Kosmo Online - Dunia |
- Filipina serahkan kepada Malaysia
- Tentera Syria lancar serangan besar-besaran
- Enjin carian Google mengenai Sabah digodam penyokong pengganas
Filipina serahkan kepada Malaysia Posted: Filipina serahkan kepada Malaysia
MANILA - Pentadbiran Filipina semalam menyatakan nasib Raja Raja Muda Agbimuddin Kiram dan para pengikutnya yang merupakan adik Sultan Jamalul Kiram III di Sabah kini terletak di tangan pihak berkuasa Malaysia selepas mereka enggan meletak senjata dan menyerah diri, lapor portal berita ABS-CBNnews.com semalam "Malaysia sudah mengambil alih. Terdapat kematian di pihak mereka. Mereka mahu menyelesaikannya mengikut cara mereka," kata jurucakap Presiden Filipina, Edwin Lacierda kepada rancangan Mornings@ANC. Lacierda berkata, pentadbiran Filipina banyak kali merayu kepada keluarga Kiram supaya meninggalkan Sabah. Kenyataan itu dibuat selepas beberapa anggota polis Malaysia dan para pengikut raja muda itu mati akibat pertempuran yang berlaku di Lahad Datu. Katanya, keengganan Kiram telah mengancam kehidupan 800,000 warga Filipina yang hidup dengan aman di Sabah. Kiram yang mendakwanya sebagai Sultan Sulu telah mengarahkan para pengikutnya pergi ke Sabah pada awal bulan lalu untuk tinggal di sebuah kawasan yang dianggapnya sebagai milik kesultanan tersebut berdasarkan sejarah. "Kami telah meminta mereka meletakkan senjata dan menyerah diri atau menghadapi kematian. Sekarang keluarga Kiram meminta ketenangan yang sepatutnya dilakukan sebelum ini. Kiram patut membawa pulang pengikutnya dan mengadakan dialog. "Mereka (para pengikut Kiram) enggan mendengar rayuan kami. Mereka berdegil kerana ingin menuntut hak," tambahnya. Ditanya apa yang telah dilakukan oleh pemerintah Filipina untuk keluarga Kiram, Lacierda berkata, pihak pemerintah telah memastikan keselamatan 800,000 warganegara itu di Sabah terjamin. Katanya, pemerintah turut memberi bantuan kepada pengikut keluarga Kiram di Tawi-Tawi dan Sulu. Lebih 100 pengikut Agbimuddin kini berada di Sabah. Dalam wawancara itu, Lacierda berkata, pihaknya telah menghantar utusan ke Kiram di Taguig, Manila sebagai usaha meyakinkan beliau untuk mengarahkan pengikutnya menyerah diri. Antara mereka yang bertemu dengan keluarga Kiram termasuk Penasihat Hal Ehwal Politik Presiden, Ronald Llamas; Penasihat Keselamatan Negara, Cesar Garcia dan Gabenor Wilayah Autonomi Islam Mindanao, Mujiv Hataman. Lacierda berkata, Kiram kerap bertukar-tukar fikiran semasa peringkat awal rundingan. Pada satu ketika, Lacierda berkata, pemerintah dan keluarga Kiram hampir mencapai persetujuan sehinggalah satu panggilan telefon mengubah segala-galanya. Katanya, hasil risikan mendapati terdapat pihak yang sengaja menghasut keluarga Kiram. "Pada satu ketika kami hampir memeterai perjanjian dan secara tiba-tiba Kiram menghubungi seseorang, kemudian semuanya berubah. Kami sedang menyiasat perkara itu. Presiden berkata, kami tengah mencari siapa pihak itu tanpa menamakan sesiapa. Kamu menghantar 180 pengikut ke Lahad Datu dan menuntut Sabah. Itu tidak realistik," katanya. Lacierda berkata, banyak pihak menuntut gelaran Sultan Sulu dan Kiram salah satu daripadanya. Beliau berkata, isteri kepada pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro, Nur Misuari turut menuntut gelaran itu. Jurucakap itu berkata, bapa Kiram telah dilucutkan gelaran sebagai putera mahkota oleh Sultan Sulu, Ismael Kiram. Beliau berkata, mengikut catatan sejarah terdapat sembilan pihak menuntut gelaran itu. Lacierda berkata, terdapat