Rabu, 2 Januari 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kembar dipisah tapi tak boleh berpisah

Posted: 01 Jan 2013 08:30 AM PST

LONDON: Kali pertama melihat imbasan dalam rahimnya, si ibu ternampak dua janin saling berpegangan tangan dan pasangan kembar itu mungkin tidak mempunyai harapan untuk hidup.

Doktor memberitahu Angie Benhaffaf bahawa ada kemungkinan seorang daripada anaknya akan selamat, tetapi seorang lagi akan meninggal dunia tidak lama kemudian.


Berdepan dengan kenyataan itu, Angie terpaksa menyediakan mentalnya untuk mengebumikan seorang daripada anaknya.

Kini, selepas pembedahan yang berjaya memisahkan mereka, anak kesayangan Angie itu membuktikan mereka sebenarnya 'tidak boleh dipisahkan.' Selepas tiga tahun lahir, keakraban antara Hassan dan Hussein begitu kukuh sehinggakan mereka tetap berpegangan tangan ketika tidur - sama seperti ketika mereka belum dipisahkan melalui pembedahan. Malah, jika duduk bersama, keadaan mereka juga sama seperti ketika mereka bercantum dari dada hingga ke tulang punggung. Di sebalik keadaan itu, Hassan dan Hussein memang tidak banyak berbeza berbanding kanak-kanak normal lain.


Kata Angie, 38, kembar itu sentiasa aktif bermain dan lasak. "Nampaknya ada persaingan antara Hassan dan Hussein," katanya.


Ketika ini, pasangan kembar itu cuba berjalan menggunakan kaki palsu yang baru dipasang pada mereka.

"Memerhati mereka sangat mengasyikkan," katanya.


Keadaan fizikal Hassan dan Hussein menyebabkan setiap seorang daripada mereka menggunakan satu kaki palsu.

Kata Angie, percantuman anaknya bermakna mereka berkongsi hampir segala-galanya, termasuk organ hati dan urat saraf di sekeliling jantung.


Walaupun berisiko tinggi, pakar bedah berjaya memisahkan mereka tanpa menyebabkan sebarang kesan mengancam nyawa.


Angie melahirkan Hassan dan Hussein hasil perkahwinannya dengan lelaki kelahiran Algeria, Azzedine. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/02



60 penonton pertunjukan bunga api maut

Posted: 01 Jan 2013 08:27 AM PST

ABIDJAN: Kira-kira 60 orang maut akibat terpijak dan terhimpit di bandar raya utama Ivory Coast, Abidjan, ketika pertunjukan bunga api berlangsung bagi menyambut kedatangan 2013, kata pegawai penyelamat, semalam.

Menurut jurucakap itu, selain 60 yang maut, ada kira-kira 200 lagi cedera.


"Ia cuma anggaran awal," katanya. Menurut jurucakap itu, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi berhampiran Stadium Felix Houphouet Boigny yang mampu memuatkan 65,000 orang penonton.

Katanya, orang ramai berkumpul di situ untuk menyaksikan pertunjukan bunga api. Sumber lain berkata, insiden berlaku kerana orang terlalu ramai bertumpu serentak ke pintu masuk.


Saksi pula berkata, stadium itu dipenuhi kesan darah dan kasut mangsa.


Sehingga pagi semalam, katanya, anggota penyelamat dan pasukan keselamatan masih berada di stadium berkenaan.

Media melaporkan, punca kejadian belum diketahui, tetapi ia berlaku ketika orang ramai mula bergerak untuk pulang. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/02



Tiada ulasan:

Catat Ulasan