Ahad, 3 Mac 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Cubaan jejas kestabilan

Posted: 03 Mar 2013 12:14 PM PST

Kelompok elit didakwa ganggu politik Indonesia menjelang pilihan raya

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam berkata beliau menerima laporan perisikan mengenai kelompok elit dan kumpulan politik yang merancang mengganggu kestabilan politik Indonesia menjelang pilihan raya tahun depan.

"Saya memperoleh maklumat, termasuk beberapa laporan perisikan. Saya berharap puak elit dan kumpulan politik ini akan kekal dalam demokrasi. Mereka perlu tahu sebarang cubaan mengkucar-kacirkan negara akan menyulitkan rakyat," katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur.
Mereka perlu tahu sebarang cubaan mengkucar-kacirkan negara akan menyulitkan rakyat," Susilo Bambang Yudhoyono, Presiden Indonesia

Enggan namakan puak

Presiden, bagaimanapun enggan menamakan sebarang puak elit atau kumpulan atau perkara yang mereka rancang untuk laksanakan.


Beliau memberitahu wartawan mengenai laporan itu sejurus sebelum bercuti enam hari untuk melawat Jerman dan Hungary. Susilo juga dilaporkan cuba mencapai perjanjian baru ekonomi dan pertahanan.
Kekacauan politik kerap timbul menjelang pengundian namun pilihan raya perundangan dan presiden pada 2004 dan 2009 berjalan dengan aman.

Skandal rasuah

Pada 2014, ketidaktentuan politik juga menjadi isu, dengan pemenang pilihan raya perundangan 2009, Parti Demokratik pimpinan Susilo, teruk terjejas dengan skandal rasuah sejak dua tahun lalu, mengurangkan peluang untuk mengetuai Parlimen sekali lagi.

Beberapa tinjauan pendapat menyatakan Parti Golkar dan Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P) akan memperoleh faedah daripada kekalahan Demokrat dan mungkin mendahului undian, tetapi secara keseluruhan tidak jelas siapa akan menerajui Indonesia pada tahun 2014.

Kelembapan ekonomi

Selain kebimbangan mengenai kekecohan politik, pilihan raya akan datang juga merisaukan rakyat mengenai kelembapan ekonomi.

Naib Presiden Indonesia, Boediono, kelmarin menyatakan kebimbangan mengenai gangguan dalam perkembangan ekonomi negara itu ketika keadaan politik domestik dijangka meningkat menjelang pilihan raya tahun depan. - AGENSI

Sukhumbhand dipilih gabenor Bangkok

Posted: 03 Mar 2013 12:01 PM PST

BANGKOK: Parti pembangkang Thailand menang pilihan raya gabenor Bangkok semalam, memberi tamparan hebat kepada parti pemerintah bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang berharap menang di bandar raya itu dan mengukuhkan cengkamannya.

Penyandang jawatan dan anggota Parti Demokrat, Sukhumbhand Paribatra, mengalahkan calon Parti Puea Thai pimpinan Thaksin, menang hampir separuh undian, kata pentadbiran bandar raya itu ketika kiraan hampir tamat.

"Demokrat menang kerana sebahagian besar penduduk Bangkok bimbang Puea Thai memegang terlalu banyak kuasa. Dalam jangka panjang, Thailand menuju ke arah sistem yang digerakkan dua parti politik utama," kata penganalisis politik, Kan Yuenyong, di Unit Perisikan Siam.

Tinjauan pendapat menunjukkan calon Puea Thai, Pongsapat Pongcharoen, bekas anggota polis, akan menyebabkan Demokrat tersingkir daripada kuasa dan menyertai partinya yang disukai golongan miskin.

Undian menunjukkan Puea Thai mendahului dengan hampir kelebihan 17 peratus.

Ia adalah kemenangan pilihan raya keempat berturut-turut di Bangkok untuk Demokrat, parti politik tertua di Thailand, yang disokong penduduk pertengahan kelas dan golongan elit konservatif.

Puea Thai dan Thai Rak Thai, tidak pernah menang di Bangkok tetapi popular di kalangan pengundi miskin di utara dan timur laut, yang memberikan kemenangan parti itu dalam pilihan raya umum 2011.
Thaksin masih kekal berpengaruh dan kuasa politik popular dari kediamannya dalam buangan di Dubai. – Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan