Selasa, 4 Disember 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Perancis, Britain panggil duta Israel

Posted:

Perancis, Britain panggil duta Israel

Perancis, Britain panggil duta Israel

SEORANG lelaki Israel berjalan di kawasan penempatan Yahudi di Maale Adumin, dekat Baitulmuqaddis kelmarin.


PARIS - Perancis dan Britain memanggil duta Israel semalam ketika tekanan diplomatik ke atas Israel terus meningkat berhubung rancangannya untuk membina 3,000 kediaman peneroka haram Yahudi di timur Baitulmuqaddis dan Tebing Barat, Palestin.

Jerman dan Rusia turut melahirkan kebimbangan berhubung rancangan Israel itu yang disifatkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon akan memusnahkan pelan damai Asia Barat.

Israel berdepan gelombang bantahan diplomatik selepas cadangan pembinaan tersebut ditimbulkan pada Jumaat lalu bagi membalas pengiktirafan Palestin sebagai negara pemerhati bukan anggota PBB oleh badan dunia itu.

Sebahagian projek penempatan itu akan didirikan di koridor tanah di timur Baitulmuqaddis yang dinamakan E1 yang mana penempatan haram baharu Yahudi akan memisahkan Tebing Barat kepada dua bahagian.

Jurucakap Kementerian Luar Perancis, Philippe Lalliot berkata, Duta Israel, Yossi Gal dipanggil agar Perancis dapat menyatakan kebimbangan serius berhubung projek penempatan tersebut.

"Pembinaan di kawasan E1 akan menjejaskan penyelesaian dua negara (Israel-Palestin) dengan meminggirkan Baitulmuqaddis dari Tebing Barat sekali gus mengancam wilayah dan masa depan penduduk Palestin," kata Lalliot.

"Kami kesal dengan keputusan pemerintah Israel untuk membina 3,000 unit rumah baharu dan meneruskan pembangunan di kawasan E1 yang sebelum ini dibekukan," kata Jabatan Luar Britain.

Amerika Syarikat dan Belgium turut melahirkan kebimbangan berhubung penempatan Yahudi tersebut dengan Ki-moon memberi amaran bahawa projek berkenaan melanggar undang-undang antarabangsa. - AFP

90 cedera struktur pelantar minyak condong

Posted:

90 cedera struktur pelantar minyak condong

90 cedera struktur pelantar minyak condong


SEBUAH struktur pelantar minyak condong di sebuah dermaga di Singapura semalam. - AFP


SINGAPURA - Beberapa pegawai berkata, seramai 90 orang pekerja cedera, 23 orang lagi serius dalam satu kemalangan di sebuah dermaga kapal di sini, semalam.

Kementerian Sumber Manusia menyatakan, kejadian itu berlaku ke atas struktur pelantar minyak yang dalam pembinaan.

Syarikat Jurong Shipyard Pte. Ltd., membina struktur tersebut.

Jurucakap limbungan kapal berkata, para pekerja sedang menguji strutur berkenaan tetapi salah satu kakinya gagal berfungsi lalu menyebabkannya condong.

Katanya, pekerja yang cedera itu dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan.

Dia menyatakan, seramai 53 orang telah dibenar keluar, manakala seorang lagi masih dalam keadaan kritikal.

Siasatan ke atas kemalangan itu sedang dilakukan. - Agensi

Gunung di Perancis dipercayai tempat UFO muncul pada 'hari kiamat'

Posted:

Gunung di Perancis dipercayai tempat UFO muncul pada 'hari kiamat'

Gunung di Perancis dipercayai tempat UFO muncul pada 'hari kiamat'


GAMBAR fail menunjukkan Gunung Pic de Bugarach di Bugarach, selatan Perancis.


PARIS - Gunung Pic de Bugarach setinggi 1,230 meter di selatan Perancis dipercayai merupakan satu-satunya tempat di dunia yang akan selamat daripada 'hari kiamat' pada 21 Disember depan, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.

Tarikh 21 Disember itu merupakan ramalan yang dibuat berdasarkan kalendar penduduk Maya yang bermula pada 3114 Sebelum Masihi.

Beberapa filem dokumentari dan laman web meramalkan bahawa berdasarkan kalendar penduduk Maya di Amerika Tengah itu, 'hari kiamat' akan berlaku pada 21 Disember depan.

Ramalan itu dibuat kerana kalendar Maya itu berakhir pada tarikh tersebut.

Menurut pihak yang percaya tentang 'hari kiamat' itu, sejumlah makhluk asing dan sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) akan muncul.

Golongan itu percaya 'garaj kapal angkasa' terdapat di kawasan pergunungan itu dan menyelamatkan golongan yang mempercayainya.

Pekan Bugarach kini menjadi popular dalam kalangan orang yang mempercayai bahawa kiamat akan berlaku pada tarikh tersebut.

Datuk Bandar Bugarach, Jean Pierre Delord bimbang ramai orang akan tiba di bandar kecil itu.

Kawasan di sekitar Bugarach hanya didiami seramai 180 orang.

Polis dan tentera telah dimaklumkan untuk berdepan dengan bilangan orang yang ramai yang dijangka tiba di bandar berkenaan.

Menurut kalendar Maya itu, sebuah planet akan merempuh Bumi pada 21 Disember depan dan dipercayai akan menyebabkan 'hari kiamat' berlaku. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan