba dan tentera bertungkus-lumus menggali di celah runtuhan bagi mencari mangsa yang terselamat. Sebahagian besar struktur konkrit kelihatan mempunyai kesan pecah seperti ranting. Helaian kain berwarna-warni diikat dengan tingkat atas runtuhan, bagi membolehkan mereka yang terperangkap turun menyelamatkan diri. Tangan terjulur Sebelah tangan kelihatan terjulur dari runtuhan. Mayat seorang wanita diselaputi debu juga dapat dilihat di bahagian runtuhan lain. Seorang anggota bomba membawa mayat remaja daripada kawasan itu. Rahim berkata, ibu dan bapanya, yang bekerja bersamanya di kilang itu, terperangkap. Saya tidak tahu apa yang berlaku, katanya. Antara premis perniagaan di bangunan berkenaan adalah Phantom Apparels Ltd, New Wave Style Ltd dan New Wave Brothers Ltd. Ia juga menempatkan bank dan kedai. Kebakaran November lalu di kilang pakaian Tazreen menarik perhatian antarabangsa mengenai keadaan pekerja dalam industri tekstil di Bangladesh.
AP/REUTERS |
Tiada bukti Syria guna senjata kimia Posted: 24 Apr 2013 02:01 PM PDT Washington: Amerika Syarikat belum lagi memutuskan sama ada rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad menggunakan senjata kimia terhadap tentera pemisah tetapi menyokong satu siasatan mengenai perkara itu, lapor Rumah Putih semalam. Kami menyokong siasatan dijalankan dan kami memantau perkara ini dan belum mendapat sebarang keputusan bahawa ada penggunaan senjata kimia, kata jurucakap Rumah Putih, Jay Carney kepada pemberita.
Ada di kalangan mereka dalam kerajaan Syria yang melahirkan keinginan untuk menggunakan senjata kimia bagi melindungi kepentingan mereka dan meneruskan pemerintahan rejim Assad, kata jurucakap terbabit. Masih curiga dakwaan Kami masih curiga dengan sebarang dakwaan bahawa pihak penentang menggunakan senjata kimia. Ketua penyelidikan dan analisis bahagian risikan tentera, tentera Israel, Brigadier Jeneral Itai Brun sebelum itu mendakwa Assad bersalah kerana menggunakan senjata kimia, seperti sarin terhadap pemberontak.
Bagi pemahaman profesional terbaik kami, rejim terbabit menggunakan senjata kimia maut terhadap pemisah dalam sebilangan insiden sejak beberapa bulan lalu, katanya. Khamis lalu Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry berkata bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak dapat mengesahkan penggunaan senjata kimia Syria. Saya rasa adil untuk mengatakan (perdana menteri) bukan dalam kedudukan untuk mengesahkan perkara itu dalam mesyuarat ini, kata Kerry di Brussels di mana beliau menghadiri satu mesyuarat menteri luar NATO. Agensi |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan