Khamis, 14 Februari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Thailand buru pemisah

Posted: 14 Feb 2013 01:57 PM PST

Narathiwat: Pasukan keselamatan Thailand melancarkan usaha operasi besar-besaran memburu pemisah bersenjata yang melarikan diri selepas gagal menyerang pangkalan tentera di daerah Bacho, Narathiwat.

Enam belas daripada 50 penyerang bersenjata raifal AK-47 dan M-16 memakai seragam tentera disahkan terbunuh ketika cuba menyerbu kem itu pada jam 1 pagi waktu tempatan kelmarin selepas ditembak askar.

Pasukan keselamatan merampas 18 senjata, beberapa bom tangan, dua motosikal dan sebuah trak pikap selepas pertempuran, yang berlanjutan selama sejam.

Serangan itu memaksa kawalan keselamatan dipertingkatkan di wilayah berkenaan untuk menghalang sebarang serangan balas.

30 melarikan diri

Kira-kira 30 daripada mereka dipercayai melarikan diri, sebahagiannya dipercayai cedera, dengan kira-kira 500 anggota pelbagai agensi keselamatan terbabit.

Penduduk diminta tidak keluar rumah di empat daerah iaitu Bareh Tai, Bareh Nua, Balukasamoh dan Kayohmati di Bacho serta dua daerah lagi di Sai Thong dan Don Sai di Mae Kaen, Pattani ketika operasi berlangsung.
Panglima Ke-4 Tentera, Udomchai Thammasarotrat selaku ketua Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri, berkata perintah berkurung tidak rasmi 24 jam yang berakhir jam 6 pagi semalam bertujuan melindungi penduduk.

Penduduk awam dikhuatiri cedera ketika pasukan keselamatan memburu saki baki militan yang mungkin menanam bom dan besi tajam ketika melarikan diri, katanya.
Lima sekolah ditutup selepas militan cuba membakar Sekolah Ban Bur Reh ketika melarikan diri.

Jurucakap tentera, Kolonel Pramote Prommin, berkata serangan ke atas pangkalan marin bertujuan membalas dendam penangkapan pemimpin pemisah dan pembunuhan Suhaidee Tahe, 31, baru-baru ini yang disyaki menembak dan membunuh seorang guru di Narathiwat, Chonlathee Charoenchol.

AGENSI

Ujian nuklear tidak hasil sisa radioaktif

Posted: 14 Feb 2013 01:55 PM PST

Seoul: Pakar nuklear Korea Selatan tidak mengesan sebarang sisa radioaktif terhasil daripada ujian nuklear Korea Utara.

Suruhanjaya Keselamatan dan Keselamatan Nuklear Selatan berkata, ia setakat ini sudah menganalisis lapan sampel atmosfera di darat, laut dan udara.

Tiada isotop radioaktif ditemui setakat ini, kata anggotanya dalam satu kenyataan.

Sasaran utama mereka ialah kesan gas xenon yang dikeluarkan dalam letupan itu dan boleh dianalisis untuk mengenal pasti jenis sisa nuklear.

Kami sedang menganalisis sampel dan xenon masih belum ditemui, kata kenyataan suruhanjaya.

Senjata nuklear baru

Pakar berminat untuk mengetahui sama ada Korea Utara bertukar daripada plutonium kepada program persenjataan nuklear baru menggunakan uranium yang diperkayakan. Plutonium digunakan dalam ujian 2006 dan 2009.
Jika ujian nuklear bawah tanah itu dilakukan dengan berjaya, ada kemungkinan tiada unsur radioaktif yang terlepas ke udara. Bahan Xenon itu tidak didapati ketika ujian Pyongyang pada 2009.

Selain pengesan tentera, suruhanjaya itu memberitahu, ada 122 lagi alat mengesan di seluruh Korea Selatan bertujuan menguji mutu udara.

Kumpul sisa radioaktif

Kapal perang Korea Selatan dan pesawat tentera udara lengkap dengan peralatan mengesan dikerah selepas ujian Selasa lalu untuk cuba mengumpul sebarang sisa radioaktif.

Pun begitu, Korea Selatan sudah mengambil langkah balas dengan melancarkan peluru berpandu baru yang mampu dihalakan kepada pemimpin tertinggi Pyongyang.

Kementerian Pertahanan menggesa wartawan menonton video khas mengenai peluru berpandu dilancarkan dari atas kapal perang dan kapal selam.

Tentera Korea Selatan berjaga-jaga sejak Pyongyang mengancam akan melakukan ujian nuklear baru yang menjadi kenyataan semalam.

AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan