Kosmo Online - Dunia |
- Kiram marah digelar pengganas
- Hugo Chavez meninggal dunia
- Ratusan penduduk Filipina larikan diri dari Sabah
Posted: Kiram marah digelar pengganas
MANILA - Sultan Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya Sultan Sulu menolak dakwaan Malaysia yang melabelkan pengikut-pengikutnya sebagai pengganas di Sabah, menurut beberapa laporan semalam. Menurutnya, para pengikutnya yang diketuai adiknya, Raja Muda Azzumuddie hanya cuba pulang ke tanah air mereka. "Adakah orang di tanah air sendiri pengganas? Adakah orang di kediaman sendiri di tanah air sendiri pengganas," kata Jamalul Kiram dalam satu temu bual bersama stesen radio dzMM. Menurut portal berita ABS-CBNnews.com, Jamalul Kiram menyatakan tujuan melabel penggikutnya sebagai pengganas adalah untuk menghalang campur tangan antarabangsa di Sabah. Sebelum ini, media Malaysia memetik Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sebagai berkata bahawa Setiausaha Luar Filipina, Alberto Del Rosario bersetuju kumpulan yang menceroboh Sabah itu dianggap sebagai pengganas. Sementara itu, Jamalul Kiram sekali menegaskan bahawa Tentera Diraja Kesultanan Sulu itu tidak akan menyerah diri. Katanya, mereka selamat daripada serangan pasukan keselamatan Malaysia. Beliau berkata, adiknya dan para pengikutnya tidak akan kembali ke Filipina. Jamalul Kiram menyatakan, beliau tidak akan mengarahkan para pengikutnya itu kembali ke tanah air. Para pengikut Jamalul Kiram menceroboh Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu kerana menganggap ia merupakan tanah milik Kesultanan Sulu. - Agensi | |
Posted: Hugo Chavez meninggal duniaSEORANG penyokong Chavez menangis apabila mengetahui berita kematiannya di Caracas kelmarin. CARACAS - Presiden Venezuela, Hugo Chavez meninggal dunia kelmarin akibat komplikasi penyakit kanser yang dihidapinya di sebuah hospital di sini. Ekoran kematian Chavez, 58, Naib Presiden, Nicolas Maduro akan terus memerintah Venezuela sebagai pemangku Presiden sehingga pilihan raya yang akan diadakan dalam tempoh 30 hari. Menteri Luar, Elias Jaua mengesahkan pelantikan tersebut kelmarin, beberapa jam selepas Maduro mengumumkan pemergian Chavez yang mentadbir negara mengikut cara tersendiri selama lebih 14 tahun. Menurutnya, tempoh berkabung tujuh hari telah diisytiharkan dengan semua sekolah ditutup selama seminggu manakala majlis pengebumiannya akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin negara sahabat Venezuela esok. Semasa mengumumkan kematian Chavez, Maduro meminta rakyat Venezuela supaya meneruskan legasi Presiden tersebut. Perasaan sedih turut dinyatakan oleh pemimpin pembangkang, Henrique Capriles yang tewas kepada Chavez dalam pilihan raya Presiden pada Oktober lalu. Beliau yang dijangka menjadi calon pembangkang untuk menentang Maduro pada pilihan raya akan datang berkata: "Ini bukan masa untuk mengetengahkan perbezaan. Ini merupakan masa untuk penyatuan, masa untuk keamanan." Dalam pada itu, Venezuela turut mengusir seorang daripada dua kuasa usaha Amerika Syarikat di negara itu selepas kematian Chavez. Maduro memberitahu bahawa beliau yakin bahawa penyakit barah Chavez yang dikenal pasti pada Jun 2011 berpunca daripada perbuatan khianat musuh-musuh negara itu. Beliau turut menyamakan situasi tersebut dengan kematian pemimpin Palestin, Yasser Arafat. Sebelum ini terdapat tanggapan bahawa Arafat mati kerana diracun Israel. Beberapa pemimpin kanan Chavez sudah lama mendakwa bahawa Amerika Syarikat (AS) mendalangi satu cubaan menggulingkan Presiden itu pada 2002. Chavez juga kerap memainkan sentimen anti-AS bagi meraih sokongan rakyat. Venezuela tidak menerima duta AS sejak Julai 2010 dan mengusir seorang lagi pegawai tentera AS pada 2006. "Saya terlalu sedih sehingga saya tidak boleh bercakap," kata seorang kerani wanita berusia 39 tahun, Yamilina Barrios yang bekerja di Kementerian Industri. "Beliau merupakan pemimpin terbaik negara ini," tambahnya. Namun, semasa era pemerintahannya, Venezuela merekodkan kadar kes pembunuhan kedua tertinggi di dunia selepas Honduras dengan 56 orang untuk setiap 100,000 penduduk. Presiden AS, Barack Obama ketika memberikan reaksinya tentang kematian Chavez berkata, kematiannya akan membuka lembaran baharu untuk Venezuela. - Agensi | |
Ratusan penduduk Filipina larikan diri dari Sabah Posted: Ratusan penduduk Filipina larikan diri dari SabahMANILA - Beratus-ratus rakyat negara ini yang menetap di Sabah telah melarikan diri kerana bimbang terperangkap dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengikut Sultan Jamalul Kiram III, kata seorang pegawai semalam. Kira-kira 280 rakyat Filipina dilaporkan tiba di Tawi-Tawi dari Sabah malam kelmarin. "Mereka berasa begitu takut mereka akan terperangkap dalam pertempuran tersebut. Justeru, mereka melarikan diri dan membawa bersama keluarga masing-masing," kata seorang pengarah pertahanan tempatan, Ramon Santos. Katanya, pejabat Pertahanan Awam telah bekerjasama dengan kerajaan tempatan di selatan wilayah Mindanao untuk memberi perkhidmatan sokongan kepada rakyat negara ini yang pulang dari Sabah. "Perkara paling utama adalah memastikan keselamatan mereka, memberi sesi kaunseling dan membantu mereka membina kehidupan baharu," katanya. - dpa |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan