Selasa, 5 Mac 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kecewa dengan skuad Densus 88

Posted:

Jakarta: Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, Marzuki Alie menyatakan kekecewaannya apabila rakaman video kekejaman skuad elit antipengganas terhadap suspek, semalam.

Mendesak supaya polis menjalankan siasatan secara telus, Marzuki berkata, apa yang berlaku itu menyalahi prosedur yang ditetapkan dan mesti dihentikan.


"Jika skuad itu tidak mengkaji semula tindakan mereka yang memperlekehkan Islam, kita bimbang akan timbul persepsi bahawa mereka sebenarnya memusuhi Islam," katanya.

Baru-baru ini, satu klip video memaparkan anggota skuad Densus 88 menyoal siasat suspek tersebar secara meluas.


Densus 88 (nama asalnya ialah Detasemen Khusus 88) adalah unit elit polis Indonesia bagi menangani isu pengganas di negara itu.


Dianggarkan skuad itu dianggotai kira-kira 400 orang yang mempunyai kemahiran tersendiri, termasuk penembak tepat.

Foto

ANGGOTA Densus 88 menjalani latihan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Majlis Perwakilan Rakyat, Hajriyanto Y Tohari berkata, anggota Densus 88 melakukan pelanggaran hak asasi manusia serius dan perlu dihukum sewajarnya.


"Densus 88 perlu faham, negara ini didirikan dengan tujuan utamanya untuk melindungi setiap rakyat daripada sebarang penindasan dan memberikan keamanan kepada mereka," katanya. - republika.co.id

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05

Ligan trak lepas nahas

Posted:

Mumbai: Seorang wanita lasak yang dilanggar sebuah trak ketika dia menunggang skuter mengejutkan orang ramai apabila dia bangun semula dan mengejar pemandu trak berkenaan.

Rakaman video pengawasan menunjukkan wanita itu dilanggar pemandu terbabit yang tidak menyedari wanita itu ada di depan trak berkenaan di satu simpang yang sibuk. Video itu merakam wanita berkenaan membelok ke lorong bersebelahan di depan sebuah kenderaan yang besar di Nagpur, sebuah bandar di negeri Maharashtra, kira-kira 525 batu dari Mumbai.


Pemandu trak tidak memperlahankan kenderaannya apabila wanita itu dan skuternya terperangkap di bawah tayar hadapan kiri trak.

Pemandu itu terus memandu menyeret wanita berkenaan dan skuternya sambil melintasi jalan yang sibuk. Mangsa yang hanya berpakaian sari dan topi keledar bernasib baik kerana skuternya melindunginya daripada digilis trak itu. Apa yang cukup mengejutkan ialah wanita itu bangun dan terus mengejar trak terbabit yang masih menyeret skuter miliknya.


Video menunjukkan seorang lelaki mengekori wanita itu, mungkin cuba untuk membantu atau memaki hamun pemandu trak berkenaan.


Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, India mencatat lebih 130,000 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun.

Menurut rekod, 14 kematian akibat kemalangan jalan raya berlaku setiap jam di negara itu, kadar paling tinggi di dunia. Kebanyakan kemalangan jalan raya di India membabitkan pemanduan secara laju, memandu dalam keadaan mabuk dan pemakaian topi keledar secara tidak betul, tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memasang kerusi bayi dalam kenderaan.


Trak dan kenderaan dua roda menyumbang kepada lebih 40 peratus kematian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05

Tiada ulasan:

Catat Ulasan