Sabtu, 16 Februari 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


15 tahun tidur dengan mayat

Posted:

Seorang bekas pekerja binaan mengaku dia tidur bersama mayat sejak 15 tahun lalu selepas berpindah ke tanah perkuburan di Nis, Serbia.

Media semalam melaporkan, Bratislav Stojanovic berkongsi liang lahad dengan abu mayat sebuah keluarga yang mati lebih 100 tahun lalu.


Menurut Stojanovic, 43, sebagai orang yang tiada rumah, dia terpaksa menjadikan kubur sebagai tempat tidur.

"Saya membuat beberapa ubah suai pada kubur berkenaan dan selepas itu, saya selesa di situ," katanya. Selain kering, hangat dan dilengkapi lampu, Stojanovic berkata, liang lahad itu menjadi tempat dia menyimpan barangannya. "Ia bukan sehebat istana, tetapi ternyata lubang itu jauh lebih selesa berbanding tidur di jalanan," katanya. Tidak pernah memiliki kerja tetap, Stojanovic terpaksa melepaskan rumahnya di Nis apabila dibelenggu dengan masalah hutang yang banyak. Selepas berbulan-bulan berkeliaran di jalanan, Stojanovic mengambil keputusan berpindah ke kubur itu untuk berlindung daripada cuaca sejuk dan gelap. Kata Stojanovic, hidup bersama mayat tidak begitu menakutkan seperti sangkaan sesetengah pihak.


"Pada mulanya saya takut, tetapi lama-kelamaan keadaan di situ menjadi biasa.


"Kini, selain masalah kelaparan, saya lebih takutkan manusia yang hidup berbanding dengan orang mati," katanya. Menurut Stojanovic, setiap kali dia mahu keluar dari 'rumah' itu, dia akan mengintai terlebih dulu bagi memastikan tiada sesiapa di situ.

Jika tidak, kata Stojanovic, dia mungkin menakutkan orang lain yang kebetulan ada di sekitar kawasan berkenaan.


Sementara itu, Stojanovic berkata, orang ramai melayannya dengan baik dan selalu datang membawa makanan atau pakaian untuknya. "Kadang-kadang saya terpaksa mencari makanan dari tong sampah dan kadang-kadang ia sangat berkhasiat.

"Saya hairan melihat makanan yang dibuang orang ramai," katanya.


Stojanovic berkata, dia juga bersedia jika ditakdirkan mati dalam kubur seluas dua meter persegi itu.


"Sekurang-kurangnya saya dapat mati di tempat yang sesuai," katanya. Sementara itu, pihak yang menguruskan tanah perkuburan itu berkata, Stojanovic boleh tinggal di situ selagi dia tidak mengganggu sesiapa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Polis jumpa 250 pistol, 1 bazuka

Posted:

Berlin: Polis yang menjalankan operasi mencari di sebuah rumah dinaiki air di Hannover terkejut menemui sejumlah senjata api termasuk 250 pistol dan satu bazuka.

Sumber polis Jerman semalam berkata, mereka mengunjungi rumah pangsa kosong itu selepas menerima laporan jiran mengadu ada kebocoran menyebabkan kediaman mereka diresapi air. Bagaimanapun, katanya, selepas masuk ke premis itu, polis terkejut apabila menemui senjata peribadi kepunyaan bekas penjenayah, Uwe Giesemann.


Giesemann, 69, kini masih belum ditemui dan polis merayu orang awam supaya membantu mengesannya. Penemuan itu mendorong polis membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Hannover yang dimiliki Giesemann.

Sumber berkata, secara keseluruhan polis menemui 250 pistol, mesingan, komponen senjata, bom tangan, teropong malam, bazuka dan peluru. Polis juga menemui wang bernilai RM1.2 juta serta pelbagai jenis jam mahal.


"Polis menemui senjata itu November tahun lalu, tetapi butirannya hanya didedahkan hari ini kerana pihak berkuasa masih memburu Giesemann," katanya.


Nilai rampasan itu dianggarkan lebih RM4.1 juta.

Sementara itu, jurucakap polis Hannover berkata, rampasan itu yang terbesar pernah dilakukan mereka setakat ini. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Tiada ulasan:

Catat Ulasan