beberapa percubaan oleh pentadbiran Filipina untuk menyatukan kesemua waris dan mengukuhkan tuntutan ke atas Sabah. Semasa Corazon Aquino menjadi Presiden, beliau cuba menyatukan semua waris tetapi Kiram merosakkan rundingan. Ketika pemerintahan Presiden Fidel Ramos, Kiram sekali lagi menjadi dalang yang merosakkan rundingan. Sementara itu, lebih 300 pendatang asing warga Filipina tiba dari Sabah pada malam Sabtu lalu dengan menggunakan feri di Zamboanga. Menurut agensi berita AP semalam, sejumlah penduduk Filipina yang tinggal di Sabah tiba di sebuah pelabuhan Jolo semalam. Jolo merupakan ibu negeri wilayah Sulu. - Agensi | |
Tentera Syria lancar serangan besar-besaran Posted: Tentera Syria lancar serangan besar-besaranBEBERAPA anggota Tentera Pembebasan Syria meronda di sebuah kawasan perumahan Al-Khalidiya, Homs kelmarin.-reuters BEIRUT - Tentera Syria semalam melancarkan satu serangan besar-besaran di beberapa kawasan yang dikuasai kumpulan penentang di pusat bandar Homs, kata kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Untuk Syria. Menurut kumpulan itu, serangan tersebut dilakukan selepas sekurang-kurangnya 264 orang telah terkorban di negara berkenaan pada Ahad lalu. "Serangan ini merupakan pertempuran yang paling teruk pernah berlaku pada bulan ini," kata kumpulan tersebut. Kumpulan penentang bertempur dengan tentera Presiden Bashar Al-Assad sejak Mac 2011. Lebih 70,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran itu. Para penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan itu mahu menggulingkan Bashar yang didakwa gagal membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran selepas kebangkitan penduduk berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya. - Agensi | |
Enjin carian Google mengenai Sabah digodam penyokong pengganas Posted: Enjin carian Google mengenai Sabah digodam penyokong pengganasPENGGODAM menyiarkan maklumat tentang Sabah yang bukan merupakan negeri yang sah milik Malaysia di enjin carian Google semalam. KUALA LUMPUR - Para penyokong kumpulan pengganas Sultan Sulu yang menceroboh Sabah baru-baru ini telah menggodam enjin carian Google. Penggodam itu menyiarkan maklumat bahawa Sabah bukan negeri yang sah di Malaysia. Hasil keputusan carian enjin itu juga memaparkan keratan kenyataan tersebut yang diambil daripada petikan di laman web Wikipedia. "Sabah merupakan salah sebuah daripada 13 negeri di Malaysia dan ia dikuasai secara haram," kata kenyataan tersebut dalam bahasa Inggeris. Selain itu, sebuah laman web Kolej Stamford di Malaysia turut digodam pada hujung minggu lalu apabila muka hadapan laman tersebut diganti dengan mesej yang menyatakan: "Masanya telah tiba untuk menuntut kembali apa yang sebenarnya menjadi hak kami." Beberapa laman berita portal Filipina mendakwa sejumlah laman web di negara tersebut telah diserang oleh para penggodam pro-Malaysia. Sebelum itu, masyarakat Malaysia telah dikejutkan dengan serangan kumpulan pengganas yang mendakwa mereka Tentera Kesultanan Sulu. Kira-kira 100 sehingga 300 orang pengganas tersebut mendarat di perairan Sabah pada 12 Februari lalu. Pasukan keselamatan Malaysia berjaya membunuh sejumlah anggota penceroboh tersebut. Bagaimanapun, beberapa anggota polis Malaysia turut terbunuh dalam insiden tembakan yang berlaku melibatkan kedua-dua pihak. Pencerobohan itu diketuai oleh Raja Muda Agbimuddin Kiram yang merupakan adik Sultan Jamalul Kiram III yang mendakwa sebagai Sultan Sulu. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan