Sabtu, 16 Februari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Korea Utara rancang 2 lagi ujian nuklear

Posted: 16 Feb 2013 02:40 PM PST

Tak takut sekatan, guna wang dadah, seludup senjata biaya program

Pyongyang: Korea Utara mengumpul wang selama berdekad daripada penyeludupan dadah, senjata dan penipuan kewangan dan semakin bijak menyorokkannya bagi membiayai program senjata dan gaya hidup mewah pemimpinnya.

Sumber atasan kerajaan di kedua-dua Korea Utara dan China, satu-satunya sekutu utama, memberitahu Reuters bahawa Pyongyang tidak takut dengan sekatan dan sedang mempertimbangkan dua lagi ujian nuklear dan pelancaran roket tahun ini.

Korea Utara memberitahu sekutu utamanya, China, ia bersiap sedia melancarkan satu atau dua lagi ujian nuklear tahun ini bagi memaksa Amerika mengadakan rundingan diplomatik, kata sumber itu.

Ujian lanjut mungkin diiringi satu lagi pelancaran roket, kata sumber, yang mempunyai akses langsung kepada pegawai atasan kerajaan di Beijing dan Pyongyang.

Ia yakin pembaharuan pertanian dan ekonomi akan menambah penuaian bijirin tahun ini, mengurangkan pergantungan makanan dengan China, kata sumber.

Dengan perdagangan dan sumber semula jadi terhad, hasil Pyongyang bergantung penuh kepada penipuan menghasilkan daripada wang tunai palsu AS$1 (RM3.20) sehingga jualan senjata dan wang dadah, menurut laporan kerajaan Amerika.

Gubah wang haram
Pada 2005, wang tunai AS$25 juta (RM77.35 juta) rejim dibekukan di Banco Delta Asia berpusat di Macau dipercayai hasil penggubahan wang haram.

Kes itu kini dianggap secara praktikal satu-satunya kejayaan merampas dana dari negara terpencil yang kini diketuai Kim Jong-un, 30, dinasti ketiga Kim yang memerintah.

Ada kesukaran besar untuk mengenal pasti akaun bank, kata sumber kerajaan Korea Selatan yang secara langsung terbabit dalam satu lagi sekatan digesa Majlis Keselamatan PBB selepas Utara menjalankan ujian nuklear ketiga minggu ini.

Wang tunai AS$25 juta itu dilepaskan selepas rundingan panjang diketuai, perunding Utara Kim Kye-gwan dengan wakil Amerika Christopher Hill, pegawai yang hadir dalam rundingan.

REUTERS/AGENSI

Asteroid besar kian jauhi bumi

Posted: 16 Feb 2013 02:36 PM PST

Moscow: Asteroid besar 2012 DA14 terbang menghampiri bumi lewat kelmarin dan kini menjauhi planet ini, kata ahli astronomi Russia.

Asteroid itu bersaiz bangunan 15 tingkat, sampai ke titik paling dekat ke bumi jam 11.25 malam Jumaat, mendekati planet pada jarak 27,700 kilometer, lebih rapat berbanding satelit komunikasi dan cuaca.

Ketika ini ia boleh disaksikan di bahagian tenggara langit, dalam buruj Virgo, lapan darjah di atas ufuk, kata pakar kaji bintang Institut Matematik Gunaan Keldysh, Leonid Yelenin.

Situasi itu berlaku kira-kira 16 jam selepas serpihan tahi bintang menyebabkan kira-kira 1,200 penduduk cedera di bandar Urals di Chelyabinsk, Russia.

Tak dapat dilihat

Asteroid itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, bercahaya paling terang dengan magnitud jelas kira-kira 7.0.

Seorang individu dengan penglihatan biasa dapat melihat objek cerah di langit pada magnitud 6.
Asteroid 2012 DA14, yang secara kasar bersaiz 50 meter dan seberat kira-kira 130,000 tan metrik, kali pertama dilihat sepasukan ahli astronomi Sepanyol di La Sagra Sky Survey.

Pengiraan mereka menunjukkan objek langit mungkin terbang hampir ke bumi pada 2013, dengan kemungkinan kecil pelanggaran.

Sementara itu di PASADENA, California, maklumat awal menunjukkan bahawa meteor di Chelyabinsk tidak dikaitkan dengan asteroid 2012 DA14, yang terbang menghampiri bumi kata Agensi Angkasa Lepas Amerika (NASA) semalam. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan